SAYA IKUT ZAMAN oleh Nor Akmar Samudin (Harian Metro: Jumaat, 29 November 2000) |
"Kekuatan lagu 'Seribu Mawar' terletak pada melodinya yang ringkas dan lirik yang mudah difahami. Kebanyakan lagu dalam album terdahulu agak sukar dihayati dan bercita rasa tinggi sesuai peminat lebih dewasa. Menyedari perubahan yang berlaku sekitar industri hiburan dan sebagai penghargaan kepada semua peminat, saya perlu mengikut kehendak semasa di mana pendengar lebih gemar lagu dan lirik yang ringkas, maka lahirlah 'Seribu Mawar'. Di mana sahaja saya mempromosikan album, sejumlah besar penonton terdiri kalangan remaja terutama pelajar pusat pengajian tinggi dan pastinya 'Seribu Mawar' antara lagu kegemaran mereka," kata Sharifah Aini ketika ditemui di Radio Rediffusion Sdn Bhd (Rfm), mengadakan rakaman hari raya, kelmarin. Bagaimanapun, Sharifah Aini menafikan hanya 'Seribu Mawar' diminati dan dianggap killer song dalam album terbarunya itu. "Saya menerima beribu-ribu e-mail (kelab peminat tidak rasmi) daripada peminat setia iaitu dari zaman kelahiran album sulung, 'Seri Dewi Malam' hingga kini, mereka mengatakan meminati semua lagu terkandung dalam album ini. Sukar memenuhi kehendak dan citarasa semua orang. Saya cuba buat yang terbaik untuk peminat, yang lain terserah kepada penilaian mereka. Setiap lagu ada karektor sendiri. Setelah single pertama, Seribu Mawar mendapat tempat di hati peminat, EMI memperhebatkan promosi single kedua, Resah Bersalam, jelas Sharifah Aini. Penyanyi legenda itu memang istimewa dan tiada duanya. Menurutnya, selain suara sebagai aset utama, pengalaman dikutip sepanjang 31 tahun dalam bidang itu adalah harta paling mahal dimiliknya. "Ketika saya hendak merakamkan kembali lagu UK's, 'Seksa', saya mendengar dua kali sahaja album mereka sebab tidak mahu terpengaruh dengan gaya UK's. Saya akan menghasilkan yang asli dan beridentiti sendiri. Ada penyanyi yang mengikut gaya penyanyi asal hingga ke patah dan lenggok lagu, tiada beza langsung," katanya. LY, yang turut hadir kelmarin, bercerita pengalaman kali pertama bekerja dengan Sharifah Aini. "Bergelar komposer, saya memiliki satu impian sahaja. Untuk bekerja dengan dua artis legenda negara, Sharifah Aini dan allahyarham Sudirman Haji Arshad. Mustahil bekerja dengan Sudirman kerana dia sudah tiada, tetapi berpeluang bekerja dengan Kak Pah satu penghormatan kepada saya." "Perasaan bimbang bersarang di hati sebelum bertemu Kak Pah kerana dia bintang ternama dan terkenal. Gembira, tetapi entah macam mana hendak bekerja dengannya kelak," ujar LY. Katanya, kebimbangan itu terjawab apabila Shaifah Aini menelefonnya dari Singapura bertanya mengenai lagu, sejak itu dia tahu siapa Sharifah Aini yang amat mengambil berat mengenai albumnya. "Dia tidak sombong dan tidak memandang rendah kemampuan komposer baru, Kak Pah juga mengeluarkan ilhamnya mengindahkan lagi sesebuah lagu," ujar LY. Tambahnya, dia rasa seperti pendatang baru dalam industri muzik apabila berhadapan dengan Sharifah Aini kerana dia tahu serba serbi dari susunan muzik, melodi lirik hingga kerja teknikal. Jelasnya, Sharifah Aini prihatin terhadap pembikinan albumnya dan tidak lepas tangan kepada komposer dan penerbit, mereka selalu berbincang untuk memperkemaskan lagu serta lirik. "Kak Pah profesional, dia boleh berdiri empat jam dalam studio terus menerus hingga dia puashati dengan lagu itu. Dia juga tidak pernah marah kalau diminta mengulangi rakaman. Sebenarnya, Kak Pah boleh siap merakamkan sebuah lagu dalam 45 minit hingga sejam. Namun untuk menghasilkan yang terbaik, kita terpaksa ulang. Kak Pah juga ada 'telinga' komposer, dia boleh tahu kesalahan sendiri dan mengulangi rakaman hingga dia sendiri puashati. Dia juga memilih jurutera yang biasa bekerja dengannya," cerita LY. Celah Sharifah Aini, dia akan buat apa yang disukai dalam studio, sebab itu dia akan bekerja dengan orang yang dikenalinya kerana berasa selamat. "Ketika rakaman, saya tidak suka orang ramai dalam studio, hanya jurutera dan penerbit album. Mengawal perasaan marah, perbanyakan zikir, itu yang saya amalkan setiap hari," terangnya. Selain bertindak sebagai penerbit album, LY menyumbangkan lima lagu dalam Seribu Mawar iaitu 'Seribu Mawar', 'Korban Percintaan', 'Resah Bersalam', 'Aku Sayang Padamu' dan 'Siapakah Milikmu'. |