KONSERT HARGAI SHARIFAH AINI oleh Sani Salleh (Harian Metro: Rabu, 9 Ogos 2000) |
Sempena kelahiran album Seribu Mawar, Biduanita Sharifah Aini menerima penghargaan istimewa dari RTM, apabila stesen penyiaran itu mengadakan konsert khas, menghargai 31 tahun pembabitannya di bidang seni. Konsert Istimewa ... Sharifah Aini, selama satu setengah jam itu akan berlangsung di Auditorium MPSA Shah Alam, Selangor, bermula jam 8.30 malam esok. Persembahan menarik itu diiringi secara langsung oleh Orkestra RTM, yang dianggotai 40 pemuzik pengalaman, pimpinan Ahmad Ali. Ia adalah pengiktirafan terhadap kegigihan dan kejayaan yang dikecapi sepanjang tiga dekad pembabitan Sharifah sebagai penghibur di negara ini. Konsert iitu dijangka ke udara di saluran TV1, 13 Ogos ini, pada jam 8.30 malam. Sharifah dikatakan membuat persediaan rapi bagi memberikan persembahan terbaik kepada peminat. Beliau dijangka menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu-lagu merdu termasuk daripada album terbarunya, yang mendapat sambutan menggalakkan sejak menjengah pasaran tanahair, minggu lalu. Antara lagu hit kekal evergreen yang akan didendangkan Sharifah dalam konsert itu lah Seri Dewi Malam, Hapuslah Airmatamu, Dekatlah Padaku, Kau Tinggi Di Awan Biru, Tiada Maaf Bagimu, Inikah Balasannya dan Di Malam Persandingan. Sharifah Aini tidak lupa memasukkan lagu Melayu asli dalam agenda persembahan apabila bakal memperdengarkan beberapa lagu seperti Bunga Tanjung, Ghazal Pancaran Senja dan Zapin Budi. Berbeza dengan 'Konsert Di Pinggir Kayangan', di Auditorium DBKL, baru-baru ini, Konsert Istimewa ... Sharifah Aini, lebih menumpukan kepada lagu daripada album terbaru serta lagu pop yang pernah menjulang namanya. Ia juga disifatkan hadiah Biduanita itu terhadap peminat yang tidak jemu menyokongnya, melayari dunia seni penuh suka-duka sejak lebih tiga dekad lalu dan hingga kini, belum ada tanda dia akan berundur. Mereka yang berminat untuk menyaksikan konsert itu boleh mendapatkan pas masuk percuma di RTM (Bahagian TV/Hiburan), pejabat EMI Music Malaysia, Radio Malaysia Selangor dan Skuad Perodua Era. Selain itu, peminat yang membawa kulit album Seribu Mawar ke Auditorium, berpeluang mendapat poskad dengan autograf istimewa Sharifah Aini. Dalam perkembangan lain, Sharifah baru menyiapkan klip video Seribu Mawar, yang penggambarannya dilakukan di Bukit Fraser dan lebuhraya Sungai Buloh-Rawang. |