SUDAH 'PENAT' DITIPU PENGANJUR oleh Ramlah Zainal (Harian Metro: Rabu, 14 Oktober 2009) |
Sharifah Aini buat sendiri showcase amal bersandarkan pengalaman Usia biduanita terkenal tanah air, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar sudah mencecah 55 tahun. Pada usia separuh abad itu, namanya terus gah di persada seni tanah air. Sepanjang lebih empat dekad bergelar anak seni, Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah sudah menghasilkan 98 album dan merakamkan lebih 1,000 lagu. Malah, tahun ini, beliau muncul dengan pelbagai mini showcase sekali gus meraikan ulang tahun ke-40 pembabitannya dalam bidang seni. Terbaru, Sharifah Aini akan menjayakan showcase berkonsepkan persembahan makan malam amal berjudul Sharifah Aini & Friends yang akan berlangsung di Hotel Concorde, Kuala Lumpur bermula pada 4 Disember nanti. Showcase yang dianjurkan Sharifah dan membabitkan kerjasama dengan Lime Events Management ini turut menampilkan penyanyi terkenal tanah air seperti Adibah Nor dan Anuar Zain. Ikuti temu bual wartawan Rap, RAMLAH ZAINAL (roses@hmetro.com.my) dengan Sharifah Aini mengenai showcase amalnya ini. Pada masa sama, Sharifah Aini juga berkongsi perkembangan terkini kerjaya seni sekali gus perancangan masa depannya. Soalan: Kenapa anda terpanggil untuk buat menjayakan showcase amal ini? Jawapan: Apabila buat program amal, hati dan jiwa saya menjadi lebih tenang. Saya juga buat program amal ini sebagai menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Sepanjang tempoh 40 tahun dalam industri seni, saya sudah menjayakan lebih 3,000 program amal. Sebenarnya, saya sudah penat kena tipu dengan penganjur persembahan sepanjang 2006 hingga 2007. Sebab itu, sekarang saya keluar duit sendiri untuk buat program amal ini. Saya juga ada pasukan berpengalaman yang bekerja keras membantu saya menjayakan showcase amal ini termasuk menjaga kebajikan artis terbabit. Pengalaman ditipu penganjur persembahan sebelum ini menjadikan saya lebih celik. Kini, sampai masanya, saya buat showcase amal sendiri bersandarkan pengalaman sedia ada. Jika nak diikutkan saya sudah puas dengan apa yang dilalui kerana Allah sudah memberikan segalanya dalam hidup. Ini masanya untuk saya buat kebajikan pula. Saya juga sanggup keluar duit sendiri dan pada masa sama menjaga kebajikan artis yang terbabit dalam mini konsert ini. Justeru, saya juga mengharapkan sokongan dari pihak korporat untuk membeli meja sekali gus menjayakan mini konsert, berhibur sambil beramal ini. Soalan: Boleh ceritakan dengan lebih lanjut mengenai keistimewaan showcase amal ini? Jawapan: Showcase ini dianjurkan sempena meraikan ulang tahun ke-40 saya dalam industri seni. Showcase amal ini membabitkan 12 hingga 15 persembahan dengan penampilan artis tempatan lain. Ia bermula dengan showcase saya bersama dengan Adibah Nor pada 4 Disember ini dan penampilan Anuar Zain pula pada 11 Disember nanti. Saya pilih Adibah kerana dia boleh menggamatkan suasana di pentas. Sebahagian daripada kutipan showcase amal saya dan Adibah ini akan disalurkan ke persatuan Wheelchair Tenis Malaysia. Soalan: Bagaimana dengan pemilihan Anuar Zain dalam showcase amal ini? Jawapan: Saya berminat bekerjasama dengan Anuar kerana dia mempunyai ramai peminat daripada pelbagai latar belakang. Sebelum pilih Anuar, saya sudah buat kajian terlebih dulu dari aspek pasaran dan hasil maklum balas, ia sangat menggalakkan. Apabila kami berjumpa ketika majlis makan di rumah saya, Anuar juga sangat berminat untuk menjayakan showcase ini dan saya juga senang bekerja dengannya. Anuar juga sangat prihatin dengan kerja amal yang saya nak buat ini. Sebahagian kutipan showcase ini akan disalurkan ke sekolah anak yatim dan tahfiz, Sekolah Maahad Tahfiz Darul Huffaz di Puchong, Selangor. Kami juga sudah kenal pasti 15 lagi sekolah anak yatim dan tahfiz di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor untuk terbabit dalam program amal ini. Selain itu, saya juga akan mengadakan perbincangan dengan dua lagi artis terkenal iaitu Anita Sarawak dan Datuk Khatijah Ibrahim minggu depan untuk showcase amal seterusnya. Soalan: Apa yang anda janjikan pada peminat dalam showcase amal ini nanti? Jawapan: Saya janjikan persembahan yang sangat eksklusif buat peminat nanti. Selain menghiburkan peminat saya, ia juga kolaborasi saya dengan generasi baru. Saya juga menjanjikan showcase yang meriah dengan menampilkan barisan repertoire lagu yang peminat suka. Separuh daripada persembahan saya mendapat khidmat komposer terkenal, Ramli MS. Selain itu, saya juga mendapat khidmat Bell yang juga adik S Atan untuk mengiringi persembahan saya nanti. Adibah dan Anuar pula ada barisan pemuziknya sendiri. Soalan: Sebelum ini anda pernah menguar-uarkan kepada pihak media mengenai hasrat untuk bersara dari bidang seni. Adakah anda serius untuk berbuat demikian? Jawapan: Saya memang serius untuk bersara dari bidang seni. Tapi bukanlah saya tidak akan menyanyi langsung. Jika sebelum ini, dalam setahun, saya jayakan 20 persembahan, mungkin selepas ini hanya lima atau enam persembahan saja. Mungkin lebih tepat, jika saya katakan untuk memperlahankan aktiviti seni dan bukan bersara. Saya juga ingin melakukan perkara yang sudah lama saya ingin lakukan iaitu melancong dan berjumpa dengan saudara-mara dan rakan di luar negara. Soalan: Kenapa baru sekarang, anda aktif memenuhi pelbagai undangan persembahan dan konsert? Jawapan: Sebenarnya, saya tetap aktif memenuhi undangan persembahan majlis makan malam korporat dan acara seperti itu tidak mendapat publisiti daripada media. Saya juga banyak menjayakan persembahan di luar negara seperti Hong Kong, Bangkok dan Dubai yang juga tidak diuar-uarkan media. Soalan: Boleh berkongsi rahsia awet muda anda kerana ramai yang perasan perubahan wajah anda sekarang? Jawapan: Sebenarnya, saya sangat mementingkan aspek penjagaan kulit, sejak dulu. Maklumlah, saya perlu menjaga kecantikan dan kesihatan tubuh kerana usia saya bukan muda lagi. Contohnya, saya membuat rawatan wajah, dua minggu sekali. Selain itu, saya buat rawatan tubuh dan sauna. Saya juga tidak perlu keluar rumah kerana mempunyai salun sendiri. Saya juga mempunyai pekerja salun yang sudah lebih 20 tahun menjaga wajah dan rambut saya. Selain itu, saya juga buat senaman dengan berjalan di sekeliling rumah selepas solat Subuh hampir setiap hari (jika tidak hujan). Apa pun, saya akan berehat seketika daripada aktiviti seni pada pertengahan Disember nanti iaitu selepas showcase amal bersama Anuar Zain untuk menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah selama tiga minggu. Saya juga akan melawat anak bujang saya, Aliff Omar, 27, di sana. Soalan: Ramai artis tempatan sekarang dipercayai menggunakan suntikan vitamin dan botoks untuk tampil jelita? Apa komen anda? Jawapan: Ia terpulang pada individu itu sendiri. Saya pula lebih percaya pada jenama produk yang saya sudah amalkan selama puluhan tahun. Saya juga mengamalkan rawatan laser untuk mengekalkan kecantikan kulit. Maklumlah, kulit saya kadang-kadang alah pada cahaya lampu di pentas dan saya perlu merawatnya semula. Setiap kali selepas buat persembahan, saya akan buat rawatan wajah selepas memakai solekan tebal. Solekan untuk pentas juga berbeza dengan solekan pada hari biasa. Saya juga percaya seseorang artis itu perlu melabur sedikit untuk mempertahankan kecantikan mereka dari hujung rambut hingga ke kaki. Apabila kita semakin berusia wajah juga memerlukan lebih banyak rawatan wajah dan tubuh. Tapi saya memang tidak pakai botoks untuk mengekalkan kecantikan. Pada usia sekarang, saya bangga dengan kecantikan yang dianugerahkan Allah kepada saya ini. Soalan: Bagaimana dengan perkembangan kes anda dengan komposer S Atan yang menimbulkan kontroversi sebelum ini. Adakah ia sudah selesai sepenuhnya? Jawapan: Kes itu belum selesai lagi. Maaf, buat masa ini, saya tidak dapat mengulas lanjut mengenainya. Soalan: Selain showcase amal ini, anda juga bakal menjayakan konsert di Singapura, bulan depan. Boleh beritahu perkembangan terkini konsert itu? Jawapan: Konsert itu menceritakan kisah suka duka saya sebelum dan selepas bergelar anak seni. Konsert Malam Lagenda Seri Dewi itu akan berlangsung di Stadium Tertutup Singapura pada 8 November ini. Setakat ini, jualan tiket berjalan lancar dan lima ribu sudah dijual. Stadium ini juga boleh menampung seramai lebih 12,000 pengunjung. Konsert ini memang dinantikan peminat saya di sana selepas sedekad saya tidak menghiburkan peminat di Singapura. Kali terakhir, saya menjayakan konsert di Singapura ialah di Victorian Concert Hall, hampir 10 tahun lalu. Artikel lain yang berkaitan: Tak Serik Kena Kapur (Berita Minggu: B*Pop – 18 Oktober 2009) |