Sharifah Aini, Anita Berkongsi Pentas

'Dengarnya ...' oleh 'Normah Becok'  (Berita Harian: Isnin, 2 November 2009)

 

 

Cik Normah gembira apabila sejak selepas Syawal ini cerita yang dipaparkan mengenai Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini tidak berkisar mengenai kontroversi, hal mahkamah dan cerita polis.  Maklumlah, sejak beberapa tahun ini banyak sangat cerita sensasi saja yang keluar apabila membabitkan penyanyi Seri Dewi Malam ini.

Selepas berjaya menawan peminatnya dengan satu persembahan menakjubkan di Dewan Perdana Felda, terbaru pula, Cik Normah dengar, Kak Pah semakin sibuk dengan persembahan amal yang dinamakan Datuk Sharifah Aini & Friends.  Pada 4 Disember ini Kak Pah akan membuat persembahan di Hotel Concorde dengan penyanyi Terlalu Istimewa Adibah Noor diikuti dengan lelaki idaman Malaya, Anuar Zain pada 11 Disember ini.

Untuk sebarang maklumat lanjut mengenai persembahan ini hubungi saja 019-3848054, 012-9332373 atau 03-3848054 atau e-mel limeevent@gmail.com.

Paling penting, kedua-dua persembahan itu adalah untuk mengutip dana Maahad Tahfiz Al-Quran di Puchong, Selangor.  Dan Cik Normah dengar, Kak Pah juga berhasrat untuk mengadakan kerjasama dengan beberapa lagi penyanyi tersohor tanah air seperti M Nasir dan Jamal Abdillah.

Tetapi yang paling membuatkan dada Cik Normah bagaikan nak meletup kerana terlalu gembira adalah, Kak Pah juga sedang berura-ura untuk mengadakan kerjasama dengan Anita Sarawak.  Tak sabarnya rasanya hendak melihat kedua-dua penyanyi ini beraksi dalam sebuah pentas.  Cik Normah percaya peminat kedua-dua penyanyi ini tentu saja teruja dan tidak sabar untuk menyaksikan persembahan mereka.

Cik Normah berharap hasrat ini menjadi kenyataan kerana bukan mudah untuk menggandingkan kedua-dua penyanyi hebat ini.  Ketika Cik Normah sedang mengetuk cerita ini, ada angin yang sudah membisikkan ke telinga Cik Normah, Kak Pah dan Kak Nita sedang mencari tarikh yang sesuai untuk melaksanakannya.

Malah, dengar khabarnya mereka akan mengadakan pertemuan di rumah Kak Pah yang tersergam indah itu.  Cik Normah belum berpeluang menjejakkan kaki ke rumah Kak Pah itu dan besarlah harapan Cik Normah untuk turut serta dalam pertemuan itu.  Itu pun kalau bos Cik Normah izinkanlah.  Kalau boleh Cik Normah nak ajak Kak Pora sekali kerana Kak Pora pun pernah membisikkan ke telinga Cik Normah yang mulus ini dia pun teringin juga melihat sendiri kecantikan rumah Kak Pah.