PERGINYA BIDUANITA NEGARA:  PEMERGIAN MENGEJUT

oleh Rudy Imran Shamsudin  (Metro Ahad: Setempat 6 Julai 2014)

ANAK SENI minta doakan yang terbaik untuk allahyarham

Kuala Lumpur.  Rata-rata anak seni yang memberikan penghormatan terakhir kepada Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar, 61 menyifatkan pemergian penyanyi malar segar itu sebagai mengejut dan terlalu cepat.  Sharifah Aini menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Pakar Damansara, di sini awal pagi semalam akibat penyakit komplikasi fibrosis paru-paru yang dideritai hampir dua tahun.

Penyanyi seangkatan, Uji Rashid menyifatkan Sharifah Aini seorang penyanyi berbakat besar dan meminta kepada umum untuk mendoakan yang terbaik untuk Allahyarham.  "Saya meminta kepada semua peminat mendoakan yang terbaik.  Kalau ada keburukan usah diceritakan sebaliknya doa perkara yang baik.  Ingatlah Allahyarham pergi di bulan Ramadan di mana pintu syurga dibuka dan doa di angkat terus ke langit," katanya.

Penyanyi Khatijah Ibrahim pula menjelaskan dia terkejut apabila diberitahu yang Sharifah Aini sudah meninggal walaupun sebelum itu penyanyi yang turut bergelar pelakon itu sudah memberikan gambaran sewaktu ditermui beberapa bulan lalu.  "Apabila dia bercerita dan mengatakan akan pergi meninggalkan kami semua saya tidak terlalu ambil serius.  Tapi mungkin waktu itu Allahyarham sudah tahu penyakit dihadapi semakin serius.  Apabila dia pergi terasa mengejut dan cepat, namun mudah dan tenang," katanya.

Sharifah Aini berasal dari Kampung Majidee, Johor Bahru, Johor mula mencipta nama sebagai penyanyi selepas menjuarai pertandingan nyanyian Bintang Radio Televisyen Singapura (RTS) pada 1969.  Kelunakan vokal dimiliki membuatkan syarikat rakaman EMI berminat untuk mengikatnya sebagai artis rakaman mereka dan menerbitkan single Seri Dewi Malam pada 1970.

Sepanjang bergelar artis rakaman, Sharifah Aini telah menghasilkan 93 album termasuk tujuh album Inggeris dan ia tercatat dalam Malaysian Book Of Records sebagai penyanyi paling banyak memghasilkan album.  Penyanyi yang popular dengan panggilan Ani dalam kalangan artis diberikan gelaran Biduanita Negara menerusi Anugerah Kecapi dianjurkan RTM dan Anugerah Biduanita Sepanjang Zaman (Darjah Kebesaran Sultanah Keedah). 

Sepanjang hampir 45 tahun pembabitannya dalam industri muzik tempatan, pelbagai anugerah diterima Sharifah Aini termasuk di peringkat Asia Tenggara antaranya Anugerah Penghibur Terbaik Asia Pasifik (Anugerah Lagu Asia Pasifik 1975).  Sharifah Aini turut mencipta nama sebagai pelakon dan pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia 1977 menerusi Hapuslah Airmatamu.

Sharifah Aini turut berlakon dalam filem Sumber Ilhamku, Bintang Pujaan, Diva Popular dan terakhir membuat kemunculan istimewa menerusi filem Penanggal arahan Ellie Suriaty.  Penyanyi yang pernah berkahwin sebanyak dua kali itu juga tidak dapat lari daripada kontroversi, antara paling diingati pertelingkahan Sharifah Aini dengan ibunya ppada 1978, sehingga dibawa ke mahkamah.  Bertahun ia dibicarakan akhirnya kes berkenaan telah diselesaikan setelah penyanyi itu berbaik semula dengan ibunya.

NAJIB lahir simpati

Kuala Lumpur.  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa sedih di atas pemergian Datuk Sharifah Aini atau lebih dikenali Kak Pah yang meninggal dunia jam 1.30 pagi semalam.  Beliau turut mendoakan semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

"Saya sedih atas pemergian biduanita Datuk Sharifah Aini.  Semoga ditempatkan dalam kalangan yang beriman.  Al-Fatihah," katanya menerusi akaun Twitternya semalam.

Allahyarham meninggal dunia di Pusat Perubatan Pakar Damansara selepas dimasukkan ke hospital itu sejak Selasa lalu kerana jangkitan paru-paru yang dihidapi sejak dua tahun lalu.  Jenazah dibawa ke Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail untuk dimandi dan disembahyangkan sebelum dikebumikan dfi Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas Zuhur semalam.

Artikel lain yang berkaitan:

  Perginya Biduanita Negara: Kehilangan Sebutir Bintang (Metro Ahad: Setempat 6 Julai 2014)