KAK PAH INGIN LUPA KISAH LALU

oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed  (Metro Ahad, 8 Disember 1999)

Penyanyi Sharifah Aini menitis airmata apabila menyebut beberapa nama rakan karibnya, termasuk wartawan yang selama ini banyak membantu dalam membina hidupnya sebagai seorang penyanyi.  Katanya, sokongan padu semua pihak menyebabkan dia masih lagi bertahan dalam arena senisuara tanahair dan kini sudah 30 tahun dia bergelar anak seni.  Seperti artis lain, dia juga pernah melalui pelbagai kontroversi yang hampir menggoncangkan kerjayanya.  Namun ketabahan yang tidak pernah pudar menguatkan semangat juangnya.

"Saya pernah jatuh terduduk dan tersungkur, namun saya mampu bangun semula.  Saya sering mengingatkan diri agar tabah menghadapi dugaan hidup kerana itu namanya perjuangan.  Selama lebih 30 tahun, saya melalui pelbagai rintangan.  Anak-anak, sahabat, peminat serta wartawan yang bersilih ganti membuatkan saya kembali bersemangat.  Kehidupan dan kerja sekarang juga banyak kerana enam permata (anak) dalam hidup saya.  Saya bukanlah sempurna, adakala di atas dan adakala saya berada di bawah dan merekalah penawarnya," kata Sharifah ketika ditemui di majlis pelancaran dua album terbarunya, Takkan Melayu Hilang Di Dunia dan Seri Dewi, malam kelmarin.

Di majlis begitu mengusik perasaan itu, keluarga, sahabat dan media massa juga dipertontonkan dengan tayangan video wajah-wajah Sharifah Aini sejak kecil sehinggalah kini.  Lebih menarik apabila tetamu pada malam itu dipertontonkan dengan video yang akan diedarkan ke semua stesen televisyen secara percuma yang mengimbas kembali kehidupan dan kejayaan Sharifah.  Amat mengejutkan apabila buat pertama kalinya, Sharifah bersetuju menayangkan gambar perkahwinannya tanpa menyembunyikan identiti dua bekas suaminya itu.  Di situ Sharifah banyak bercerita soal kerjaya, kehidupan, keluarga dan cukup menghiris hati apabila dengan tenang mengimbas kembali kes mahkamah yang membabitkan soal ibunya.

"Perkara lepas biarlah ia berlalu.  Saya tidak malu untuk menyiarkannya kerana ia adalah sejarah hidup saya.  Saya perlu teruskan hidup tanpa menoleh lagi ke belakang," katanya.  Pada majlis itu juga, Sharifah mendendangkan lapan lagu buat semua insan yang banyak membantu kerjayanya selama tiga puluh tahun.  Dia menyampaikan lagu Takkan Melayu Hilang Di Dunia, Hiburkanlah Hatiku, Jalak Lenteng, Bunga Tanjung, Dekatlah Padaku dan Hapuslah Airmatamu.  Di akhir majlis, Sharifah Aini mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang selama ini banyak membantunya.  "Anda semua adalah ahli keluarga saya.  Harapan saya, anda terus memberi sokongan terhadap kerajaya saya ini yang mungkin akan bertahan tiga atau empat tahun lagi, InsyaAllah," katanya.