SAMA HEBAT

oleh Hartati Basri & Abie Abdullah  (Harian Metro: Rabu, 18 April 2001)

Dua diva berentap pada masa yang sama di dua tempat berbeza, tetapi dengan satu tujuan, menghiburkan setiausaha dan ketua mereka, sempena Minggu Setiausaha, semalam.  Jika Sharifah Aini membuai penonton dengan lagu-lagu nostalgia dengan vokal emasnya di Sogo City Arena, Anita Sarawak yang diterbangkan dari Las Vegas, Amerika Syarikat, ligat segenap penjuru pentas di Grand Nirwana Ballroom, Hotel Mutiara KL.

Apabila seorang peminatnya meluru ke pentas memintanya menyanyikan sebuah lagu Hindustan, superstar Anita Sarawak 'terpinga' sekejap.  Mungkin tak menjangka dengan permintaan itu.  Namun Anita tetap Anita yang sentiasa bersedia apa saja demi menghiburkan peminat.  Mugkin peminat tadi mengharapkan lagu 'Kuch Kuch Hota Hai', tetapi Anita tidak mengecewakannya dan hampir 870 yang hadir dengan sebuah lagu Tamil.

Dinyanyikan sebaris dua lagu Tamil (lagu lama) dengan gaya tersendirinya tanpa iringan muzik.  Tepukan gemuruh mengiringi anak kelahiran Singapura itu. itulah Anita!  Dan situasi itu boleh dilihat ketika dia bersama bandnya, American Dreams mengadakan persembahan makan tengah hari sempena Mingggu Setiausa di Hotel Mutiara Kuala Lumpur.

Anita muncul di pentas serba hitam dengan seluar bell-bottom tepat jam 1.15 tengahari.  Langsung melontarkan suara 'power'nya menerusi lagu 'Don't Cry Argentina' tetapi ditukar kepada 'Malaysia'.  Sebelum itu, lima pemuziknya siap bersamping kain tenun diarak oleh kakitangan hotel berkenaan ke pentas.  Apa yang kekal dalam setiap persembahan Anita atau mesra dengan panggilan Kak Nita ialah ekspresi wajahnya ketika menyanyi.  Elemen itu yang sering dibawanya dan menjadi antara penguat persembahan penghibur yang satu ini.  Bukan sekali dia menghiburkan setiausaha, hampir 10 kali sehingga tahun 2001 apabila bermula pada 1987.  Walaupun kadang-kadang repertoire yang dibawanya lebih kurang sama, persembahan Kak Nita tak pernah jemu ditonton.

Selesai menyanyi lagu pertama, dia sempat bergurau: "Setiap tahun pentas saya dikecilkan untuk ditambah meja.  Terima kasih!".  Kak Nita meneruskan dengan 'Love Will Keep Us Together''Kelincahan ketara biarpun dihambat usia yang melepasi 49 tahun 25 Mac lalu.  Cuma sedikit perlahan, berbanding tahun-tahun sebelumnya. Kak Nita tetap hebat dipandang.  Persembahan diselang-selikan dengan cerita-cerita pengalamannya yang disertai lawak.  Loghat Singapura terutama perkataan 'bilang' (kata) tak lekang di bibirnya.

Keenakan hidangan makan tengahari itu, Spices Spring Chicken dan Oven Baked Cajun tidak terjamah kerana keasyikan lawaknya, sehinggalah Kak Nita menyambung persembahan dengan memilih lagu ciptaan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.  Kak Nita membawa 'Jeritan Batinku' ke pentas dengan caranya tersendiri.  Rata-rata kenal dengan kebolehannya mengeksploit vokal.  Dan itulah kak Nita.  Lagu keempat, 'Turn The Beat Around' dipersembahkan sebelum mengajak dua pasangan suami isteri untuk berjoget dengannya menerusi lagu 'Joget Gila Bayang'.  Komuniskasinya dengan penonton juga hebat, jarang ada pada penyanyi Melayu kita.  Itulah juga antara elemen penting untuk kekal sebagai seorang penghibur.

Kekasih kepada Martin Cox ini 'menghambil hati' peminat Tionghua dengan lagu 'Bad Boy' sebelum meneruskan 'Crazy' yang dipopularkan Britney Spears.  Turut hadir, seorang peminatnya yang hanya dikenali sebagai Liza dari Aberdeen, London.  Seterusnya lagu Minang, 'Ayam Den Lapeh' menjadi santapan penonton di Grand Nirwana Ballroom hotel itu.  Kali ini, Kak Nita diiringi enam penari yang dikenali dengan Mutiara Dancer's.  Kak Nita sempat menukar baju ungu dengan korset hitam diluar menampakkan lagi keanggunan wanita ini dalam segmen kedua.  Dewan senyap seketika apabila Kak Nita menyanyikan satu-satunya lagu ciptaan sendiri, 'Damai'.

Pentas makin meriah dengan apabila seorang peminatnya, Maya Taib tampil ke pentas menyanyikan lagu 'Dengar Ini Cerita' dengan gaya ala Kak Nita.  Jika dilihat daripada persembahan Maya, dia mungkin peminat setia Kak Nita.  Dia cuba meniru corak Kak Nita dan dia menghiburkan.  Sekali lagi, Kak Nita mengajak seorang lagi peminatnya, Tanjung menyanyikan 'Sophisticated Lady'.  Dengan badan gempal, Tanjung yang tidak mengingati lirik lagu itu tetap mendapat tepukan gemuruh.

"Kalau Kak Nita tak menyanyikan lagu ini, tentu anda semua marah", katanya sebelum meneruskan lagu 'Akhirnya Kini Pasti'.  Kak Nita juga menyanyikan lagu 'I Never Say Goodbye' dan mengakhiri persembahan selama dua jam petang semalam dengan 'I'm Out Of Love' yang dipopularkan oleh Anastacia.  Makan tengahari berharga RM270 seorang itu berbaloi dengan 'tenaga' Kak Nita!

Sharifah Aini pula yang memakai kurung pendek warna merah jambu, memulakan persembahan tepat jam 1.20 tengahari dengan lagu lama yang dipopularkan oleh Bob Tutupoli, 'Mengapa Tiada Maaf', diikuti 'Hapuslah Airmatamu' dan 'I Will Always Love You' (Whitney Houston).  Sesuai dengan penonton rata-rata wanita berusia lewat 30-an (sudah berkahwin dan berkeluarga), Sharifah atau mesra dengan penggilan Kak Pah, menyanyikan medley lagu-lagu mengenai kegembiraan kaum hawa apabila berkasih, kemudian bergelar isteri dan ibu seperti 'Dekatlah Padaku' dan 'Kau Tinggi Di Awan Biru'.  Penyanyi yang sudah menghambakan diri lebih 30 tahun dalam seni, turut menceritakan pengalamannya ketika menyanyi, tidak lupa menyentuh persoalan peminat mengenai tahi lalatnya yang penuh di muka serta menyanyikan lagu 'Happy Birthday' kepada penonton bertuah petang itu, Dr Kamal.

Persembahan Kak Pah yang diiringi Syed Sobrie sebagai pemain keyboard, Ahmad (bass) dan Benson (gitar) serta tiga penyanyi latar, Arab, Eka dan Hanis turut memberi penghargaan kepada penyanyi Indonesia, Broery Marantika yang meninggal dunia tahun lalu.  Mungkin banyak kenangan manis Kak Pah dengan Broery ketika sama-sama berlakon 'Hapuslah Airmatamu' hingga menyanyikan lagu 'Hati Yang Terluka' dengan penuh perasaan, diikuti lagu terakhir yang dirakamkan penyanyi itu 'Semua Pergi'.  Mungkin penonton dibuai dengan suara Sharifah Aini hingga terpukau menyebabkan mereka tidak memberi respon baik seperti bertepuk tangan atau menyanyi bersama.  Beberapa kali Sharifah Aini meminta penonton memberi tepukan kerana baginya semua itu memberi makna kepada persembahan seterusnya.  Bagaimanapun selepas membuai penonton dengan lagu-lagu cinta, Sharifah yang tidak henti-henti menerima 'tetamu' (penonton naik pentas), mula bergelek dengan lagu popular dari album terbarunya, 'Nour El Ain'.  Persembahan yang baru panas itu dihangatkan lagi dengan irama salsa lagu Marc Anthony, 'I Need To Know', sebelum meninggalkan penonton.  Dalam persembahan selama sejam itu, Sharifah tidak ketinggalan menyanyi lagu wajibnya, 'Bunga Tanjung' yang memaparkan permulaan menarik gubahan Syed Sobrie dengan petikan keyboard, diikuti lagu Bryan Adams, 'If You Really Love A Woman' (lagu kegemaran Kak Pah dalam beberapa persembahannya sebelum ini).

Sebelum itu, pertunjukan fesyen dari koleksi Seleksi Akma Fashion Boutique yang juga penganjur persembahan untuk meraikan setiausaha dan bos mereka.  Kak Pah ketika ditemui selepas persembahannya mengakui dia mahu peminatnya yang datang hari itu pulang dengan kepuasan.  "Penonton rata-rata wanita yang sudah berumahtangga, jadi banyak lagu-lagu saya tujukan khusus untuk mereka seperti 'If You Really Love A Woman' serta lagu-lagu medley saya," katanya tersenyum manis.