SHARIFAH AINI BELUM TERGUGAT

oleh Roslen Fadzil  (Berita Minggu: Bi-Pop, 16 Julai 2006)

Tidak keseorangan Datuk Sharifah Aini tatkala beliau menempuh ranjau duri yang tajam.  Bersamanya, sentiasa ada ramai teman karib yang sentiasa menjadi tempat merawat luka dan meluahkan isi hatinya sebagai mana kata penyanyi Tommy Page dalam lagunya, 'A Shoulder To Cry On'.  Susah dan senang, mereka selalu berada di sisi Biduanita Negara itu untuk memberikan kekuatan dan kata-kata semangat.  Bagi Sharifah Aini sendiri, kehadiran mereka menyerikan hidupnya bagaikan sebuah keluarga.  Ketulusan budi mereka mendampinginya tiada ternilai dan tidak mungkin dapat ditukar ganti dengan emas atau wang ringgit.

Lihatlah keceriaan yang terpancar pada wajah ibu tunggal bersuara emas ini.  Sekiranya ada yang menganggap Sharifah Aini sudah jatuh, merekalah orang-orang yang silap.  Seri wajah serta keanggunan wajahnya menggambarkan beliau semakin tenang dan gembira mengharungi kehidupan ketika ini.  Tohmahan, penganiayaan mahupun kata-kata cemuhan tidak pernah menjadi kudis kepada penyanyi Hapuslah Air Matamu ini.  Beliau percaya manusia tidak perlu takut dengan apa yang tidak mereka lakukan.

Tanggal 2 Julai lalu, bersempena ulang tahun kelahirannya, anak jati Johor Bahru berbintang Cancer ini diraikan sebahagian teman-teman akrabnya itu dalam satu majlis eksklusif di Villa May, Jalan Baiduri, Shah Alam.  Villa cantik milik Puan Sri Akma dengan dekorasi ala Bali itu sebenarnya sebuah spa, rumah fesyen dan restoran yang elit.  Di situlah, Sharifah Aini yang lebih sinonim dengan panggilan Kak Pah, berkongsi keceriaan bermula dengan majlis makan malam fine dining, disusuli sesi berkaraoke dengan semua tetamu di bilik khas.

"Kawan-kawan inilah yang sentiasa menangis dan ketawa bersama saya ketika susah mahupun senang.  Mereka tidak pernah pun meninggalkan saya dalam apa jua keadaan dan kami saling mempercayai antara satu sama lain.  Hubungan kami tulus, ikhlas dan bukan berpura-pura.  Hari ini juga adalah hari yang sungguh bermakna kerana selain adanya kawan-kawan, saya ditemani anak saya, Aliff Omar.  Inilah buah hati pengarang jantung saya," ujar Kak Pah selepas memotong kek hari jadinya.

Malam itu beliau mengenakan gaun petang hitam dan tidak lekang dengan koleksi intan berliannya yang bergemerlapan.  Sememangnya Kak Pah wanita yang bercita rasa tinggi.  Hari itu juga beliau ternyata bertuah kerana majlis bermakna itu dihadiahkan seorang rakan baiknya yang enggan namanya disebut.  Antara mereka yang hadir ialah produser Julie Dahlan, Datuk Shah Rezza, Hajjah Arifah, Khalilah Mohd Talha (Pengurus Besar Korporat Komunikasi PLUS), Sharifah Husna Tun Syed Nasir, Sharifah Syeeba, Nik Airina, Rusni Ahmad, Aishah Ali, Saleha Ali serta editor hiburan termasuk Suraya Al-Attas dan Hanizam Abdullah.  Tidak ketinggalan adik angkatnya seperti Rosman Jasmi, Harry Abdul Jalil, Mohd Yusri dan Mansur Tun Abdul Aziz.

Lucunya, pada malam itu, tetamu tidak puas-puas 'mendera' Kak Pah supaya menyanyikan lagunya sendiri seperti Penyakit Cinta, Di Malam Persandingan, Seiring Sejalan, Singgahlah Sayang, Irama Cintaku dan Tiada Maaf Bagimu.  Jelas masing-masing terhibur kerana mendapat hadiah persembahan daripada artis pujaan mereka!

BELUM SERIK BERUMAHTANGGA

Apabila menyoal impian Sharifah Aini di hari jadinya, ada tetamu yang berseloroh bertanyakan mengenai calon suami.  Maklumlah sudah lama dia hidup sendirian dengan membesarkan anak-anaknya, tidakkah Kak Pah inginkan pasangan hidup lagi untuk menemaninya ke akhir hayat?   Dengan tidak berselindung, Kak Pah berkata: "Tentang jodoh, saya serahkan kepada Tuhan.  Tapi kalau hendak kahwin lagi, kalau boleh, biarlah sampai cerai mati.

Saya cukup mengambil serius terhadap institusi perkahwinan dan kekeluargaan.  Saya tak mahu kahwin cerai, kahwin cerai.  Bukan apa, nanti anak-anak juga yang bertempiaran!"  Bagi Kak Pah, apa yang penting beliau inginkan seseorang yang sudi menerima diri beliau seadanya.  "Okay, next question please ..." katanya sambil tertawa.

Menceritakan pula mengenai kerjaya seni, Kak Pah berkata, tahun ini pihak EMI Malaysia akan menerbitkan semula koleksi lagu Melayu, tradisional dan Inggerisnya yang pernah dirakamkan dalam bentuk box set.  Kesemua lagu itu sedang rancak dikumpulkan sebelum memasuki pasaran tidak lama lagi.  "Saya juga akan merakamkan album baru selain mengadakan konsert lagi yang berkonsepkan pop dan asli pada tahun depan.  Ketika ini perancangan sedang dibuat dengan pihak penaja supaya konsert itu benar-benar bermutu," ujarnya yang kembali sibuk dengan persembahan di sana-sini.