IBU AMPUNKAN SALAH SILAP KAK PAH oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin, Aziz Ittar & Garret Dawum (Mingguan Malaysia: Dalam Negeri, 6 Julai 2014) |
|
KUALA LUMPUR, 5 Julai – "Sepatutnya Umi yang pergi dahulu, bukan dia," demikian kata-kata Sharifah Noor Syed Ahmad Al-Attas, 80. Ibu kandung Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini itu meluahkan kesedihan ekoran kehilangan anak kesayangannya yang meninggal dunia di Pusat Perubatan Pakar Damansara KPJ di sini, pukul 1.26 pagi tadi. Menurut Sharifah Noor yang membahasakan dirinya sebagai Umi, dia sempat bertemu dengan Allahyarham pada Selasa lalu di pusat perubatan berkenaan. Beliau berkata, itu adalah pertemuan terakhir antara mereka yang turut disertai suami Sharifah Noor yang juga bapa tiri Allahyarham, Musa Baba, 78. "Semasa Umi datang pada hari itu, dia sudah koma, tidak dapat bercakap lagi. Umi bisik di telinganya bahawa Umi sangat sayangkan dia. Umi juga beritahu, dia adalah anak Umi yang baik dan dia banyak menolong kehidupan Umi," beritahu Sharifah Noor dengan nada sebak. Menurut Sharifah, dia menjadi agak terkejut apabila dalam keadaan koma itu, Sharifah Aini kelihatan seperti mengangguk-anggukkan kepalanya apabila mendengar ibunya bercakap. "Dia macam angguk-angguk kepala selepas Umi bercakap. Sememangnya Sharifah Aini adalah anak yang baik. Insya-Allah sebagai ibu, saya yakin ganjarannya adalah syurga yang sedang menanti Sharifah Aini di akhirat," katanya lagi seraya berkali-kali memberitahu bahawa dia reda akan pemergian anak kesayangannya itu. Sementara itu, tiada permintaan yang lebih penting buat Aliff Omar, 33, iaitu agar semua orang yang mengenali Allahyarham Sharifah Aini memaafkan segala salah silap ibunya itu selepas kematiannya. Menurut anak tunggal penyanyi yang popular dengan lagu Bunga Tanjung itu, dia reda dengan pemergian ibunya yang meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru pada usia 61 tahun sambil pada masa sama meminta semua pihak agar mendoakannya tabah dalam menerima ujian. Malah, dia menyedari sebagai penyanyi terkenal, arwah ibunya itu tentunya mempunyai ramai kenalan termasuklah jutaan peminat di Malaysia, Singapura dan Brunei yang pernah berurusan dalam pelbagai urusan sewaktu hayatnya. "Terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat tentang diri ibu saya selama ini. Saya berharap agar anda semua dapat mendoakan yang terbaik untuk arwah ibu saya. Saya minta anda semua halalkan segala salah silap ibu saya sewaktu hayatnya. "Saya juga memohon agar anda semua mendoakan saya dan ahli-ahli keluarga agar kami tabah dengan kehilangan ini," katanya selepas majlis pengebumian jenazah penyanyi itu tengah hari ini di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini. Jenazah Sharifah Aini atau nama penuhnya Sharifah Aini Syed Jaafar disembahyangkan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail di sini sebanyak tiga kali dengan salah satunya diimamkan oleh Aliff sendiri.
Sementara itu, bekas suami pertama Allahyarham, Ali Bakar, 62, semasa ditemui selepas upacara itu berkata, dia diberitahu oleh Aliff tentang arwah yang dimasukkan ke hospital berkenaan beberapa hari lalu. "Saya sempat melawat arwah di hospital selepas diberitahu oleh Aliff dan ketika itu arwah telah koma. Awal pagi tadi, Aliff sekali lagi menghubungi saya tetapi kali ini memberitahu bahawa ibunya telah meninggal dunia. "Sepanjang arwah sakit, dia berpesan beberapa perkara kepada Aliff tetapi tidak mahu dikongsi dengan pihak lain kerana ia bersifat peribadi. Biarlah ia menjadi rahsia kami sahaja," ujarnya yang berkahwin dengan Allahyarham pada 1981 dan bercerai 10 bulan kemudian.
Allahyarham yang dilahirkan pada 2 Julai 1953 di Johor Bahru memulakan kerjayanya sebagai penyanyi selepas memenangi tempat pertama pertandingan Bintang RTS 1968 dengan mendendangkan lagu berjudul Tiga Malam dan kemudian menjadi penyanyi syarikat rakaman EMI. Beliau adalah penyanyi kedua yang digelar Biduanita Negara selepas Saloma selain menjadi satu-satunya penyanyi tanah air paling lama kekal dengan satu syarikat rakaman iaitu selama lebih 40 tahun dengan nama telah diabadikan dalam Malaysia Book of Records. |
APA KATA MEREKA Saya terkejut, sedih bila mendengar berita ini awal pagi tadi – Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Komunikasi dan Multimedia. Takziah buat keluarga Biduanita Negara, Allahyarham Sharifah Aini yang telah pergi hari ini. Semoga roh beliau dicucuri rahmat oleh-Nya – Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor. Kita kehilangan seorang insan yang banyak jasanya kepada negara terutama dalam industri muzik tanahair – Datuk Siti Nurhaliza, Penyanyi My deepest and heartfelt condolences to the family of Datuk Sharifah Aini (Takziah kepada keluarga Datuk Sharifah Aini) – Ram Karpal Singh, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Innalillah. Al-Fatihah pada Allahyarham Biduanita Sharifah Aini – Aaron Aziz, Pelakon I remember back in our early Elite days, under EMI we'd always tour together with the late Sharifah Aini. What a honour that was! (Saya teringat sewaktu hari-hari terawal kemunculan kumpulan Elite di bawah syarikat rakaman EMI, kami sentiasa jelajah promosi bersama. Sangat berbesar hati ketika itu) – Sasha Saidin, Penyanyi kumpulan Elite Duet bersama Allahyarham menerusi lagu Bisikan Hati Di Pagi Raya pada 1977 tidak akan pernah saya lupa. Itulah kenangan yang saya rakam bersamanya. Ia satu nostalgia buat saya. Saya sangat sedih dengan pemergiannya. Dia sebutir mutiara yang tidak boleh dicari ganti. Allahyarham antara orang yang banyak mengajar saya. Ketegasannya dan sifatnya yang tetap pada pendirian, saya pegang sehingga kini – Hail Amir, Penyanyi Lagu-lagu Allahyarham pasti akan menjadi ingatan buat semua. Lagu-lagu yang didendangkan oleh Allahyarham pasti akan didengari oleh semua selepas ini. Saya yakin tidak satu pun lagunya akan dilupakan – Datuk Hattan, Penyanyi Masa Aliff (anak Sharifah Aini) berusia tiga tahun dan anak saya, Serina, dua tahun, Sharifah Aini pernah bergurau supaya kami menjodohkan mereka apabila besar nanti. Tetapi itu cerita lama, kami suka bergurau konon-konon boleh menjadi besan. Hakikatnya, saya sangat sayang kepadanya seperti kakak sendiri – Datuk Chef Wan, Selebriti |
KAK PAH SANGAT DISAYANGI – RAKAN KUALA LUMPUR 5 Julai – Pemergian Datuk Sharifah Aini adalah satu kehilangan besar bukan sahaja bagi golongan peminat, tetapi juga bagi artis-artis ternama dalam negara yang selama ini menganggap beliau sebagai idola dalam memperjuangkan seni tempatan. Di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail tempat jenazah Sharifah Aini dimandikan dan disembahyanglkan, ada rakan artis yang menunggu di masjid tersebut sejak pukul 7 pagi menunjukkan Kak Pah sangat disegani dan disayangi oleh semua. Dijemput Ilahi kita-kira pukul 1.26 pagi tadi di Hospital Pakar Damansara KPJ di sini akibat jangkitan paru-paru, rakan-rakan artis juga hadir memberi penghormatan terakhir. Antara yang hadir ketika upacara pengebumian ialah Uji Rashid, Hail Amir, Zaiton Sameon, Ellie Suriati, Datuk Sarimah Ahmad, Datuk Siti Nurhaliza, Aznah Hamid, Habsah Hassan, Datuk Chef Wan, Fazli Zainal, Salwa Abdul Rahman, Mak Jah, Rohana Jalil, Datuk Hattan dan ramai lagi. Selain itu, di dalam laman sosial pula, mereka (rakan artis) tidak putus-putus memberikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. LIMA ARTIS TERAKHIR MAHU DITEMUI KUALA LUMPUR 5 Julai – Ketika dalam keadaan kritikal di Hospital Pakar Damansara KPJ di sini pada Jun lalu, Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini sempat menunaikan hajat peribadinya untuk bertemu dengan lima artis tempatan. Mereka ialah Datuk DJ Dave, Nassier Wahab, Herman Tino, Nash dan Fauziah Latiff. Menurut Nassier, hasrat itu disuarakan oleh Sharifah Aini dengan menelefon sendiri pengurus artis popular, Mas Omar kira-kira dua minggu lalu. "Seminggu kemudian, iaitu pada Jumaat (27 Jun) barulah kami berkesempatan bertemu dengannya. Dalam pertemuan itu, memang kelihatan keadaan beliau amat uzur, tetapi Kak Pah kekal tersenyum dan rancak bercakap walaupun dalam keadaan termengah-mengah dan menggunakan wayar bantuan pernafasan di hidungnya. "Malah, Kak Pah juga berkali-kali meminta maaf kepada kami semua yang datang menziarahinya dan memberitahu bahawa kesakitan yang ditanggung adalah ujian dari Allah bagi meredakan segala dosa yang telah dilakukannya selama ini. Ia adalah pertemuan terakhir yang penuh dengan air mata," katanya dalam nada sayu ketika ditemui di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail, lokasi di mana jenazah Allahyarham dimandikan. Menurut Nassier, dia sama sekali tidak menyangka itu adalah pertemuan terakhir dengan biduanita berkenaan. "Dia juga mencium dahi saya dan beberapa kali memeluk kami bagaikan adiknya sendiri, seolah-olah tidak mahu berpisah. Saya secara peribadi menganggap pertemuan kami itu amat bermakna dan tidak pernah menyangka kami dipilih bertemu dengan beliau pada penghujung usianya sedangkan pihak lain tidak semudah itu menziarahi beliau ketika sedang sakit tenat," katanya. Artikel lain yang berkaitan: Perginya Biduanita Negara (Mingguan Malaysia: Pancaindera – 6 Julai 2014) Pulangnya Biduanita Sepanjang Zaman (Mingguan Malaysia: Rencana – 6 Julai 2014) |