CERITA SHARIFAH AINI TENTANG TAHI LALATNYA YANG DAH HILANG

oleh Wanda Idris  (HAI: 25 September 1999)

Apabila melihat kulit luar album kompilasi lagu-lagu Melayu terbaru Sharifah Aini, 'Takkan Melayu Hilang Di Dunia', ramai tertanya-tanya ke mana menghilangnya tahi lalat biduanita ini.  Masakan tidak, tahi lalat yang lebih 10 biji di wajahnya sudah sinonim dengan Sharifah Aini dan suatu ketika dahulu, tahi lalatnya itu pernah menjadi daya tarikan peminatnya.  Namun kini, tahi lalatnya itu sudah tidak lagi kelihatan dan peminat setianya tertanya-tanya, apakah Sharifah Aini telah membuang kesemua tahi lalatnya itu.

"Sebenarnya tahi lalat Kak Ani tu tak hilang ke mana ...  Ada lagi ...  Cuma untuk cover album tu, ia di 'dihilangkan' menggunakan kaedah canggih komputer.  Ia telah di'touch-up'.  Dan Kak Ani tak nafikan Kak Ani suka dengan imej itu.  Bukan Kak Ani tak sukakan imej bertahi lalat ...  Suka ...  Lagipun tahi lalat tu tumbuh sendiri ...  Bukan Kak Ani yang sengaja buat-buat.  Cuma seperti juga manusia biasa, Kak Ani teringin juga buat perubahan.  Dan sekarang ini pun, Kak Ani sebenarnya sedang menjalani rawatan 'to lighten' warna-warna tahi lalat Kak Ani yang hitam tu," jelas Sharifah Aini ketika ditemui selepas mengadakan persembahan eksklusif di Restoran Berputar, Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ditanya lagi, apakah penampilannya yang bukan sahaja anggun tetapi juga kelihatan agak kurus di kulit albumnya itu disebabkan oleh kecanggihan teknologi komputer, Sharifah Aini menjelaskan" "Hah!  Yang itu bukan 'touch-up' ya ...  Tak ada kena-mengena dengan kecanggihan komputer tau.  Itu wajah sebenar Kak Ani," katanya sambil ketawa.  "Sebenarnya kalau nak tahu, jika berat badan Kak Ani turun, memang bahagian dagu kak Ani yang 'effect' dahulu.  Dan dalam gambar itu, ia kelihatan jelas dan ini membuatkan Kak Ani nampak kurus," tambahnya.

BUAT ALBUM TRIBUTE UNTUK ARTIS SETIAP GENERASI

Banyak perancangan untuk Sharifah Aini yang dilakukan oleh syarikat rakamannya, EMI sempena ulangtahun ke 30 Sharifah Aini bersama EMI.  Antaranya ialah menerbitkan lima buah albumnya yang akan dipasarkan menjelang alaf baru termasuk album Melayu klasik, 'Takkan Melayu Hilang Di Dunia' yang sedang berada di pasaran kini.  "Oktober nanti, album kompilasi lagu-lagu pop hit Kak Ani pula akan menyusul dan akan memuatkan lagu 'Rindu Serindu-Rindunya' yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Spoon.  Bagaimanapun, muziknya disusun semula oleh Ramli MS mengikut konsep Kak Ani.  Sebenarnya Kak Ani juga merancang untuk merakamkan sebuah album 'tribute' kepada artis-artis kita yang mengandungi 15 buah lagu-lagu hit mereka.  Dan InsyaAllah Oktober atau November depan, Kak Ani akan masuk studio untuk rakaman.  Untuk album 'tribute' ini, Kak Ani ingin sangat menyanyikan lagu-lagu Ramli Sarip, Hattan, Alleycats dan sebagainya dan mengikut perancangannya, Kak Ani mahu menyanyikan semula lagu-lagu hit tahun 60an, 70an, 80an dan 90an," jelasnya mengenai album itu yang akan dipasarkan pada penghujung tahun ini.

Mengenai album terbarunya yang akan dipasarkan sebelum album 'tribute'nya itu, kata biduanita bersuara lunak ini, album tersebut nanti akan memuatkan pelbagai rentak lagu.  "Untuk album baru itu, Kak Ani mahu ia ada 'a little bit of everything' Kak Ani mahukan 'variety'.  InsyaAllah dalam album itu, Kak Ani akan memuatkan dua buah lagu Inggeris dan dua buah lagu Arab.  Sekarang ini, kak Ani masih menantikan lagu-lagunya.  Selain itu, album ini juga nanti akan memuatkan dua buah lagu berentak asli, dan dua buah lagu berentak pop dan dua buah lagu nasyid.  Semuanya lagu-lagu baru.  Kerana itulah Kak Ani katakan album ini ada 'a little bit of everything,' beritahunya yang merancang untuk mengadakan konsertnya selepas raya tahun depan.

RAKAM SEMULA LAGU 'RINDU SERINDU-RINDUNYA'

Mengenai keputusannya merakamkan semula lagu popular kumpulan Spoon itu yang akan dimuatkan dalam album kompilasi lagu-lagu popnya, kata Sharifah Aini: "Mungkin ramai yang tertanya-tanyakan mengapa Kak Ani pilih lagu tersebut.  Sebenarnya Kak Ani pilih bukan sebab lagu itu popular cuma Kak Ani ingin 'vizualize'kan lagu tersebut dalam versi Kak Ani.  Peminat juga ramai yang meminta Kak Ani nyanyikan lagu itu.  Kak Ani tahu ramai yang kata lagu itu lagu kampung tapi Kak Ani bangga menyanyikannya semula sebab Kak Ani juga orang kampung.  Dan kalau nak tahu orang kampung inilah yang membeli album-album Kak Ani.  Kak Ani tak nafikan yang orang bandar juga meminati Kak Ani dan membeli album Kak Ani.  Tapi pengaruh orang kampung juga tidak boleh dipandang ringan.  Kerana itulah, dalam setiap album, Kak Ani pentingkan peminat.  Kak Ani suka mempelbagaikan rentak lagu agar diterima setiap lapisan masyarakat tidak kira kampung mahupun bandar," katanya.

BUAT AMAL JARIAH

Tambahnya, "Kak Ani tak pentingkan satu golongan saja ...  Sebagai seorang penyanyi, kita membuat orang terhibur.  Bila kita buat orang gembira ... terhibur, kita dapat pahala.  Sebenarnya Kak Ani jarang ceritakan kepada orang ramai tentang hal ini ...  Tetapi Kak Ani selalu dijemput oleh kaum keluarga orang yang sakit, misalnya ...  Kerana 'last wishes'nya nak bertemu Kak Ani.  Niat Kak Ani cuma satu ...  Bukan nak cari publisiti tetapi nak cari pahala.  Hari ini hari orang ...  Mana tahu hari kita ...  Dan sekiranya Kak Ani mempunyai masa terluang, Kak Ani akan pergi ...  As far as Sabah ...  Pernah juga seorang peminat dari Terengganu yang dimasukkan ke ICU (unit rawatan rapi) setelah koma selama tiga minggu.  Salah seorang kaum keluarganya menghubungi Kak Ani meminta Kak Ani menziarahinya.  Sesampai di sana, Kak Ani bacakan ayat suci al-Quran dan Alhamdulillah tak lama selepas itu dia tersedar," ceritanya.

Unggul ... Biarpun tidak cukup rehat dan tidak cukup tidur, persembahan eksklusif biduanita Sharifah Aini yang diadakan di Restoran Berputar, Menara Kuala Lumpur tetap mantapSEPETANG BERSAMA ... SHARIFAH AINI BEST !

Biarpun tidak cukup rehat kerana baru pulang dari kota Singa ternyata Sharifah Aini tetap unggul dan maintain ketika menghiburkan peminatnya di Restoran Berputar, Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.  "Kak Ani ni baru sahaja pulang dari Singapura ...  Semalam pula tidur lewat ... hampir jam 4.00 pagi kerana mengadakan persembahan di sini (Restoran Berputar) dan pukul 7.00 pagi, Kak Ani sudah bersedia untuk berlepas ke sana.  Sebenarnya pihak penganjur di Singapura tu minta Kak Ani buat show pada sebelah malam tapi Kak Ani tak boleh sebab malamnya Kak Ani terpaksa mengadakan persembahan di sini.  Tapi mereka mahu juga Kak Ani menyanyi dan ubah masa show pada sebelah petangnya.  Kak Ani tak mahulah hampakan peminat di sana.  Selepas show sepatutnya kami terus pulang tetapi terlepas 'flight'.  Terpaksalah tunggu penerbangan yang seterusnya.  Sampai-sampai saja di sini dah jam 9.00 malam.  Kak Ani terus pulang ke rumah dan bersiap-siap pula untuk mengadakan persembahan di sini.  Letih tu memanglah letih ...  Tapi Kak Ani gembira lebih-lebih lagi apabila melihat sambutan yang mnggalakkan," katanya yang menerima pelbagai cenderamata daripada peminat di Singapura termasuklah cincin emas dan kuih-muih.

Dalam persembahannya itu, Sharifah Aini telah menyanyikan 15 buah lagu diiringi petikan piano Amir Hamzah.  Antara lagu-lagu yang dipersembahkannya termasuklah lagu-lagu hitnya seperti 'Tiada Maaf Bagimu', 'Hapuslah Airmatamu' dan 'Bunga Tanjung'.  Sharifah Aini turut menyanyikan beberapa lagu Inggeris dan ketika mempersembahkan sebuah lagu yang pernah dipopularkan Broery Marantika berjudul 'Hati Yang Terluka', dia mendapat tepukan gemuruh daripada peminat setianya.