KAK PAH SELAMAT 'POTONG' PULUT KUNING

oleh Zubir Mohd Yunus  (Berita Minggu: Bi-Pop, 17 Julai 2005)

Sekalipun dihimpit gosip kurang enak, Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini berjaya membuktikan bahawa dia tidak pernah kehilangan sokongan padu daripada rakan baiknya apabila majlis sambutan hari jadi di kediamannya pada 8 Julai lalu, dihadiri lebih 80 tetamu VIP dan profesional, selain hampir 30 wartawan.  Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah yang menyambut ulang tahunnya yang ke-51, pada 2 Julai lalu, memang bertuah kerana turut menerima hadiah dua tiket penerbangan pergi balik kelas bisnes ke mana-mana destinasi Penerbangan Malaysia (MAS) di seluruh dunia!

Majlis berkenaan lebih bermakna apabila dihadiri anak bujangnya, Aliff Omar, 23, yang kini masih bercuti musim panas dari pengajian al-Quran dan hadis di Universiti Islam Madinah.  Turut hadir, Pengarah Urusan Jewellery Circles Sdn Bhd, Sin Cheang Loong berserta isterinya yang jelita, Winnie Sin.  "Dalam apa jua situasi, Kak Pah tak pernah sunyi kerana sentiasa didampingi teman rapat.  Pendek kata, support system Kak Pah tidak goyah.  Kak Pah bukan hanya ada kawan baik pada waktu senang saja, sebaliknya ketika menangis pun, mereka tetap ada di sisi," kata penyanyi Bunga Tanjung itu ketika ditemui sebaik selesai memotong pulut kuning, hadiah khas daripada peminatnya.

Selama lebih 35 tahun bergelar artis rakaman bersama EMI, sehingga kini beliau berjaya menghasilkan lebih 90 album dan apabila ditanya apakah hasratnya selepas ini, beliau hanya berdoa semoga segala-galanya akan berjalan lancar dan mudah-mudahan Allah akan mempermudahkan hidupnya.  "Insya-Allah Kak Pah akan mengerjakan umrah di Tanah Suci selama sebulan menjelang Ramadan ini.  Kak Pah akan sentiasa mensyukuri rezeki yang dilimpahkan Allah selama ini," katanya yang mendapat perhatian ramai apabila menjadi pengkritik undangan dalam konsert Akademi Fantasia (AF3), minggu lalu.  Pun begitu, masih terdengar cakap-cakap belakang yang dilemparkan kepada Kak Pah termasuk yang mendakwa beliau tidak mampu lagi berfikir secara positif.  Justeru apa komennya?

"Tuduhan seumpama itu datangnya dari segelintir pihak saja.  Kita pun tahu siapa mereka ini.  Insya-Allah, autobiografi Kak Pah, Breaking The Silence, akan terbit sedikit masa lagi.  Ia akan menceritakan dan mengupas secara terperinci perkara yang berlaku ke atas diri Kak Pah sepanjang tempoh dua tahun kebelakangan ini.  Yang peliknya, orang yang tidak ada kena mengena dengan industri hiburan, mereka inilah yang sering jadi batu api, dan menyeret kawan menjadi lawan.  Saya sudah belajar satu perkara yang cukup penting dalam hidup iaitu jangan mudah percaya kepada orang dan jangan terlalu mudah membawa mereka masuk ke dalam kediaman kita.  Biarlah persahabatan berakhir di luar rumah saja.  Depan kita terlalu baik, tapi sebaik memaling muka ke belakang, mereka inilah kawan yang paling jahat.  Pun begitu, saya bersyukur kawan yang dimaksudkan itu cuma dua, tiga orang saja tetapi yang lain benar-benar menghargai erti persahabatan.  Tidak semua kawan yang berhati busuk atau cemburu dengan kehidupan kita.  Kita dapat rezeki lebih sedikit pun orang dah sakit hati.  Kalau susah, hidup merempat, lagilah pulak orang mengata.  Mudah-mudahan apa yang berlaku ke atas diri Kak Pah ini akan menjadi pengajaran paling berharga untuk rakan artis lain.  Tapi Kak Pah sungguh bertuah kerana mempunyai kawan yang sanggup membesar bersama kesenangan dan kesukaran yang Kak Pah lalui selama ini.  Insya-Allah, kebenarannya akan muncul juga satu hari kalau hati kita benar-benar ikhlas," katanya tetap kelihatan berseri-seri.

Ditanya mengenai teman hidup, Kak Pah mengakui dia masih belum berpunya.  Katanya, memang mudah untuk seseorang itu berkahwin tetapi perkahwinan belum lagi menjanjikan kebahagiaan sekiranya tiadanya persefahaman antara pasangan terbabit.  "Saya tidak pernah serik untuk berkahwin lagi tapi tunggulah bila sampai masanya," katanya yang berharap calon suaminya kelak turut menyayangi kesemua anak-anaknya.