RAHSIA KEJAYAAN SHARIFAH AINI oleh wartawan Citra (21 September 1998) |
Sejak usianya 12 tahun, beliau sudah mula menyanyi dan ketika usianya 15 tahun Sharifah Aini sudah bergelar artis rakaman. Setelah tiga dekad menghiasi persada seni tanahair, kemunculan biduanita bersuara emas ini masih tetap dinantikan oleh peminat setianya. Sharifah Aini, biduanita versatile adalah antara penyanyi wanita yang lama bertahan dan masih lagi gagah mengharungi cabaran dunia artis untuk membentuk identiti diri yang tersendiri. Mencipta nama sekitar 1970, Sharifah yang sudah berhadapan dengan saat kegemilangan dan kejatuhan, saat dipuja dan dilupa, masih meneruskan perjuangannya di bidang yang disayangi. Terbaru, ialah gemersik dakwah menerusi kemunculan album yang lama dimimpikan iaitu album nasyid berjudul 'Yayadan'. CITRA berkesempatan berbicara dengan Sharifah Aini baru-baru ini untuk merisik rahsia kejayaan, impian dan perancangan masa depannya. Citra: Apakah rahsia kejayaan dan bagaimana Kak Sharifah boleh bertahan sehingga kini? Sharifah Aini: Saya tidak pernah ingin menjadi orang lain selain daripada Sharifah Aini. Saya tidak mahu menukar identiti saya. Datanglah 'alternative' ke, 'R&B' ke, segala benda ke, saya tidak akan tukar imej saya. Saya tidak mudah terikut dan cuba menjadi orang lain. Saya mempunyai identiti sendiri. Saya tetap mengikuti perubahan muzik tetapi perubahan imej, tidak. Citra: Selain sibuk mempromosikan album 'Yayadan' apakah aktiviti lain yang Kak Sharifah lakukan? Sharifah Aini: Sekarang memang saya sibuk dengan promosi 'Yayadan' dan juga rancangan televisyen. Musim jamuan makan malam pun dah nak tiba, saya juga sibuk dengan pertunjukan untuk majlis makan malam. Walaupun tak banyak cerita mengenai saya tetapi saya tetap aktif. Citra: Bagaimana Kak Sharifah melihat atau menilai diri Kak Sharifah? Sharifah Aini: Sekarang Kak Sharifah pandang diri sebagai seorang wanita matang, wanita yang banyak mengalami suka duka dalam kehidupan dan karier. Kak Sharifah tidak rasa takut untuk menghadapi saat sedemikian kerana Kak Sharifah mempunyai jiwa yang kental. Memanglah kadang-kadang apabila masalah melanda Kak Sharifah menangis kerana menangis tu baik. Betul tak? Apabila berhadapan dengan masalah Kak Sharifah tidak terus patah hati sebaliknya Kak Sharifah cuba berdepan dan menyelesaikan masalah itu. Citra: Apakah sikap positif pada diri yang Kak Sharifah kagumi? Sharifah Aini: Kak Sharifah seorang yang kuat semangat dan mempunyai keperibadian yang utuh. Kak Sharifah bukan lalang. Jika ada orang datang kepada Kak Sharifah dan bercerita perihal orang lain, Kak Sharifah tak mudah percaya. Biar Kak Sharifah yang menilai sendiri. Citra: Apakah sikap negatif pada diri yang Kak Sharifah benci? Sharifah Aini: Terlalu percayakan orang lain dan akibatnya selalu kena main dengan oranglah. Citra: Apakah ciri-ciri lelaki yang Kak Sharifah kagumi? Sharifah Aini: Seorang lelaki yang matang, jujur, bertanggungjawab, tidak pentingkan diri sendiri, penyayang serta 'sensitive' kepada perasaan dan kehendak orang lain di sekeliling. Citra: Apakah ciri-ciri lelaki yang Kak Sharifah benci? Sharifah Aini: Ni apasal tanya pasal lelaki ni? (ketawa). Kak Sharifah tidak suka lelaki yang cakap besar, meninggi diri dan tidak jujur. Citra: Apakah Kak Sharifah percaya pada institusi perkahwinan? Sharifah Aini: "I'm a family oriented and believe very much in marriage." Citra: Bagaimana dengan institusi kekeluargaan pula. Apa pendapat Kak Sharifah? Sharifah Aini: Kak Sharifah memang percaya kepada institusi kekeluargaan kerana bagi Kak Sharifah ia adalah permulaan bagi pembangunan ummah. Lagipun, dalam keluarga, Kak Sharifah adalah orang yang memikul segala tugas. Kak Sharifah selalu letakkan orang lain di bawah sayap dan bertanggungjawab ke atas mereka di sekeliling Kak Sharifah. Citra: Bagaimana Kak Sharifah mendefinisikan kejayaan? Sharifah Aini: Ukuran kejayaan bukan dari segi material sahaja. Kejayaan ialah apabila kita mendapat kepuasaan hidup dari segi material dan juga rohaniah. Yang penting, kita rasa beriman kepada Allah. Citra: Apakah erti kebahagan dalam hidup Kak Sharifah? Sharifah Aini: Kak Sharifah tentu berasa bahagia kalau Kak Sharifah mampu menjadi orang yang boleh dicontohi anak-anak, keluarga dan kawan-kawan. Pada masa yang sama Kak Sharifah menerima kepercayaan mereka, dan kebahagian apabila orang lain boleh letakkan kepercayaan mereka kepada anda.
Citra: Sebagai ibu, apakah pendekatan yang Kak Sharifah gunakan dalam mendidik anak-anak? Sharifah Aini: Kita perlu bersikap terbuka kerana kita hidup di dalam era 90an. Tidak ada lagi cara pukul atau marah. Kita perlu bercakap dengan baik, gunakan pendekatan psikologi dan berikan kasih sayang. Kak Sharifah seorang ibu yang penyayang tetapi tegas. Kak Sharifah akan periksa waktu sembahyang mereka, kerja sekolah dan ke mana mereka pergi. Citra: Sebagai ibu adakah Kak Sharifah merasakan Kak Sharifah seorang ibu yang baik? Sharifah Aini: "No, I am a good mother but not the best." Citra: Sebagai ibu apakah yang paling Kak Sharifah takut itu berlaku kepada anak-anak? Sharifah Aini: Takut membesarkan mereka dalam keadaan tidak ada moral dan memandang rendah kepada agama. Kak Sharifah tidak mahu anak-anak tiada perasaan hormat kepada ibu bapa atau golongan yang lebih tua daripada mereka. Kak Sharifah tidak mahu anak saya bersikap demikian. Alhamdulillah, setakat ini anak saya tidak memberi masalah kepada kak Sharifah. Citra: Apakah rahsia kak Sharifah mengekalkan kecantikan sehingga kini? Sharifah Aini: Tidak ada rahsia. Cantik ke? (Ketawa). Sebenarnya kecantikan luaran datangnya dari dalam. Apabila dalam kita bersih cahaya akan terpancar di muka. Selain itu, Kak Sharifah juga amalkan minum air suam. Lagi satu, hati mesti senang. Apabila Kak Sharifah menghadapi masalah, Kak Sharifah tidak pandang itu sebagai musibah tetapi rahmat Allah dan Kak Sharifah redha. Citra: Tetapi sekadar redha sahaja tidak mencukupi kerana masalah tetap ada dan kita perlu menyelesaikannnya. Sharifah Aini: Benar, tetapi jika kita redha, kita tidak akan marah pada Tuhan atau diri kita sendiri. Sesetengah kita apabila dilanda masalah, kenapalah asyik aku sahaja. Kenapa tidak orang lain. Apabila kita redha, hati kita tenang dan ketenangan itu akan membantu kita menyelesaikan masalah. Citra: Sekarang ini kita banyak melihat dan mendengar pelbagai isu membabitkan wanita. Ada yang baik dan tidak kurang yang menyedihkan. Sebagai wanita bagaimana Kak Sharifah melihat fenomena ini? Sharifah Aini: Kak Sharifah bangga kerana wanita sekarang tidak lagi dianggap sebagai 'second class citizen'. Tetapi jika masih ada wanita yang masih didera, apa yang boleh Kak Sharifah katakan. Sebenarnya, perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Masalah penderaan ini sudah bermula sejak zaman jahiliyah, beribu tahun yang lalu dan masih lagi terjadi kini. Bagi Kak Sharifah sudah tiba masanya wanita mengubah keadaan ini bukan hanya berkata, "Sorry to hear about that." Citra: Jika diberi peluang apa yang akan Kak Sharifah lakukan untuk wanita yang menghadapi masalah seperti penderaan dan penganiayaan? Sharifah Aini: Penganiayaan kepada, wanita, anak-anak tidak sepatutnya berlaku. Kita sepatutnya hidup dalam penuh kasih sayang. Jika diberi peluang, Kak Sharifah ingin bersama membantu menegakkan keadilan untuk wanita. Kita bukan minta semua keutamaan diberikan kepada wanita, kita hanya inginkan keadilan. Citra: Secara peribadi adakah Kak Sharifah berminat dengan dunia politik atau mengikuti perkembangan ahli politik wanita Negara kita. Sharifah Aini: Kak Sharifah sukakan politik tetapi tidak boleh menjadi seorang ahli politik yang bagus kerana Kak Sharifah seorang yang lembut dan mudah tersinggung. Kak Sharifah paling takut nanti berjanji terlalu banyak tetapi tidak mampu untuk menunaikannya. Citra: Apakah peracangan Kak Sharifah di masa depan? Sharifah Aini: Jika diizinkan Allah Kak Sharifah ingin melihat sejauh mana Kak Sharifah boleh pergi sebagai seorang penghibur. Apabila tiba masa dan ketikanya, Kak Sharifah ingin meninggalkan karier dengan cara terhormat. Kak Sharifah tidak pernah melihat diri akan menyanyi selamanya. Insyaallah jika ada jodoh, Kak Sharifah ingin berkahwin, mempunyai keluarga yang penuh dengan kasih sayang dan anak-anak Kak Sharifah mempunyai bapa. Citra: Bagaimana Kak Sharifah menerangkan perasaan cinta? Sharifah Aini: Dalam usia sekarang, Kak Sharifah masih menghargai cinta. Pada Kak Sharifah cinta adalah sesuatu yang menakjubkan, satu perasaan halus yang wujud antara Adam dan Hawa. "I can say that I'm a hopeless romantic because I'm a big dreamer". Pada Kak Sharifah, cinta itu sungguh indah. Citra: Kak Sharifah ada kekasih ke? Sharifah Aini: Tidak ada. Siapalah hendak dengan saya. |