ERA KEJAR WANG SUDAH BERLALU oleh Zul Husni Abdul Hamid (Berita Harian: Jumaat, 4 Mei 2007) |
Datuk Sharifah Aini hanya pilih majlis eksklusif, istimewa untuk buat persembahan berbanding ketika mula menyanyi dulu. Wang barangkali menjadi lambang kemewahan kepada sesetengah insan namun ia tidak pernah menjanjikan kebahagiaan hakiki. Biar diri diselimuti wang ringgit namun ia tidak akan sama dengan nilai kasih sayang yang terpancar ikhlas daripada mereka yang tulus menyayangi. Memikirkan wang bukan segala-galanya dalam hidup ini, membuatkan penghibur bersuara lunak, Datuk Sharifah Aini kelihatan begitu eksklusif kerana figuranya hanya ditemui pada acara tertentu. "Saya bersyukur kepada Tuhan kerana meletakkan saya pada zon yang cukup selesa biarpun berdepan dengan pelbagai peristiwa menguji," katanya, membuka bicara. Sharifah Aini ditemui selepas sidang media sambutan Hari Ibu bersama Datuk Sharifah Aini di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Lantaran berada pada kedudukan yang begitu menyenangkan membolehkan penyanyi yang akrab disapa Kak Pah itu memilih untuk menjayakan hanya persembahan eksklusif dan istimewa. "Mungkin 20 tahun lalu saya sibuk ke sana ke mari menjayakan persembahan kerana terlalu mengejar wang. Tetapi saya sedar jika memilih kekayaan, kita tidak akan mampu terkejar. Sekarang saya lebih selesa, memilih untuk membuat persembahan pada majlis tertentu. Bagi saya biar jarang keluar, tetapi apabila sesekali tampil ia nampak mahal dan memberi impak," katanya yang anggun menggayakan baju kurung berbunga pada pertemuan itu. Dalam ramah bercerita, dia menyambung ketika zaman mudanya dulu, lapangan terbang pernah menjadi lokasi pertemuan dengan orang gajinya bagi menukar bagasi sebelum ke tempat persembahan baru. "Langsung tidak sempat menjenguk rumah kerana sibuk dengan persembahan pentas. Dari satu lokasi ke satu lokasi saya menjaja bakat seni dan semua itu membuatkan saya cukup penat. Sekarang saya perlu lebih berhati-hati, tidak lagi mahu keluar di tempat yang salah. Saya tidak mahu berbuat silap lagi kerana ia akan memberi tamparan kepada maruah anak-anak. Biarlah saya tidak dilimpahi kemewahan dengan wang ringgit tetapi Tuhan memberikan saya kekayaan dalam bentuk kasih sayang," kata ibu kepada Alif Omar, 25, yang kini melanjutkan pelajaran di Madinah. Turut menjalankan peranan besar itu dengan menjaga tujuh anak angkatnya yang lain, Sharifah Aini berkata, tiada yang lebih membahagiakannya selain melihat anak-anaknya berjaya dalam bidang masing-masing. Ketika ini, lima daripada anak kesayangannya menetap di Madinah dan seorang di Makkah, dia tidak sunyi kerana ditemani dua cahaya mata perempuan, Nina, 20 dan Siti Naquiyah, 18. "Biasanya setiap kali tiba sambutan Hari Ibu, mereka akan membawa saya makan malam. Tetapi tahun ini tidak tahu lagi bagaimana. Masing-masing sibuk, Alif di Madinah dan Nina pula sedang menjalani latihan praktikal. Saya tidak pernah memaksa mereka untuk mengikut apa yang saya mahukan, sebaliknya reda dengan pilihan mereka kerana kebahagiaan anak-anak itu lebih penting," katanya yang bercadang untuk bercuti di Istanbul, Dubai dan Mesir tidak lama lagi. RAKAM SEMULA 40 LAGU POPULARNYA Belum mahu menoktahkan perjalanan seninya, selewat-lewatnya Ogos ini, penyanyi itu bakal melahirkan sebuah album istimewa – Warisan & Irama Terindah Malaysia. Bakal memuatkan 40 lagu, merangkumi irama seperti asli, deli, ghazal, klasik Melayu dan balada, album yang menampilkan kolaborasinya bersama Ramli MS dan Pak Ngah ini turut menyenaraikan sentuhan Yasin, Aku Masih Di Sini. "Selepas melalui pelbagai episod 'bodoh' dalam kehidupan, saya bersyukur sangat kerana masih berada di sini. Insya-Allah, Julai ini saya akan ke Amerika Syarikat untuk urusan adunan dan 'mastering'," katanya. Antara lagu yang dirakamkan semula adalah Bunga Tanjung, Teratai, Seroja, Hapuslah Air Matamu serta lagu yang pernah dipopularkan penyanyi seperti Noraniza Idris, M Nasir dan Ella. Persembahan muziknya diiringi oleh 110 pemuzik orkestra," katanya mengenai album yang disifatkannya wajib ada di setiap kediaman. MENJAYAKAN PERSEMBAHAN HARI IBU Bersama Dharma Harun Al-Rashid dan pengacara keletah, Fauziah Ahmad Daud, Sharifah Aini akan beraksi dalam persembahan makan malam amal sempena sambutan Hari Ibu di Perdana Grand Ballroom, Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur pada 18 Mei ini. Usaha yang direalisasikan bersama Mufira Entertainment (M) Sdn Bhd dan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia itu bakal menyaksikan persembahan Sharifah Aini selama lebih 90 minit. "Sudah dua tahun saya tidak membuat persembahan di sini. Saya tidak berani menjanjikan sesuatu yang istimewa namun yang pasti, saya akan menyajikan pilihan lagu terbaik untuk semua tetamu malam itu," katanya. Antara lagu yang bakal didendangkannya ialah Ibu, Kasihnya Ibu, Mawar Putih Untuk Mama, Bunga Tanjung dan Ayah Dan Ibu. "Saya berharap persembahan ini akan meninggalkan kesan kepada tetamu. Bayarannya agak mahal jadi saya tidak mahu berasa tertipu jika kurang berpuas hati dengan apa yang diberikan," katanya. Bayaran untuk persembahan termasuk makan malam adalah RM200 (perak), RM300 (emas), RM350 (platinum), RM600 (VIP3), RM800 (VIP2) dan RM1,000 (VIP1). Tempahan boleh dibuat dengan menghubungi 03-40226500 (Mufira Entertainment), 03-26987300 (Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia) atau 03-26988302 (Felda D'Saji Sdn Bhd). |