'PRISM' BADAN PALING TELUS

oleh Norhadiani Baharom  (Harian Metro: Interaksi Rabu, 1 Ogos 2012)

Biduanita negara, Datuk Sharifah Aini menyeru penggiat seni muzik tempatan untuk menyertai PRISM Berhad yang kini bertindak sebagai badan pemungut royalti untuk pelaku (penyanyi dan pemuzik rakaman), sebaik pembubaran PRISM Sdn Bhd, baru-baru ini.  Selepas 44 tahun bergelumang dalam industri nyanyian, Sharifah Aini menyertai PRISM berikutan timbul kesedaran selain mengakui badan yang ditubuhkan lapan tahun lalu itu telus dalam mendapatkan hak pelaku.

Di samping itu, beliau juga berharap pertelagahan antara Performers & Artistes Right (M) Berhad (PRISM) dan Recording Performers Malaysia Berhad (RPM), badan baru yang bertindak sebagai pemungut royalti untuk pelaku (penyanyi dan pemuzik rakaman) dapat diselesaikan segera.  Ikuti temu bual wartawan Rap, Norhadiani Baharom (yanie@hmetro.com.my) bersama penghibur senior yang melontarkan pandangannya terhadap kemelut PRISM Berhad dan RPM.

RAP:  Sejak bila Datuk menjadi ahli PRISM?

Sharifah Aini (SA):  Kak Pah baru mendaftar tahun lalu.  Kenapa tahun lalu baru Kak Pah mendaftar, sebenarnya sebelum ini Kak Pah leka dan tidak pernah ambil tahu perjuangan dan kepentingan PRISM yang bertindak selaku badan pemungut royalti untuk pelaku (penyanyi dan pemuzik rakaman).

RAP:  Selepas lapan tahun PRISM berjuang, mengapa baru sekarang Datuk menyedarinya?

SA:  Sebelum ini, Kak Pah hanya menjadi pendengar dan pemerhati.  Namun, tahun lalu Kak Pah terpanggil untuk menyertai PRISM kerana mula memperakui usaha mereka untuk mempertahankan hak artis.  Walaupun Kak Pah terlepas merasa royalti tujuh tahun lalu kerana tidak mendaftar dengan PRISM, tetapi Kak Pah ingin ucapkan tahniah kepada badan itu kerana berjaya mengadakan majlis pengagihan royalti kepada 800 ahli, baru-baru ini.

Kak Pah kagum dengan usaha mereka dan apa yang cuba dikatakan ini bukan kerana Kak Pah baru menerima royalti dari badan itu tetapi Kak Pah menilai sendiri ketulusan mereka.  PRISM bukannya hendak buat duit di atas nama-nama ahlinya tetapi mereka telus membantu.  Ini kerana, artis tempatan kita tidak dilindungi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mahupun pihak kerajaan ataupun mana-mana pihak.  Dengan perolehan wang royalti, dapat sedikit sebanyak dijadikan simpanan untuk hari tua.

RAP:  Khabarnya pada Majlis Berbuka Puasa dan Pengagihan Royalti PRISM di Restoran Seri Melayu pada 25 Julai lalu, Datuk adalah penerima jumlah royalti paling tinggi dengan anggaran RM65,000?

SA:  Berapa jumlah yang Kak Pah dapat, tidak perlulah ditulis atau dihebahkan.  Sekiranya jumlah diterima Kak Pah lebih sedikit daripada yang lain, pengiraan yang dilakukan barangkali mengambil kira jumlah album Kak Pah yang melebihi 100 dan itu tidak termasuk kompilasi.  Sudah 44 tahun Kak Pah menjadi penyanyi, lagu Kak Pah masih lagi dimainkan di radio, pusat beli-belah dan pelbagai tempat.

Apa yang pasti malam itu sungguh bermakna buat semua penggiat muzik.  Sebagai seorang yang boleh dianggap ibu dalam industri nyanyian, Kak Pah rasa sangat gembira melihat tetamu yang hadir tersenyum penuh syukur apabila menerima wang royalti yang diberi atas hasil kerja serta hak mereka hingga Kak Pah rasa sebak dan hendak menangis.

RAP:  PRISM Sdn Bhd, baru-baru ini pernah dibubarkan sebelum pihak berkenaan mengumumkan penubuhan PRISM Berhad.  Semasa tempoh pembubaran itu dilakukan muncul Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) untuk menggantikan peranan badan pemungut royalti untuk pelaku (penyanyi dan pemuzik rakaman) agar pelaku yang terbabit terus mendapatkan hak mereka.  Pendapat Datuk dua badan memainkan peranan yang sama, tidak menimbulkan kekeliruan?

SA:  Semestinya akan wujud kekeliruan dan kepincangan.  Kak Pah bercakap sebagai orang luar.  Walaupun Kak Pah ahli PRISM, namun usaha yang dilakukan RPM diterajui Datuk Sheila Majid itu barangkali berniat baik.  Kak Pah simpati padanya apabila dia dihentam pelbagai pihak.  Menurut pemahaman Kak Pah, RPM ditubuhkan ekoran PRISM Sdn Bhd mengumumkan pembubaran mereka.  Sebagai penggiat seni, tentunya Sheila bersama orang-orangnya berasa bimbang dengan pembubaran PRISM.  Justeru RPM ditubuhkan bagi meneruskan peranan dilakukan PRISM, sekali gus menyelamatkan hak artis.

Namun, mengapa Kak Pah teguh memilih untuk menyertai PRISM, ini kerana selama lapan tahun penubuhan PRISM, pihak berkenaan sudah memainkan peranan mereka sebaik mungkin untuk memastikan hak artis diperoleh sewajarnya dengan melakukan pengagihan secara telus.  Manakala, RPM masih baru dan mungkin mereka perlu mengambil masa untuk mewujudkan sistem pemungutan royalti yang sistematik.  Sedangkan PRISM diterajui mereka yang berpengalaman.  Apapun, Kak Pah ingin ucapkan selamat maju jaya buat Sheila kerana Kak Pah yakin dia juga berniat baik.

RAP:  Nasihat Datuk dalam usaha meleraikan sengketa antara PRISM dan RPM?

SA:  Alangkah baiknya kalau mereka bergabung dan menilai semula segala kelonggaran yang berlaku, kemudian sama-sama memantapkannya agar lebih banyak hak artis dapat dipertahankan.

RAP:  Sebelum beralih kepada soalan lain, terdengar khabar angin kononnya Datuk terkilan dengan EMI dan MACP (Badan Perlindungan Hakcipta Muzik) kerana pemberian royalti yang tidak dilakukan sewajarnya?

SA:  Kali terakhir Kak Pah menerima wang royalti daripada EMI Music Malaysia pada tahun 2000.  Bagaimanapun, sejak penggabungan EMI dan Warner, Kak Pah tidak lagi pernah merasa royalti yang sepatutnya Kak Pah terima hinggalah sekarang ini.  Selain itu, Kak Pah juga berasa jauh hati dengan MACP kerana royalti yang diterima sangat sedikit sedangkan selama 44 tahun menyanyi sehingga kini lagu Kak Pah masih berkumandang di corong radio dan di mana-mana.

Sepanjang bergelar penyanyi, Kak Pah sudah menghasilkan lebih 200 lirik.  Mungkin tidak semua lagu yang Kak Pah bertindak sebagai penulis disiarkan tetapi cukuplah sekadar mendengar lagu raya Kak Pah yang juga liriknya ditulis Kak Pah sendiri.  Menjelang hari raya, pagi, siang, petang dan malam lagu Kak Pah berkumandang, bukan di satu stesen tapi di banyak stesen.  Justeru, Kak Pah rasa Kak Pah tidak dilayani dengan adil.

RAP:  Sebagai soalan akhir, mungkin Datuk ingin memperkatakan sesuatu khususnya mengenai rencana seni Datuk dalam masa terdekat?

SA:  Buat masa ini Kak Pah berehat dulu kerana tidak berapa sihat.  Namun insya-Allah, Januari atau Februari depan Kak Pah punya rencana besar.  Selain itu, Kak Pah dalam perancangan mencari penganjur untuk mengadakan persembahan amal untuk anak-anak Tahfiz.  Kak Pah lebih suka buat sendiri kerana keuntungan diberi sama adil iaitu 50/50 peratus sedangkan penganjur lain hanya memberikan 5 peratus kepada mana-mana rumah kebajikan yang mereka bekerjasama.

Bukan itu saja, Kak Pah teringin sangat hendak buat persembahan dengan Papa Rock, Ramli Sarip.  Diharapkan kami dapat membuat persembahan bersama suatu hari nanti.