KAH PAH TIDAK TOLAK KEMAMPUAN LELAKI oleh Wan Asrudi Wan Hasan (Harian Metro: Selasa, 1 Februari 2011) |
Sharifah Aini meletakkan kriteria pemilihan protege Mentor 5 lebih kepada peserta wanita Uji bakat terakhir Mentor musim kelima (Mentor 5) bagi mencari protégé kepada Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini berlangsung dengan jayanya di Dewan Theatrette, Sri Pentas TV3, Bandar Utama, Petaling Jaya, petang kelmarin. Walaupun mencatat sejarah antara uji bakat yang menyaksikan kehadiran peserta terendah sekitar 50 orang, ia tidak menjejaskan misi pencarian protégé bagi program itu. Faktor itu dipercayai berpunca daripada keadaan cuaca iaitu hujan renyai sejak awal pagi selain kriteria pemilihan hanya membabitkan peserta wanita ditetapkan Sharifah Aini atau lebih mesra disapa Kak Pah. Mereka yang hadir mempamerkan kualiti daripada segi vokal dan penampilan sehingga menyukarkan panel pemilihan. Pada sesi pemilihan yang berlangsung sejak jam 10 pagi itu Kak Pah turut dibantu komposer terkenal, Mohd Faizal Maas atau Ajai. Menurut Kak Pah, dia berpuas hati dengan sambutan peserta yang menunjukkan minat tinggi untuk menyertai program itu. Walaupun menyaksikan banyak bakat berpotensi, semua pihak perlu akur dengan keputusan hanya satu protégé yang dicari menerusi sesi uji bakat diadakan itu. "Semua peserta mempunyai potensi besar untuk diketengahkan dalam bidang nyanyian kecuali satu atau dua peserta yang masih kurang keyakinan atau gugup ketika menyertai uji bakat. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan sambutan peserta yang menghadiri sesi uji bakat ini. Jumlah peserta yang hadir bukan ukuran sebaliknya kualiti yang ada pada peserta itu sendiri. Bilangan yang hadir bukan bermakna saya tidak berpeluang mendapat peserta terbaik. Malah saya yakin dapat mencari protégé terbaik. "Mengenai kriteria pemilihan pula, saya bukan menidakkan kemampuan atau tidak mahu peserta lelaki cuma pertandingan ini membabitkan anak murid dan guru (Mentor) secara tidak langsung saya memainkan peranan sebagai perunding. Malah sikap mesra saya dengan sesiapa saja boleh mendorong ke arah fitnah dan buruk sangka daripada pihak luar. Program ini sendiri tidak banyak pembabitan peserta wanita secara tidak langsung ia memberi peluang kepada peserta wanita untuk memperagakan bakat nyanyian mereka," katanya. Kak Pah yang ditemui di Sri Pentas memaklumkan selain uji bakat itu dia turut mengadakan sesi uji bakat tertutup membabitkan beberapa pemain muzik dan penyanyi menerusi kenalannya. Begitupun dia belum membuat keputusan muktamad. Katanya, apa yang membuatkan dia teruja apabila menyaksikan kemampuan peserta menyanyi dengan pelbagai rentak lagu. Sebagai persediaan menyertai program itu Kak Pah meluangkan masa selama dua bulan untuk memberi tumpuan kepada anak didiknya. Pengalaman selama 42 tahun dalam dunia seni menjadi taruhan terbaik kepada Kak Pah untuk membimbing bakal anak didiknya. Selain dibantu seorang pembantu, Kak Pah turut mendapat pandangan daripada mereka yang pakar dalam bidang nyanyian. "Saya juga ada membayangkan perasaan mungkin mereka (peserta) takut menyertai sesi uji bakat seterusnya menjadi protégé untuk program ini. Saya mahu peserta sentiasa gembira ketika menyanyi. Peserta perlu sedar bukan mudah untuk bergelar penyanyi. Pelbagai cabaran perlu dilalui. Justeru persediaan dari segi mental dan jasmani perlu kuat. Sebagai mentor saya akan melatih anak didik membina keyakinan diri, mengasah vokal dan panduan berhadapan rakan media, termasuk persediaan lain sebelum bergelar penyanyi," kata Kak Pah yang tampil dengan gaya bertudung selepas mengerjakan ibadah haji pada 26 Disember tahun lalu. Artikel lain yang berkaitan: Tak Sampai Hati Singkir Peserta (Berita Minggu: B*Pop – 6 Februari 2011) Cari Kualiti Bukan Kuantiti (Berita Harian – Selasa, 1 Februari 2011) |