'KEKUATAN SAYA ADALAH KEBENARAN'

oleh Hanisah Selamat  (Berita Harian: Sabtu, 28 Januari 2006)

Perjalanan hidupnya umpama pentas opera.  Dalam ramai menyanjung tidak kurang yang sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkannya.  Namun biduanita negara bernama Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar tetap gagah melangkah mengharungi cabaran dan dugaan dalam mencari sinar.

Kebenaran Kunci Kekuatan

Senyuman manis terukir tatakala penulis berkunjung ke kediamannya bersama jurugambar Shuhaimi Ahmad.  Sememangnya dia cukup tabah, bagai tiada apa yang berlaku sedangkan ketika itu ramai memperkatakan perihal kes mahkamah membabitkan dirinya.  Bagi penghibur yang masih mesra disapa Kak Pah walaup sudah menyandang gelaran Datuk, hanya kebenaran yang menguatkan semangat.

"Kekuatan saya adalah kebanaran," akuinya dengan tenang.  "Kebenaran yang ada dalam diri membuatkan saya tidak pernah gentar dan takut.  Jika seseorang berbuat perkara salah walau sebesar zarah pun, pasti terpapar semacam rasa.  Saya tidak bersalah, justeru saya tidak perlu gentar.  Saya yakin di hujung jalan ada sinar menanti," sambungnya tegas.

"Bukan mahu mengungkit, jauh sekali membangkitkan segala kejadian yang berlaku sepanjang tahun lalu, kerana katanya pengalaman itu menjadi pengajaran paling bermakna dalam hidupnya sepanjang 38 tahun berkecimpung di arena seni.  Barangkali ujian Tuhan untuk melihat sejauh mana kesabarannya menangani dugaan.  Sebenarnya, luka saya belum baik.  Kalau nak kata saya mahu terus ke depan sekaligus melupakan segala-galanya, bohonglah.  Banyak yang saya belajar sejak kes ini berlaku.  Musuh tidak akan berhenti untuk terus melukai kita.  Malah mereka pula yang cuba mencuri kesempatan daripada kes ini," katanya meluahkan segala yang terbuku di hati.

Tunggu Dan Lihat

Sesekali pandangannya dihalakan ke luar pejabat kecilnya yang sememangnya menjadi tempat untuknya meredakan perasaan sambil membaca.  Sudah pasti kehijauan pepohon kecil mampu menyegarkan rasa.  Walau patah bicara diluah dengan tenang, siapa tahu gelodak hatinya.  Calang-calang orang belum tentu mampu melalui situasi begini dengan hati terbuka.

"Buat masa ini saya lebih suka mengambil sikap tunggu dan lihat.  Hidup perlu diteruskan.  Syukur, undangan persembahan juga masih saya terima.  Saya percaya, jika kita ikhlas rezeki tidak akan lari.  Sebaliknya kalau kita dianiaya, lebih banyak rezeki yang masuk.  Malah, teman rapat dan peminat terus mendoakan kesejahteraan saya.  Pada masa sama, saya percaya kepada sistem perundangan negara.  Walaupun kesannya menyakitkan, saya tidak akan pergi lebih jauh dan mencabar keadilan.  Saya sedar, industri seni kita kecil, hanya disebabkan seorang dua dalang, ia sudah menjadi barah.  Wartawan bergaduh dengan artis, artis bermasam muka dengan artis, persatuan bertelagah sesama persatuan.  Jadi kita sendiri perlu cari penawarnya," katanya lagi.

Sedia Berdamai?

"Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, saya dan Siti Nurhaliza tidak pernah mengenali satu sama lain dengan lebih dekat apatah lagi mahu bermusuh.  Sekadar dipertemukan dalam persembahan, itu pun boleh dikira dengan jari.  Dengan jarak usia yang berbeza, saya umpama ibu kepadanya.  Mana mungkin seorang ibu sanggup mendengki anak sendiri," ulasnya ditanya lagi mengenai hubungannya dengan penyanyi popular berkenaan.

Begitulah, penghibur yang terkenal dengan lagu Seri Dewi Malam itu amat terharu apabila menerusi komen di dada akhbar, ada pihak mahu mendamaikan mereka.  Baginya biarpun tiada permusuhan seperti mana ditegaskan, usaha pihak terbabit begitu mengharukan dan sebagai artis yang lebih dulu makan garam, segala pandangan diterima dengan hati terbuka.  Jauh di sudut hati, dia juga tidak mahu kemelut berpanjangan sekali gus mereka yang cuba mengambil kesempatan tidak mampu memanipulasi keadaan.

Jika muncul pihak yang sedia menemuka mereka, tidak salah dia menerimanya kerana sejak kecil dia bukan seorang insan yang bongkak.  Ujarnya mereka yang kenal siapa Sharifah Aini pasti mengerti dia begitu berdiplomasi.  "Apabila kejadian ini berlaku, ia adalah satu kesedihan sekali gus memberi impak kepada industri hiburan tempatan yang sememangnya kecil.  Kalau kes ini berjalan, ramai yang akan terbabit, begitu juga cerita dalam industri.  Lebih banyak buruk dari baiknya malah benda yang tak sepatutnya akan terkeluar.  Ia bukan lagi soal saya atau Siti," tambahnya.

Tidak Marah

Hingga kini, dia tidak menaruh sebarang dendam walau dirinya diheret ke mahkamah.  Malah menerusi mereka yang sering membuat liputan di mahkamah sepanjang kes berlangsung, wanita yang dikenali dengan sifat keibuan itu sering dilihat berjabat tangan dengan sesiapa saja termasuk pendakwaraya dan wartawan.  Baginya, mereka sekadar menunaikan tanggungjawab.  "Mereka bukan musuh tetapi pihak yang menjalankan amanah.  Saya percaya kepada hubungan baik dan silaturahim.  Ia sudah menjadi kebiasaan Kak Pah sejak dulu.  Kenapa mesti memusuhi pendakwa raya?   Tiada sebab untuk saya memutuskan silaturahim sesama insan," jelasnya lagi yang sememangnya mesra dan peramah terhadap sesiapa saja.

Malah, biarpun usianya dengan peguam, Datuk Muhammad Shafee Abdullah tidak jauh berbeza, dia dilihat bersalaman sambil mencium tangan peguam terbabit.  "Beliau lebih tua sedikit dari saya.  Sejak kecil saya sudah dididik menghormati orang yang lebih tua tambahan pula saya cukup menghormati malah sudah mengenali Datuk Shafee dan keluarganya sejak 70-an lagi.  Beliau juga tidak pernah meninggalkan saya ketika saya dalam kesusahan.  Kami sentiasa bersama dalam susah dan senang." tambahnya.

Dijauhkan Dari Dengki Khianat

Akuinya sebagai ibu kepada beberapa anak, dia mengakui perkara pertama yang terlintas di fikiran apabila ditimpa sebarang kejadian adalah perasaan insan yang disayanginya itu.  Tiada yang lebih diharapkan melainkan kesejahteraan anak-anaknya selain dijauhkan daripada amarah serta hasad dengki manusia yang tidak senang melihat kebahagiannya.  "Saya hanya mampu bermohon kepada Yang Maha Esa supaya dijauhkan dari khianat.  Saya yakin, suatu masa yang baik kelak kebenaran akan terpancar jua.  Kita melalui perjalanan hidup sepanjang hari, bukan berlakon.  Bagi saya sendiri, perasaan anak-anak menjadi keutamaan kerana saya tidak mahu hati mereka tercalar.  Sekarang saya lebih bijak melarikan diri dari musuh.  Nasihat saya kepada generasi baru, berhati-hatilah dengan musuh yang bertopengkan kawan.  Luka ditikam kawan dari belakang begitu ngilu sekali," dedahnya perlahan.

Berehat di Makkah

Demi anak tercinta, Aliff dan enam lagi anaknya yang berlajar di Madinah, Sharifah Aini bakal 'terbang' ke sana pada April ini untuk menemani mereka sepanjang tempoh peperiksaan besar berlangsung.  "Aliff dan anak saya yang lain akan menjalani peperiksaan.  Jika tiada aral saya akan berada di sana kira-kira sebulan.  Insya-Allah, kalau diberi kesihatan yang baik dan kelapangan saya dapat menunaikan umrah.  Alhamdulillah, doa anak-anak, kawan dan peminat membolehkan saya terus berdiri di sini," kata ibu penyayang itu sambil tersenyum.  Lebih istimewa, dia juga mahu meraikan ulangtahun ke 24 Aliff yang jatuh pada 15 April ini.  Jika tahun lalu disebabkan kesibukan tugasan serta kes mahkamahnya menyebabkan dia 'terlepas' sambutan itu, kali ini dia mahu menebus kembali masa emas yang terpaksa ditinggalkan.  Tiada yang lebih membahagiakan daripada melihat buah hatinya tersenyum girang.