SAYA TAK ADA GIMIK oleh Abie Abdullah (Harian Metro: Khamis, 1 March 2001) |
Biasanya saya tak rancang untuk gimik dalam mana-mana konsert atau persembahan saya. Saya tak bagus dalam hal itu. Sebaliknya lebih selesa kalau dibuat secara spontan. "Ketika persembahan, saya akan panggil penonton ke pentas untuk beraksi dengan saya. Suasana yang lucu terbit secara spontan itu lebih indah daripada apa yang dirancang," kata biduanita negara, Sharifah Aini dalam sidang akhbar Konsert Nostalgia Bersama Sharifah Aini, di sebuah hotel di Kuala Lumpur kelmarin. Konsert anjuran Persatuan Bagi Kanak-Kanak Kerencatan Akal Johor bersama Jojos Production Sdn Bhd itu adalah bagi mengisi Tabung Amal Kebajikan Sekolah Kanak-Kanak Istimewa Johor Bahru. Dana ini akan digunakan untuk menampung kos pembinaan sekolah baru persatuan itu yang bernilai RM2.5 juta, tidak termasuk kos pembelian kelengkapannya.
Konsert itu akan diadakan di dua tempat di Johor Bahru
iaitu Hotel Puteri Pan Pacific pada 13 April dengan jualan meja berharga RM2,000
hingga RM50,000 sebuah dan terhad kepada 50 meja sahaja. Pada 14 April pula,
persembahan ini 'beralih' pula ke Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru
dengan tiket RM15, RM25, RM50 dan RM100. Sharifah atau
Kak Pah yang kelihatan anggun dengan kurung hitam bercetak bunga lavender
dalam majlis itu berkata, dia berasa seronok dan gembira dipanggil untuk
sama-sama membantu kanak-kanak yang tidak bernasib baik "Saya hanya mampu menyumbangkan bakti saya menerusi bakat yang dianugerahkan
Allah. Walaupun sebelum ini saya banyak buat persembahan amal tetapi ia
dibuat secara tertutup. Jadi untuk persembahan kali
ini, saya akan cuba memberi yang terbaik bagi peminat-peminat saya. Mengenai
pengisian konsert itu, kedua-dua persembahan itu akan berlangsung 1 jam 45
minit dan mungkin lebih. Terpulang kepada keadaan. Saya
seorang penghibur yang fleksibel dan tak mengira jumlah lagu yang akan
dinyanyikan nanti asalkan peminat terhibur. Begitu juga pada malam kedua di
stadium tertutup, saya berasa dah begitu lama saya tak berjumpa dengan
peminat dan inilah peluangnya," katanya.
Menurut
Kak Pah, harga tiket yang dikenakan adalah amat berpatutan kerana selain
berhibur, mereka juga menderma kepada golongan yang bernasib baik. Kata Kak
Pah, dia bakal menghiburkan penonton dengan lagu-lagu dari rangkaian zaman
1980-an hingga kini. "Saya sedang menyiapkan senarai
lagu untuk kedua-dua persembahan itu dan berkemungkinan akan menyanyikan
lebih 30 lagu. 15 daripadanya adalah lagu Inggeris popular nyanyian Madonna,
Marc Anthony, Bee Gees, Celine Dion, Abba dan ramai lagi. Saya akan memulakan raptai penuh seminggu sebelum tarikh persembahan itu. Mungkin juga saya cuba menjemput kumpulan ghazal kanak-kanak dari Johor,"
katanya yang juga bersedia dengan dua pasang pakaian untuk setiap konsert. Sebelum memulakan konsert di stadium itu, tiga artis dijemput untuk membuat
persembahan pembukaan iaitu Haiza, Syura dan kumpulan Mega. Secara kebetulan,
kesemua artis untuk konsert ini adalah berasal dari negeri Johor. Bagaikan
sireh pulang ke gagang! Dalam satu perkembangan lain,
Kak Pah menceritakan yang dia berkemungkinan akan berangkat ke Bahrain dan
Dubai untuk menjayakan undangan persembahan eksklusifnya di sana. Suara
lunaknya itu juga bakal berkumandangan dalam persembahan di Indonesia.
"Insya-Allah kalau tak ada aral melintang, saya akan ke sana Julai dan Ogos
nanti. Mereka menghubungi ke pejabat saya baru-baru ini untuk tujuan itu. Saya gembira kerana mereka juga memiliki album saya Saya juga pernah jumpa salah seorang peminat dari negara Arab yang tidak
menyangka penyanyi luar daripada negaranya boleh menyanyi lenggok Arab
dengan baik. Lebih-lebih lagi dari Malaysia," katanya.
Selain itu, menurut penyanyi yang berusia dalam pertengahan 40-an ini,
seorang profesor juga membeli albumnya di Malaysia dan membawa balik ke
negaranya di Tanah Arab. Namun, sebelum itu, pada Mei
ini juga saya akan buat konsert besar-besaran dengan orkestra yang
membabitkan 60 pemuzik. "Konsert itu akan ditaja
sepenuhnya oleh sebuah syarikat yang saya perlu rahsiakan terlebih dahulu. Konsert itu adalah salah satu dari empat konsert besar saya sepanjang tahun
2001 ini," katanya. |