KASIHAN KAK PAH ...

'Jeling Kak Pora'  (Berita Minggu: Bi-Pop, 25 Mei 2008)

Ada teman memberitahu Kak Pora, lagu Datuk Sharifah Aini sudah disiarkan semula di RTM, khususnya di stesen radio Klasik Nasional.  Kak Pora kurang pasti sebab kerap sangat bertukar-tukar stesen radio.  Kak Pora macam kebanyakan orang lain, memang tidak pernah setia pada satu stesen radio. 

Ketika dengar Klasik Nasional tidak pernah pula terdengar lagu penyanyi biduanita negara yang lebih mesra dengan sapaan Kak Pah itu.  Mungkin kebetulan lagunya belum dalam senarai juruhebah untuk menyiarkannya.  Bagaimanapun, kalau ia betul baguslah.  Iyerlah.  Apa faedahnya kalau mana-mana stesen radio nak perap atau senarai hitam lagu penyanyi kita.  Kalau hendak marah, marahlah pada penyanyinya bukan pada lagu atau karya ciptaannya.

Stesen radio popular pun, sesekali siarlah lagu-lagu penyanyi veteran kita.  Apa salahnya.  Kak Pora perhatikan, macam satu dosa besar pula bagi stesen radio kalau memainkan lagu-lagu nyanyian orang lama ini.  Mereka macam tidak ada perasaan hormat langsung.

Kak Pora juga dapat tahu Kak Pah kecewa dengan beberapa individu yang diberi kepercayaan untuk menyiapkan album terbarunya gagal melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.  Kak Pora tidak tahu berapa jumlah duit yang dikeluarkan oleh Kak Pah, tapi dengar ceritanya banyak juga.

Kak Pah memang tidak mahu cerita kepada sesiapa pasal hal ini.  Tapi Kak Pora memang agak kecewa sangat sebab projek itu adalah untuk album ke 99 dan 100.  Tinggi harapannya terhadap album itu.  Kepada dua individu ini, buatlah sesuatu.  Jangan hampakan Kak Pah yang dah banyak berhabis duit.