Persoal Niat Bertudung

'Cerita Artis Kita (CAK)'  (Metro Ahad, 25 Mac 2012)

 

 

Baru-baru ini teman CAK terbaca luahan hati penyanyi malar segar, Datuk Sharifah Aini yang sedih apabila niatnya bertudung dipertikai.  Lebih membuatkan hatinya terluka apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menyatakan artis yang berusia memakai tudung kerana mahu melindungi rambut yang beruban.  Luahan hati Sharifah Aini turut dikongsi penyanyi Aishah yang juga menerima pandangan sinis beberapa pihak apabila pertama kali melihat dia bertudung.

Berikutan kenyataan diberikan, Sharifah Aini terpaksa memberi penjelasan membabitkan niat ikhlasnya.  Malah dengan rendah hati, katanya, penampilannya juga berubah atas doa anaknya dan mengharapkan penampilannya zaman lampau tidak dijadikan ukuran atas perubahan yang berlaku sekarang.

CAK tidak faham mengapa ada pihak cuba mempertikaikan penampilan bertudung membabitkan beberapa artis lama.  Bukankah ia perkara terbaik dan sepatutnya kita sebagai orang luar dan beragama Islam mengucapkan syukur atas perubahan yang berlaku.  Malah, setahu CAK, sebagai rakan seagama, kita harus menggalakkan lagi tindakan diambil dan menuju ke arah kebaikan, bukan mencerca dan syak wasangka.

Apa juga pandangan kita terhadap perubahan mereka, yang pasti artis seperti Sharifah Aini dan Aishah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai Muslimah dan sudah tentu pahala dijanjikan untuk mereka.  Pada kita yang sering syak wasangka buruk ini, walaupun menjaga penampilan tetapi kalau hati busuk tidak ke mana juga.  Dosa jugalah balasannya nanti.

CAK bimbang kalau asyik mempertikai perkara baik yang mereka lakukan, kalau tidak dimaafkan mereka di dunia, bimbang di Padang Mahsyar nanti kita melutut mencari mereka memohon maaf, tetapi waktu itu sudah terlewat.  Namun itulah, bukan mudah hendak melakukan sesuatu yang baik kerana banyak cabaran dan dugaannya.  CAK doakan mereka tetapkan hati kerana Yang Maha Kuasa lebih tahu apa yang tersimpan dalam hati kita.