SAYA SELALU SEBUT SAYANG

oleh Zubairi Zabidin (Metro Ahad: Tamu Kita, 8 Ogos 1999)

Penyanyi sepanjang zaman Sharifah Aini tidak pernah berputus asa untuk terus berjuang dalam dunia hiburan yang sudah diceburinya kira-kira 30 tahun, walaupun kehadiran penyanyi baru dan lebih muda.  Dia yakin pada dirinya yang masih mempunyai ramai peminat.  Segala-galanya terbukti apabila dia muncul kembali setelah berhenti seketika untuk menumpukan sepenuh masa di alam rumahtangga.  Kini, rumahtangganya tidak dapat bertahan lama dan dia bebas melakukan apa saja yang dirasai dapat membahagiakan dirinya dan keluarga serta mencari rezeki yang halal.

Ikuti luahan Sharifah Aini kepada wartawan Metro Ahad, Zubairi Zabidin, dalam Tamu Kita ini.

Metro Ahad:  Siapakah idola anda dan mengapa?

Sharifah Aini:  Florence Nightingale.  Orang yang paling popular dan jururawat yang paling disayangi di dunia.  Saya menyayangi wanita ini kerana sumbangannya merawat dan hubungan baiknya dengan pesakit ketika peperangan Crimean pada 1854 antara England dan Russia.  Dia merawat kira-kira 5,000 pesakit lelaki.  Sumbangan luar biasanya itu di sebalik suasana yang tidak tenteram, dia bekerja siang dan malam selama 20 jam sehari.  Setiap malam dia melawat sendiri wad dan memberi rawatan kepada tentera dan mereka menghargai sumbangannya.

Metro Ahad:  Apakah pekerjaan yang paling anda geruni?

Sharifah Aini:  Melakukan kerja yang melanggar etika kehidupan dan menyalahai undang-undang.

Metro Ahad:  Apa yang paling anda benci mengenai penampilan anda?

Sharifah Aini:  Saya sayangkan setiap inci dalam diri saya.

Metro Ahad:  Sikap peribadi yang anda suka?

Sharifah Aini:  Boleh dipercayai, amanah dengan rahsia, pemurah, berterus-terang, penyayang, berani mengakui kelemahan diri sendiri, penyabar dan tabah, berani dan cekal hati, pembersih dan sayangkan rumah tangga.

Metro Ahad:  Sikap dan tabiat buruk anda?

Sharifah Aini:  Kalau saya benar, merajuk, menjadi seorang yang degil dan keras hati dan ia akan berterusan bertahun-tahun.  Saya tidak mahu lagi melihat muka orang berkenaan sampai bila-bila.  Saya benci kepada orang yang bersikap pengotor.

Metro Ahad:  Apa yang membuat anda berbohong?

Sharifah Aini:  Kalau berhadapan dengan musuh peperangan.  Hanya untuk menutup keaiban seseorang, semata-mata menjaga maruah orang itu.  Saya benci kepada penganiayaan, kezaliman dan pengkhianatan.

Metro Ahad:  Perkataan atau yang kerap anda gunakan?

Sharifah Aini:  'I love you sweetheart' atau 'sayang' dan juga 'aduhai' kepada anak-anak saya, sahabat karib dan orang yang rapat dalam hidup saya.

Metro Ahad:  Siapa yang paling anda benci?

Sharifah Aini:  Orang yang hatinya hitam dan kotor, penuh hasad dengki, mengambil kesempatan di atas kebaikan orang lain, tidak amanah dengan rahsia dan duit ringgit, mulut jahat dan mereka ini selalu memberi gambaran bahawa mereka ini adalah kawan yang baik ... bagaikan gunting dalam liptan. (Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri.)

Metro Ahad:  Apa yang anda benci mengenai orang lain?

Sharifah Aini:  Orang yang hidup dalam dunia kepura-puraan, suka cakap besar, menganggap duit itu tuhan, orang kaya yang tamak, bakhil dan tidak mahu membantu penderitaan orang lain.

Metro Ahad:  Siapa paling memberi makna dalam hidup anda?

Sharifah Aini:  Allahyarham datuk dan nenek saya.  Pengorbanan dan kasih sayang mereka yang melimpah-ruah.  Saya terlalu merindui mereka berdua.  Anak-anak saya.  Merekalah nafas saya untuk hidup waktu kini .. merekalah bulan dan bintang buat saya ... segalanya buat saya meneruskan kehidupan saya kini dan seterusnya.

Metro Ahad:  Apa yang paling anda sesalkan dalam hidup?

Sharifah Aini:  Kedua-dua perkahwinan yang berakhir dengan perceraian.

Metro Ahad:  Apa pencapaian terbaik dalam hidup anda?

Sharifah Aini:  Menjadi ibu kepada lima orang cahayamata.

Metro Ahad:  Kualiti paling anda kagumi mengenai manusia?

Sharifah Aini:  Berkasih sayang antara satu sama lain, menghormati antara satu dengan lain, mereka yang bernasib baik hidup dalam kesenangan ... membantu dan membela nasib si miskin dan dhaif.  Kualiti yang baik pada manusia, jika ada perasaan insaf dan sedar bahawa kesenangan, kesihatan dan segala-galanya datang daripada Allah.  Jadilah manusia yang tidak mementingkan diri sendiri dan sentiasa bersyukur.

Metro Ahad:  Siapakah tokoh sejarah yang paling anda kagumi?

Sharifah Aini:  Nabi Muhammad SAW.

Metro Ahad:  Apa yang anda lakukan di waktu sunyi?

Sharifah Aini:  Mengimbas kembali segala kenangan lalu yang suka dan duka.  Menilai dan cuba meneliti di manakah kesilapan yang saya lakukan dan saya gemar membaca buku berbentuk pengetahuan.  Saya memang hantu buku.  Kadangkala menghibur hati dengan menonton VCD koleksi cerita komedi.

Metro Ahad:  Apakah harta paling berharga dalam hidup anda?

Sharifah Aini:  Nilai-nilai hidup, nilai moral dan sifat yang terbaik yang diajar kepada saya oleh Allahyarham datuk dan nenek saya.

Metro Ahad:  Siapa contoh ikutan anda?

Sharifah Aini:  Allahyarham nenek saya, Tengku Wan Mariam dan datuk saya, Allahyarham Syed Sahil Ali.

Metro Ahad:  Apakah pencapaian terbaik dalam hidup anda?

Sharifah Aini:  Saya begitu bertuah berada di sini dan diminati walaupun setelah 30 tahun menyanyi.  Saya bersyukur kepada Allah di atas limpah dan kurnia-Nya.  Saya berterima kasih kepada semua peminat.  Tanpa sokongan mereka, saya tidak berada seperti sekarang.  Sokongan media elektronik dan cetak juga memainkan peranan yang paling penting.

Metro Ahad:  Apa yang paling anda benci?

Sharifah Aini:  Segala bentuk keganasan dan kezaliman, peperangan, ketidakadilan, penipuan, penganiayaan dan pengkhianatan.

Metro Ahad:  Apa pakaian kegemaran anda?

Sharifah Aini:  Pakaian moden yang bersesuaian dengan bentuk tubuh saya dan saya amat menggemari baju kurung Johor.

Metro Ahad:  Lelaki idamana anda?

Sharifah Aini:  Seorang yang jujur, penuh sikap tanggungjawab, bijak pandai, ceria, pandai berjenaka dan menghiburkan, penyayang, pemurah dan kalau boleh tinggi, tampan, berbadan tegap dan berkulit cerah.  Lelaki yang mampu membuat saya rasa terjamin untuk menjalani satu kehidupan serta sama-sama meniti susah-senang di alam rumahtangga.

Metro Ahad:  Binatang yang paling anda sukai?

Sharifah Aini:  Kucing dan arnab.

Metro Ahad:  Buku atau majalah kegemaran anda?

Sharifah Aini:  Buku yang mendatangkan pengetahuan dan suka dibaca serta memuatkan banyak bahan penerangan.  Saya juga suka baca majalah 'Hello' dan majalah mengenai hiasan dalaman, 'Garden', mengenai wanita dan fesyen seperti 'In-Style', 'Cosmopolitan'.

Metro Ahad:  Apakah yang paling anda takut?

Sharifah Aini:  Mati dalam keadaan tanpa persediaan amalan yang cukup untuk menemui Allah Azzawajalla dan jika tidak dapat banyak hidayah daripada Allah.

Metro Ahad:  Apakah mimpi anda kepada sesuatu yang mustahil untuk berlaku?

Sharifah Aini:  Andainya dunia ini aman dan tiada langsung peperangan, manusia saling sayang menyayangi. manusia boleh terbang, binatang, pokok, bunga-bungaan boleh bercakap, manusia satu dunia hanya menggunakan satu bahasa untuk berinteraksi dan semua makhluk Allah boleh dipercayai.