Sharifah Aini Tetap Setia 'Dah Depan Mata' dikendalikan Hartati Hassan Basri (Metro Ahad, 15 Oktober 2000) |
Sharifah Aini tetap setia dengan EMI (M) Sdn Bhd selama 31 tahun dan menghasilkan 74 album. Baru-baru ini kata sepakat dibuat untuk menyambung kontrak selama lima tahun lagi. Nama Sharifah memang sudah mantap di Malaysia dan peminatnya semua lapisan masyarakat dan pelbagai bangsa. Tentu paling ramai peminatnya di kalangan makcik-makcik. Baru-baru ini EMI membuat pelancaran album Seribu Mawar di atas kapal terbesar di Asia Pasifik, StarVirgo. Tati berpeluang mengikuti rombongan ini dan sempat berbual dengannya sehingga jam 2 pagi, selepas menyaksikan persembahan mantapnya selama sejam. Antara topik yang disentuh ialah hasrat melangkah ke peringkat antarabangsa. Agak mengejutkan kerana penyanyi dikenali kerana bilangan tahi lalat di muka ini tidak berminat berbuat demikian, sedangkan artis muda mengejar impian menjual suara ke luar negara. "KRU cuba pergi ke Australia, tetapi susah. Bukan mudah untuk menembusi pasaran mereka. Malah Whitney Houston sendiri mengambi masa 10 tahun untuk popular. Siapalah kita," katanya. Album terbarunya, Seribu Mawar mungkin dipasarkan ke Dubai tidak lama lagi kerana ada pihak di negara tersebut berminat memasarkan abum ini. Apabila diminta pandangan mengenai ada artis terlalu mengejar impian itu, Sharifah hanya mendoakan kejayaan mereka. "Wish all the best. Mungkin dia akan berjaya," katanya ringkas tanpa merujuk siapa dimaksudkan. Tati teringat Ning Baizura yang sejak awal-awal lagi bercita-cita menembusi pasaran luar hingga mengupah pengurus mat salih. Kalau hendak memperjuangkan pasaran luar, biarlah konsep yang ada keunikan tersendiri. Contohnya Irama Malaysia. Tentunya bangsa mat salih di luar sana mahu melihat keunikan budaya dan muzik Malaysia. Seperti kata Sharifah, dia mahu menghasilkan album lagu asli yang diterbitkan khas untuk pasaran luar menggunakan teknologi moden pada masa akan datang. |