UMMIE TAK SANGGUP AINI DIPERLAKUKAN BEGITU !

oleh Zubir Mohd Yunus  (Berita Minggu: Bi-Pop, 25 Oktober 2004)

Sepanjang minggu lalu industri hiburan dikejutkan dengan cerita hitam apabila biduanita negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar mendakwa diserang dua lelaki bermotosikal berhampiran Sri Pentas, TV3, Bandar Utama.  Benarkah Sharifah mempunyai musuh yang sanggup membunuhnya?  Timbul juga cerita kononnya apa yang berlaku adalah sandiwara Sharifah untuk meraih simpati dan mengalih tumpuan orang ramai dari isu e-mel beracun kepada kontroversi baru.  Apakah yang bergolak di hati ibunya, Ummie Noor mengenai isu ini.  BINTANG POPULAR berjaya menemubual ibu Sharifah yang kini menetap di Singapura untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai keperibadian Sharifah yang sebenarnya.

"Apa yang berlaku malam itu, Ummie tak tahu sebab Aini (Sharifah) tak beritahu kerana dia sedia maklum Ummie ada penyakit. Ummie hanya tahu apabila baca dalam surat khabar Singapura.  Ummie memang terperanjat besar!  Kenapa sampai jadi begitu ...?  Ummie sedih sebab Aini anak kandung Ummie sendiri.  Ummie hanya mengadu dengan Allah.  Bapa tiri Aini pun turut bersedih.  Sama-samalah kita berdoa supaya Allah melindungi Aini.  Apa yang Ummie tahu, Aini tak pernah ada hasad dengki dengan orang, tak suka mengkhianati orang, tapi kenapa boleh jadi begitu?  Ummie sendiri jadi pelik.  Ummie selalu bertanya pada diri sendiri, apa dah berlaku pada diri Aini ni?

Ummie juga baca dalam surat khabar, apa yang berlaku itu kononnya adalah lakonan Aini semata-mata dan rancangannya sendiri.  Setahu Ummie, orang yang tak waras pun rasa sakit kalau dia nak tumbuk diri sendiri.  Apatah lagi Aini yang waras, takkan dia nak buat macam tu.  Tak baguslah macam tu, kitakan orang Islam.  Islam mendidik umatnya supaya menyambung silatulrahim, bermaaf-maafan.  Ummie hairan macam mana orang boleh kata Aini pukul diri dia sendiri.  Tak masuk akal langsung!  Maaf cakaplah ya, orang yang dalam keadaan mabuk pun, tahu mana longkang dan dia takkan duduk kat longkang.  Apa lagi orang seperti Aini, seorang yang waras dan warak ... takkan dia sengaja nak tidur tepi longkang!  Semua ni cerita yang tak munasabah.

Justeru, apabila Ummie tidak berkesempatan bersama Aini pada malam kejadian, Tuhan saja yang tahu perasaan Ummie.  Manusia tak boleh baca hati Ummie, kecuali Tuhan.  Kalau Ummie terangkan dengan manusia, nanti orang kata Ummie berlakon pula.  Yang keluar air mata adalah Ummie, yang menangis Ummie seorang.  Kalau boleh kita minta dengan Tuhan, biarlah kita yang pergi dulu, biar anak tu panjang umur, hidup lama-lama.  Kalau bolehlahkan ...

Baru-baru ni Aini ada show di Singapura, Ummie jumpa dan duduk berbual dengannya.  Sebelum ni Ummie tak pernah tengok show mana-mana artis yang datang ke Singapura.  Tapi, cucu-cucu Ummie kuat mengajak Ummie pergi dan dengan izin Allah, Ummie dapat juga tengok Aini.  Pertama kali Ummie tengok show Aini, meleleh air mata Ummie.  Ummie tengok anak Ummie bahagia.  Tetapi beberapa hari kemudian dapat tahu Aini diperlakukan sedemikian rupa (dipukul), hancur berderai hati Ummie.  Nasib baik Allah kuatkan semangat Ummie, kalau tidak boleh tumbang Ummie...  Apa Ummie nak cakap lagi, semua ni lumrah dunia.  Kalau kita ni Malaikat, ada jaminan.  Tak apalah orang hasad dengki dengan Aini, Ummi bersyukur.  Apa yang Ummie takut ialah balasan Tuhan.  Kadang-kadang balasan Allah ni tak serta merta, tapi macam semut berjalan.  Tapi, kalau Tuhan dah tunjukkan pembalasan, parah ...

Apa yang Ummie mohon pada Allah, anak Ummie sihat, anak Ummie selamat, anak Ummie bahagia, cucu Ummie bahagia, itu yang Ummie minta pada Allah siang malam untuk kesejahteraan Aini dan Alif (anak sulung Sharifah Aini).  Ummie juga tak pernah terfikir Aini boleh terbabit dengan isu e-mel layang.  Aini tak pernah sekali iri hati dengan mana-mana penyanyi yang tengah naik.  Nak mencaci atau menghina jauh sekali.  Kadang-kadang Aini ada cakap, adanya penyanyi-penyanyi muda baguslah, dia pun dah semakin berumur.

Tapi, kalau orang dah jatuhkan maruah Aini, dah menuduh bukan-bukan, dia wajar mengambil tindakan undang-undang.  Tapi, bagi Ummie, Ummie tak pernah marah Aini walaupun sebelum ini kami pernah bertemu di mahkamah, namun selepas dia minta maaf, Ummie terima Aini dengan hati penuh ikhlas.  Anaklah katakan ...  Yang Ummie tahu, Aini ni seorang yang terlalu murah hati, cepat kasihan, menabur wang ringgit menolong orang macam tak ada esok semata-mata nak buat baik, tapi, inikah balasan yang dia terima?  Walaupun Aini ni artis, Ummie tahu Aini khatam al-Quran tiap-tiap bulan.  Dia insan yang takutkan Allah.  Aini mempunyai didikan agama yang tinggi, mustahil untuk dia berdengki dengan orang.  Sampai hati orang yang pernah Aini tolong dan bantu, akhirnya menjadi gunting dalam lipatan.  Mereka memfitnah dan menghina Aini.  Ummie tak sanggup Aini diperlakukan begitu ..."