SHARIFAH AINI NAFI TARIK DUIT oleh Nurseda Abdul Rani (Bacaria: Edisi Rabu, 11 Oktober 2000) |
Desas Desus yang mendakwa Biduanita Negara Sharifah Aini menjalankan kegiatan 'tarik duit' semakin tersebar di kalangan mereka yang memburu wang melalui cara ghaib. Di kalangan mereka, ada yang mendakwa Sharifah Aini atau lebih mesra dipanggil Kak Pah memiliki batu delima biru. Delima biru itu didakwa mampu tarik duit hingga mencapai angka berjuta-juta ringgit. Sejak Kak Pah muncul dengan album terbarunya berjudul 'Seribu Mawar', banyak cerita mistik dikaitkan dengan biduanita itu. Malah ada yang mendakwa, Kak Pah pernah berkunjung beberapa kali menemui seorang bomoh tarik duit di Tanjung Karang, Selangor. Setiap kali tarik duit menggunakan delima biru, Kak Pah didakwa berjaya mendapat beberapa juta ringgit. Penyanyi Evergreen, Sharifah Aini sering dikaitkan dengan pelbagai isu sensasi. Malah setiap kali kemunculan album barunya, pelbagai spekulasi dan tuduhan akan ditimbulkan. Sejak munculnya album 'Seribu Mawar' baru-baru ini, sekali lagi dia tidak terlepas dengan dikaitkan satu isu sensasi. Sharifah dikaitkan pula dengan isu 'tarik duit', yang didakwa menggunakan batu delima biru. Isu ini kini hangat diperkatakan apabila baru-baru ini ada beberapa peminat yang menelefon BACARIA mendakwa antara selebriti yang terlibat dengan isu 'tarik duit' ialah ratu evergreen popular, Sharifah Aini. Gaya hidup 'versatile'nya membuatkan ramai beranggapan dia memiliki antara barangan yang boleh digunakan untuk tarik duit iaitu batu 'delima biru'. Menurut beberapa pendapat pencari harta karun, delima biru berfungsi untuk menarik duit berjuta-juta ringgit. Malah ada yang mendakwa Sharifah Aini berjaya tarik duit sehingga melebihi RM3 juta. Dia telah didakwa berjumpa dengan seorang bomoh di Tanjung Karang, Selangor untuk tujuan tersebut. Sejak memiliki batu delima biru, dia turut didakwa telah beberapa kali berjumpa dengan bomoh tarik duit. Tidak cukup dengan dakwaan itu, Kak Pah selain didakwa berjaya tarik duit bernilai berjuta-juta ringgit, dia juga turut didakwa kehidupan mewah Kak Pah dan kemampuannya menghantar anaknya belajar ke luar negara adalah hasil tarik duit. Sejauh manakah benarnya tuduhan tersebut? BACARIA telah mendapatkan penjelasan sebenar daripada Kak Pah sendiri mengenai dakwaan tersebut. Bagi memastikan sejauh mana dakwaan itu, wartawan BACARIA mengajukan perkara itu kepada Kak Pah. Kak Pah tergelak bila dikatakan telah mendapat beberapa juta ringgit. Kak Pah nafi sekeras-kerasnya terlibat. Kak Pah juga secara jujur mengatakan tidak terlibat langsung dengan kegiatan mistik itu. Katanya, "dakwaan yang digembar-gemburkan itu tidak pernah Kak Pah lakukan. Perbuatan itu Kak Pah tahu syirik. Tak ada sebab Kak Pah hendak tarik duit. Kak Pah lebih suka berusaha dengan cara yang halal. Apa yang Kak Pah nikmati adalah hasil titik peluh sendiri." Kak Pah ketika ditemui di majlis pelancaran haruman berjenama 'X-Traction' keluaran Clique Option 2000 di Setapak baru-baru ini bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut. Sambil ketawa, Kak Pah sempat mengurut dadanya, "Astaqfirullah ... siapa yang menyebarkan berita itu. Kak Pah tak pernah buat perkara seumpama itu. Isu 'tarik duit' bukannya boleh dibuat main-main. Ianya melibatkan agama dan ianya pekara syirik yang bermaksud kita telah menduakan Tuhan." Menurutnya, dia tidak pernah mempercayai perbuatan 'tarik duit' tersebut, kerana perkara seumpama itu secara logiknya tidak masuk akan dan mustahil dilakukan. "Kalau dah boleh 'tarik duit', tentu dah ramai yang malas nak berusaha dan hanya bergantung kepada 'duit yang ditarik' tersebut. Mereka tentunya ingin mencari batu delima atau barangan yang berkaitan dengan tarik duit itu. Bomoh-bomoh 'tarik duit' yang ada di Malaysia ini tentunya juga sudah kaya raya," jelasnya. Menurutnya, dia tidak pernah mengambil jalan mudah untuk mendapatkan wang. Tambah lagi menggunakan cara yang tidak diredhai Allah, sebagai hamba Allah, dia akan tetap merasa berdosa apabila terjebak dengan perbuatan tersebut. "Segala rezeki yang Kak Pah perolehi selama ini adalah dari hasil titik peluh Kak Pah sendiri. Ianya bukan datang bergolek dengan mudah. Melainkan kita sendiri yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kemewahan hidup. Mengapa pula Kak Pah yang harus difitnah yang bukan-bukan?" soalnya. Berkenaan dakwaan yang mengatakan dia telah menghantar anaknya, Aliff, belajar di Mesir dengan menggunakan duit yang diperolehi itu, kata Kak Pah lagi, anaknya itu masih berada di Kuala Lumpur dan bukannya di Mesir seperti yang didakwa. "Yang berada di Mesir ketika ini ialah anak angkat Kak Pah, bukannya Aliff. Aliff masih berada dan sedang belajar di sini," ujar Kak Pah Lagi Dalam perkembangan lain, Kak Pah kini sibuk menjalankan sesi promosi album terbarunya, 'Seribu Mawar'. Menurutnya album tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan biarpun baru dua bulan berada di pasaran. "Sambutan yang Kak Pah terima terhadap album tersebut sungguh baik sekali. Album itu juga mencatatkan rekod jualan yang terbaik setakat ini. Ia bukan saja sesuai untuk segelintir golongan tapi juga untuk pelbagai peringkat umur sehinggalah kepada golongan pelajar," kata Kak Pah. Ketika ini Kak Pah juga sedang sibuk mengadakan sesi jelajah Malaysia juga berkaitan dengan album 'Seribu Mawar'. "Sebelum tiba bulan puasa, Kak Pah harus menyempurnakan sebahagian daripada promosi bergerak itu. Kalau dah tiba bulan puasa, tentu perjalanan promosinya agak kurang kerana keletihan," katanya lagi. Selain mengadakan promosi album, Kak Pah juga sedang giat membuat video klip untuk lagu-lagu seperti 'Resah Bersalam', 'Nurul El Ain', 'Seribu Mawar' dan 'Aku Sayang Padamu'. |