IMPIAN KAK ANI

oleh Abie Abdullah  (Harian Metro: Jumaat, 29 Mac 2002)

"Saya mahu buat apa yang saya rasa nak buat.  Jadi perkara terbaik untuk saya sekarang adalah mempunyai produksi sendiri," kata Biduanita Negara, Sharifah Aini.  Penyanyi bersuara merdu yang mesra membahasakan dirinya dengan panggilan Kak Ani ini berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai impian dalam karier dan pembikinan album terbarunya yang akan dikeluarkan Mei ini.

Album yang sedang dalam proses rakaman itu adalah albumnya yang ke-75 dan produk terakhir Kak Ani bersama EMI yang dinaunginya lebih 34 tahun itu.  Kemunculan album itu juga menandakan penghujung hari untuk kontraknya dengan syarikat rakaman antarabangsa itu.  Bagaimanapun, menurut Kak Ani, dia tetap setia dengan EMI selepas ini apabila bersetuju 'mengikat' semula kontrak baru yang masih dalam rundingan, tetapi dalam terma atau situasi yang berbeza.  Katanya, dia akan mengeluarkan modal sendiri dan melantik EMI sebagai syarikat pengedar album akan datang.

"Dah tiba masanya untuk saya berbuat begini.  34 tahun saya bersama EMI, dah sampai masa saya buat sendiri.  Saya faham dengan situasi peruntukan kewangan sesebuah syarikat rakaman untuk sesebuah album.  Saya bukan bercakap pasal RM30 atau RM40 ribu untuk modal sebuah album tetapi lebih daripada itu.  Syarikat rakaman tidak akan mengeluarkan modal besar untuk album dan saya faham keadaan mereka itu.  Oleh kerana itu, jalan terbaiknya adalah saya mengeluarkan modal sendiri dan saya sanggup membelanjakannya jika ia sebuah produk atau hasil yang bagus.  Kenapa tidak?  Contohnya kalau susunan muzik untuk sebuah lagu saja memakan belanja RM25,000, saya tak kisah jika ia berbaloi," katanya selepas sidang media Minggu Setiausaha Bersama Sharifah Aini di Saloma Theatre Restaurant, kelmarin.

Ditanya kenapa baru sekarang dia terfikir ke arah itu, penyanyi Bunga Tanjung ini berkata, dia memberi tempoh lima tahun lagi untuk berkhidmat dalam industri yang diceburi sejak 1968 ini dan selama lima tahun itu juga dia mahu memberi yang terbaik.  Untuk album akan datang (selepas yang ke-75 ini), Kak Ani membayangkan keinginannya untuk menghasilkan lagu-lagu yang menggunakan muzik orkestra dengan strings penuh.  Jadi ianya bukan sebuah produk yang murah!  Itu album akan datang.  Bercakap mengenai album yang sedang 'diproses' dan belum bertajuk ini, Kak Ani berkata ia satu pengalaman baru untuknya apabila berpeluang bekerja dengan komposer-komposer muda seperti Ahmad Izham dan Pot Innuendo.  Selain itu, katanya untuk album yang menggunakan ramai penerbit ini juga, Kak Ani diberi kebebasan penuh memilih lagu mengikut citarasanya termasuk lagu ballad ciptaan Izham, 'Maafkanlah' dan M Nasir dengan dua lagu, 'Cinta Alaika' dan 'Jabbalramah'.

Turut dimuatkan, kata penyanyi 'tahi lalat' ini, 'Semua Pergi' yang pernah didendangkan oleh mendiang Broery Marantika dan sebuah lagu Sepanyol nyanyian Louis Miguel yang disadurkan ke bahasa Melayu, 'Malam Gelisah'.  'Semua Pergi' sebuah karya yang baik, tetapi saya akui, lagu sesedap manapun kalau tidak kena dengan suara kita, ia takkan menjadi juga.  Adunan vokal dan melodi mesti ada dan untuk rakaman ini juga saya menggunakan susunan muzik yang sama tanpa sebarang perubahan.  Lagu Louis Miguel itu pula cukup bagus di mana melodinya sangat cantik," katanya.

Mengenai persembahannya di Saloma yang dijadualkan pada 23 dan 24 April ini, Kak Ani berkata ia satu penghormatan buat dirinya tambahan pula dia artis pertama yang dijemput mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha di restoran bergaya itu.  "Ini peluang untuk saya, lagipun tempat ini begitu strategik.  Dalam masa yang sama, saya juga menerima satu tawaran dari Singapura tetapi terpaksa ditolak kerana saya lebih berminat persembahan di sini.  Pertama kali saya ke restoran ini, tak sangka Saloma juga mempunyai pentas persembahan kerana saya ingatkan ia hanyalah tempat makan-makan saja," katanya.  Kak Ani yang mengenakan sepasang baju kurung hitam bercetak bunga merah petang itu berkata, dalam dua hari merai para setiausaha itu nanti, dia akan mempersembahkan lagu-lagu yang pernah dirakamnya dan evergreen semasa di mana 60% adalah lagu Melayu.  "Mungkin juga saya akan memperkenalkan satu atau dua lagu dari album baru," katanya yang tak lekang dengan senyuman.

Manakala Ketua Pegawai Operasi restoran berkenaan, Datin Fatin Fatihah Ashaari, pemilihan Sharifah Aini sebagai artis pertama untuk Minggu Setiausaha itu berdasarkan kesesuaian gelaran evergreen antara Saloma dengan penyanyi itu.  "Sesuai dengan gelaran penyanyi sepanjang zaman dan lagipun banyak orang tanya, kenapa tidak dijemput Sharifah Aini mengadakan persembahan di sini.  Dia seorang penghibur dan kami mahu mereka yang datang ke Saloma boleh berhibur sambil menjamu hidangan kami," katanya.  Fatin memberitahu biarpun pertama kali menganjurkan Minggu Setiausaha, namun pihaknya tidak menghadapi masalah kerana segala persiapan sudah diatur rapi termasuklah publisiti dan pengiklanan di seluruh negara, Singapura dan Brunei.