Tiada Klon Sharifah Aini 'Jarum Emas' dikendalikan Adam Salleh (Metro Ahad, 20 Mei 2007) |
Tiada dua, apatah lagi tiga atau empat. Kelainan ini membuatkan Datuk Sharifah Aini mempunyai imej, identiti serta tarikan tersendiri sebagai penyanyi. Kita boleh mencari penyanyi bersuara ala Datuk Siti Nurhaliza, tetapi seingat saya selama menjadi orang akhbar, belum pernah saya bertemu klon Sharifah Aini. Kelmarin (Jumaat), saya tonton show Sharifah Aini sempena Hari Ibu di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur. Dalam usia menjangkau setengah abad, Sharifah Aini masih lagi keletah, bijak memikat penonton serta bertenaga. Persembahan beliau bermula jam 9.30 malam selepas aksi artis undangan, Dharma Harun Al Rashid, berakhir jam 11.45 malam. Sekalipun menjelang tengah malam, saya lihat rata-rata penonton tidak berganjak. Tidak seperti konsert artis muda yang sinonim dengan penonton anak muda, persembahan Sharifah Aini tempoh hari dihadiri majoriti berusia 50 tahun ke atas, terutama kalangan ibu, sesuai dengan konsep majlis. Bagi saya, yang membuatkan mereka tidak berganjak ialah kesegaran suara Sharifah Aini. Suara itu tiada pada artis lain. Dalam mana-mana pertandingan nyanyian pun, tiada siapa berani meniru suara itu. Jika diamati sejak era 1960-an hinggalah ke era alaf baru, suara lemak merdu Sharifah Aini tidak berubah. Mendengar suaranya membuatkan kita berasa segar seperti era lampau yang pernah kita tempuhi. Bukan mudah untuk mempertahankan populariti di persada seni yang penuh pahit dan getir ini. Namun dalam seribu penyanyi, Sharifah Aini dapat membuktikan dia mampu menongkah arus untuk dia bertahan sebagai biduanita negara. |