'REDHA TIADA JODOH LAGI'

oleh Juwie  (Berita Minggu: B*Pop, 21 April 2013)

Sharifah Aini ulas kehidupan 18 tahun berstatus ibu tunggal

Selepas 18 tahun biduanita bersuara emas terkenal, Datuk Sharifajh Aini menjadi ibu tunggal, akhirnya beliau mengakui ada beberapa lelaki kaya termasuk kalangan VIP pernah melamarnya untuk berkahwin.  Sebelum ini bukan mudah untuk Sharifah Aini yang membahasakan dirinya sebagai Ani atau Kak Pah membuat pengakuan itu, biarpun ditanya berulangkali.

Apabila penulis mendesak dengan berkata: "Mustahil muka cantik dan popular macam Sharifah Aini tiada lelaki yang mendekati?  Bohonglah kalau tiada yang ingin melamar Ani ..."   Terus akhirnya sambil tersenyum Ani mengakui, memang ada.  Siapakah lelaki yang pernah melamarnya?   Biarlah ia menjadi rahsia peribadinya.

Tapi katanya lebih lanjut: "Ani terpaksa tolak lamaran itu kerana hati Ani belum terbuka untuk berkahwin lagi buat masa ini."  Jawapannya itu sedikit mengejutkan kerana segelintir manusia terkejar-kejar dan terhegeh-hegeh untuk dipikat dan disambar orang kaya tapi Ani pula menolak.

Kenapa?  "Ani tak nak cakap riak.  Sebenarnya Allah belum bukakan hati Ani untuk berkahwin lagi.  Jika ditakdirkan masa akan datang Allah bukakan hati Ani dan temukan jodoh, insya-Allah Ani redha.  Memang ramai yang bertanya, kenapa sampai sekarang sudah 18 tahun Ani tak kahwin-kahwin lagi?  Kalau Allah kata, ada jodoh, adalah ...  Tapi kalau Allah kata tiada, Alhamdulillah Ani redha."

Bagaimana kehidupan Ani sekarang?

"Jiwa Ani tenang dengan kehidupan sekarang tanpa suami selama 18 tahun.  Ani sibuk dengan karier dan buat kerja kebajikan, sampai terlupa pasal kahwin."

Jika ditakdirkan Allah mempertemukan jodoh Ani, lelaki bagaimana yang diimpikan untuk menjadi suami baru?

Sambil menarik nafas panjang dan tersenyum lawa Ani menjawab: "Semoga Allah pertemukan jodoh Ani dengan lelaki bertakwa.  Biarlah jiwa dia selari dengan jiwa Ani yang kuat cintakan Allah dan suka buat kebajikan.  Ani nak suami yang boleh jadi imam solat berjemaah dengan Ani dan bimbing Ani sekeluarga ke syurga.  Dia suka ajak Ani ke masjid dan mendengar kuliah Subuh.  Bawa Ani pergi umrah.  Pada hujung minggu dia bawa Ani keluar jalan-jalan macam orang biasa.  Cukuplah dia sebagai suami yang sederhana bertanggungjawab dan santai."

Perbualan kami sungguh rancak sambil makan nasi minyak selepas solat Isyak, tanpa disedari masa berlalu pantas menjelang tengah malam 17 April lalu.  Kami bertemu di rumah bekas editor akhbar, Ahmad Idris (ABI) dan isterinya, Bahyah Mahmood (BAM) di Taman Keramat, Kuala Lumpur.  Apabila penulis memanggilnya Datuk, dia yang bersifat tawaduk suruh panggil Ani saja.  Hati Ani mudah tersentuh dan simpati dengan nasib anak yatim, orang miskin dan pelajar tahfiz al-Quran.

BANTU ANAK YATIM

Baru-baru ini, apabila beliau mendapat tahu ada tuan punya kediaman di Kuala Lumpur meminta penghuni rumah sewanya, iaitu lebih kurang 100 anak yatim dan tahfiz al-Quran keluar kerana tidak mampu membayar sewa, terus Ani bertindak cepat menghulurkan bantuan.  Ani mengumpulkan dana menerusi kawan-kawannya.  Insya-Allah, pada September nanti, Ani merancang untuk menganjurkan persembahan amal bagi mengumpul dana sebanyak setengah juta ringgit untuk membeli rumah baru bagi anak yatim dan miskin itu.

Sejak dulu lagi Ani kerap menjayakan persembahan amal untuk membantu tumah kebajikan.  Atas keihklasan hatinya itu, Allah sentiasa membantu Ani dan murahkan rezekinya lagi. 

Perkahwinan pertama Ani pada 1 Jun 1981 hingga 1982 dengan anhli perniagaan yang juga promoter muzik terkenal mendapat seorang anak lelaki, Aliff Omar.  Ani seterusnya berkahwin dengan jutawan 'Datuk S' tapi tidak mendapat anak.  Sudah 18 tahun merekea bercerai.  "Walaupun Ani dah bercerai lama tapi dia (Datuk S) tetap jaga kebajikan Ani dan kami masih bersahabat baik.  Ada orang (tidak semua) bila sudah berpisah, terus campak bekas isterinya begitu saja.  Tapi bekas suami sangat mulia hatinya.  Dia sangat menjaga kebajikan Ani dari dulu sampailah sekarang.  Ani sangat bersyukur pada Allah dan berterima kasih pada dia." cerita Ani.

Anak tunggalnya, Aliff, 31, kini sudah 11 tahun melanjutkan pelajaran di Madinah.  Sejak peringkat persekolahan hingga kini sedang dalam pengajian ijazah syariah di Universiti Islam Madinah.  Aliff dijangka tamat pengajian pada tahun depan.

pendakwah berjaya

Ani berdoa Aliff menjadi pendakwah yang berjaya di dunia hingga akhirat.  "Ani tengok, bila dia berdakwah depan Ani, caranya berhemah.  Ani bersyukur kepada Allah kerana bertuah mendapat anak macam dia.  Anak yang tak pernah meninggikan suara bila bercakap.  Kami berdua melalui suatu perjalanan yang jauh selama 31 tahun.  Ani pohon Allah panjangkan umur agar dapat melihat Aliff berkeluarga," cerita Ani.  Sempena hari ulang tahun kelahiran Aliff ke-31 pada 15 April lalu, Ani berpesan kepada Aliff menerusi Facebooknya:  "Jika mummy pulang ke Rahmatullah terlebih dulu, mummy ingin Aliff tahu betapa sayang dan kasihnya mummy pada Alif.  Kasih ibu membawa ke syurga wahai anakku."

Mengenai album terbarunya dengan KRU Records, jelas Ani, insya-Allah pada pertengahan tahun ini dia akan mulakan rakaman lagu bergenre 'world Islamic' dan pop tradisional ciptaan komposer Edry Abdul Rahman.