KAK PAH NAK JADI PENCERAMAH MOTIVASI oleh Farihad Shalla Mahmud (Berita Minggu: B*Pop – 19 Mei 2013) |
"Disebabkan penyakit jangkitan paru-paru inilah membuatkan Kak Pah tidak berani untuk muncul di majlis membabitkan orang awam. Kak Pah bimbang penyakit ini akan menjadi bertambah teruk jika terlalu terdedah dengan udara yang tidak sihat. Biasalah bila jumpa peminat, mesti dia orang nak salam, peluk Kak Pah. Ada tu sampai nak picit-picit pipi dan gomol Kak Pah. Daripada Kak Pah menolak dan membuat peminat tersinggung, lebih baik Kak Pah berehat saja di rumah sehingga sihat," cerita penyanyi Seri Dewi Malam ini sekaligus mengundang deraian ketawa media yang mengelilinginya. MINAT JADI JURI Terbaru, Kak Pah akan bergabung tenaga bersama Khadijah Ibrahim dan Uji Rashid menerusi Malam Amal Bersama 3 Diva yang akan diadakan di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur pada 12 Jun depan. Majlis malam amal tersebut yang dianjurkan oleh Kaizen Asia bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu Persatuan Ibu Tunggal Selangor seperti yang biasa dilakukan sebelum ini. Penglibatan ketiga-tiga artis tersohor ini bukan lagi perkara baru memandangkan mereka sering kali terlibat dalam acara amal sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu bagi membantu mereka yang memerlukan. Kata penyanyi ini lagi, hanya selepas kesihatannya benar-benar memuaskan, barulah dia rasa selesa untuk kembali aktif. Bukan saja menyanyi tetapi artis yang berasal daripada Johor Bahru ini juga semakin meminati tugasan sebagai seorang juri. "Selepas menjadi juri tetap program Mentor dan juga beberapa program realitI sebelum ini termasuk yang terbaru, Kilauan Emas, Kak Pah akui semakin seronok menjalankan tugas ini. Dengan cara ini Kak Pah dapat berkongsi ilmu dan pengalaman bersama mereka. Apabila menjalankan tugas sebagai juri atau pengkritik, Kak Pah selalu anggap yang Kak Pah umpama ibu kepada mereka semua. Kak Pah akan pastikan komen Kak Pah berlapik dan tidak akan melukakan hati sesapa," jelasnya ketika ditemui pada majlis sidang media Malam Amal Bersama 3 Diva di Restoran Khadijah's Kitchen, Petaling Jaya, baru-baru ini. Ditanya, perancangan masa depan, Kak Pah berkata, dia memasang impian untuk bergelar penceramah dan juga pakar motivasi. "Pada tahun depan, Kak Pah merancang untuk memperlahankan pecutan karier seni untuk menceburi bidang lain. Perancangan Kak Pah nak buat satu konsert istimewa buat peminat. Kemudian barulah Kak Pah teruskan hajat untuk menjadi seorang penceramah motivasi. Mungkin selepas berceramah, Kak Pah menghiburkan mereka dengan nyanyian. Bukalah Sharifah Aini namanya kalau tak menyanyi," selorohnya. Mengulas majlis persembahan dan makan malam dianjurkan Kaizen Asia itu, Kak Pah mengakui begitu teruja dan tidak sabar untuk beraksi bersama dua lagi penyanyi malar segar lain – Datuk Khatijah Ibrahim dan Uji Rashid. "Rasanya sudah berpuluh tahun kami tidak menyanyi bersama dan Kak Pah harap persembahan ini dapat mengembalikan nostalgia bersama peminat. Tak sabar rasanya untuk beraksi di atas pentas bersama mereka," ujar Kak Pah yang turut berbesar hati dapat bersama-sama membantu dalam menjayakan misi itu untuk kebajikan ibu tunggal. Selain tiga penyanyi terbabit, konsert itu turut diserikan dengan kehadiran Juara Raja Lawak Musim 5, Man Pos manakala pemenang Artis Komedi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian iaitu Didie Alias dan Acong Sweet Child bertindak sebagai pengacara. Untuk tempahan meja, layari laman web www.kaizen-asia.com atau menghubungi talian 03-62425104 atau 010-2454923 atau 010-2454781. |