RESTUI PILIHAN ALIFF

oleh Farihad Shalla Mahmud  (Berita Harian: Jumaat, 27 November 2009)

Sharifah Aini sifatkan saat melepaskan anak bujang melanjutkan pelajaran di Madinah sebagai satu pengorbananFajar Aidiladha yang menyingkap tabirnya hari ini membawa kembali ingatan penyanyi tersohor ini kepada satu peristiwa yang berlaku tujuh tahun lalu.  Andai perayaan yang disambut setiap 10 Zulhijjah itu sering dikaitkan dengan soal pengorbanan, apa yang dilalui Datuk Sharifah Aini pada ketika itu juga boleh dianggap sebagai satu pengorbanan yang cukup besar dalam hidupnya.  Waktu itu, dia benar-benar berdepan dengan suatu saat yang amat sukar untuk diharungi oleh seseorang yang bergelar ibu.  Terpaksa berpisah dengan anak tunggalnya, Aliff Omar membuatkan Sharifah Aini hidup berendam air mata.  Semua itu berpunca apabila anak lelakinya itu melahirkan hasrat untuk mendalami bidang agama di Kota Madinah.

"Sebelum ini dia pernah melahirkan hasrat untuk belajar agama.  Melihat kecenderungan dalam bidang itu, jadi saya pun hantarlah dia ke sekolah Nilam Puri di Kelantan dan kemudiannya ke sekolah pondok.  Bayangkan, berpisah seperti itu pun sudah membuatkan saya menangis siang malam.  Tapi, apabila dia sendiri yang begitu bersungguh untuk belajar agama dan berusaha sehingga akhirnya permohonannya untuk melanjutkan pelajaran ke Madinah diterima, saya akur dengan keputusan yang dibuatnya itu.  Sebagai ibu, saya tumpang bangga dengan apa yang dilakukannya itu.  Masa dia mohon untuk melanjutkan pelajaran ke Madinah, saya sendiri tidak mengetahuinya kerana pada masa itu, saya sedang mengerjakan umrah.  Bila saya balik saja, dia sudah menunggu di depan pintu sambil menunjukkan surat tawaran.  Masa itu saya bersyukur sangat kerana doa saya sewaktu di Makkah itu dimakbulkan Tuhan.

"Walaupun sedih kerana terpaksa berpisah jauh dengannya ,tapi saya percaya andai itulah jalan yang terbaik untuknya, sebagai ibu saya reda dengan keputusan Aliff untuk belajar ke luar negara," cerita Sharifah Aini mengimbas kenangan lalu.  Dan pengorbanan yang dilakukannya itu nampaknya membuahkan hasil apabila dia melihat Aliff kini mempunyai ciri-ciri seorang pendakwah yang baik

"Dari tutur caranya dan pembawaan diri, saya lihat Aliff memang mempunyai ciri-ciri pendakwah yang baik.  Apabila dia bercakap dengan saya, bahasa yang dia gunakan juga saya lihat juga cukup teratur.  Walaupun ada unsur dakwah di dalamnya tetapi tidak terlalu ekstrim.  Malah, apabila saya perhatikan ketika dia sedang bersembang ataupun berdebat mengenai isu agama dengan ustaz yang datang mengajar agama di rumah saya, caranya cukup diplomatik.  Melihat situasi itu, saya sangat bersyukur kerana Aliff menemui apa yang dimahukan dalam hidupnya dan sebagai ibu, andai itulah yang terbaik untuknya, saya restui apa yang dia lakukan," kata Sharifah Aini yang ditemui pada sesi fotografi istimewa sempena Aidiladha di kediaman mewahnya di Petaling Jaya, petang Rabu lalu.

Selama 13 tahun hidup bersendirian tanpa ditemani seorang lelaki bergelar suami, itu juga dinamakan satu pengorbanan oleh insan yang memiliki suara bak buluh perindu ini.  "Bukan serik dengan mana-mana lelaki tetapi entah mengapa saya sendiri seakan terlupa untuk mencari jodoh sendiri sehinggalah selepas saya menjayakan konsert di Singapura tempoh hari.  Apabila berada di bilik, barulah saya terasa betapa perlunya saya mempunyai seseorang yang boleh berkongsi cerita dan perasaan mengenai konsert yang baru berlalu itu.  Terus terang, ada ketika saya memang terasa kesunyian yang amat.  Mungkin sudah tiba masanya untuk saya buka hati menerima kehadiran seorang lelaki dalam hidup ini.  Tapi itulah, tak ada lelaki yang berani mendekati saya," ujar Sharifah Aini sambil tertawa.

Bercerita mengenai sambutan hari raya korban, penyanyi dari Selatan tanah air ini berkata seperti tahun-tahun sebelumnya, dia akan meraikan hari itu bersendirian kerana Aliff sudah pun kembali menyambung pengajiannya.  "Sepanjang Aliff belajar, saya hanya menyambutnya sendirian.  Seperti sebelum ini, saya juga melakukan ibadah korban, tapi saya tak buat di sini," katanya yang enggan bercerita lanjut mengenai hal itu kerana tidak mahu disalah anggap.

RAKAM KEMBALI LAGU YANG DIMINATI

Menerusi album Irama Terindah Malaysia yang bakal diterbitkan komposer terkenal Ramli MS, Sharifah Aini akan merakamkan semula lagu yang diminatinya.  Pun begitu, menurut penyanyi ini, lagu itu akan dirakamkan mengikut cita rasanya yang tersendiri.  "Dalam album ini, selain menyanyikan lagu klasik saya seperti Bunga Tanjung, Burung Pungguk, Seri Dewi Malam, saya juga akan merakamkan lagu penyanyi lain yang saya minati.  Contohnya lagu M Nasir iaitu Bila Rumi Menari, tiga buah lagu nyanyian Noraniza Idris, lagu Anuar Zain dan mungkin juga lagu Aishah, Janji Manismu.  Saya memang suka lagu itu.  Tapi, saya akan sampaikan mengikut versi saya sendiri dan akan diiringi dengan orkestra.  Setiap lagu yang saya pilih untuk dimuatkan dalam album ini, selain saya minat ia juga mempunyai kisahnya yang tersendiri," katanya yang akan masuk studio sebaik saja pulang dari mengerjakan ibadah umrah penghujung Disember ini.  Mengenai album Warisan Melayu yang tergendala pembikinannya, Sharifah Aini berkata album itu akan disiapkan selepas mereka bertemu dengan penerbit yang sesuai.  "Kemungkinan besar Pak Ngah yang akan mengambil alih tugas itu," katanya.

KONSERT ISTIMEWA BERSAMA ANITA SARAWAK

Kepada peminat setia Sharifah Aini dan Anita Sarawak, pastinya berita ini adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu.  Mana tidaknya, bukan mudah untuk menyatukan diva dan superstar ini dalam satu pentas yang sama.  Justeru, jika tiada aral melintang, dua penyanyi ini akan menghiburkan peminat menerusi siri persembahan Datuk Sharifah Aini & Friends.  "Kami sudah pun berjumpa dan masing-masing tidak sabar untuk menjayakan siri persembahan ini.  Buat masa ini perancangan sedang dibuat dan jika sambutan menggalakkan dan jumlah penontonnya ramai, mungkin kami akan mengadakan persembahan di lokasi yang lebih besar tetapi jika penontonnya dalam 500 orang, kami akan kekal di lokasi sama iaitu di Grand ballroom, Hotel Concorde," kata penyanyi yang sudah menghasilkan berpuluh-puluh album ini.

Perasaan teruja juga jelas tergambar di wajah penyanyi tak lapuk dek hujan dan lekang dek panas ini kerana itulah kali pertama mereka digandingkan bersama di atas pentas.  "Saya sendiri tak dapat bak bayangkan bagaimana kecohnya persembahan itu nanti.  Masa kami berbincang mengenai hal itu, Anita ada mengajak saya untuk menari.  Mungkin saya akan menari untuk sebuah lagu.  Kalau ada peminat yang teringin melihat saya menari, jangan lupa menyaksikan konsert itu, "katanya yang akan berduet dengan Anita menyanyikan lagu Tragedi Buah Epal.

Mengulas perkembangan siri persembahannya yang bakal bermula Disember depan, Sharifah Aini berkata ada perubahan yang berlaku untuk persembahan yang membabitkan penyanyi Adibah Noor.  "Persembahan yang dijadual berlangsung pada 4 Disember itu akan dibawa ke 11 Disember dan akan digabungkan dengan persembahan bersama Anuar Zain. ini bermakna persembahan pada 11 Disember itu nanti akan menyaksikan tiga penyanyi bergabung iaitu saya Adibah Noor dan Anuar Zain.  Perubahan ini dilakukan kerana mahu mengelakkan kekeliruan penonton yang sebelum ini menyangkakan persembahan hanya pada 11 Disember dan bukannya pada 4 Disember.

"Tapi tak mengapa, lagi ramai lagi meriah persembahan itu nanti," katanya yang akan menyanyi rangkaian lagu popularnya termasuk duet bersama penyanyi bersuara mantap itu.  "Saya juga tak sabar nak tengok reaksi peminat Anuar yang saya sedia maklum cukup fanatik dan menggilai penyanyi itu.  Saya akan usik Anuar di atas pentas dan buat peminatnya cemburu kerana saya berpeluang mendekat penyanyi kesayangan mereka itu,� tuturnya yang masih mencari penyanyi sesuai untuk menjayakan projek amalnya itu.

  INFO 

PERSEMBAHAN:  Datuk Sharifah Aini and Friends Anuar Zain & Adibah Noor

TARIKH:  11 Disember 2009

WAKTU:  8 malam

LOKASI:  Grand Ballroom, Concorde Hotel, Kuala Lumpur

BAYARAN:  RM10,000; RM5,500 dan RM3,500 untuk setiap meja 10 tempat duduk

HUBUNGI:  019-348 8054 / 012-933 2373; Faksimili: 03-7805 1008 atau e-mel: limeevent@gmail.com