'Tidak Wajar Gam Lagu Kak Pah'

'Aspirasi' dikendalikan Ramli MS  (Berita Minggu: Bi-Pop, 7 Oktober 2007)

 

 

Bayangkan karya intelek jadi milik banyak pihak, berusia puluhan tahun tiba-tiba mahu dipadam sekelip mata

"ASSALAMUALAIKUM.  Lebih kurang seminggu saja lagi kita akan menyambut Aidilfitri, hari kemenangan umat Islam.  Tapi sebelum itu, minggu ini saya ingin bercakap mengenai tanggungjawab dan kewajipan saya untuk mempertahankan rakan artis dari terus diperkatakan mengenai perkara yang bagi saya tidak sewajarnya berlaku ke atas kerjaya mereka sebagai anak seni.

Justeru, dalam minggu ini saya ingin bercakap mengenai lagu yang digam stesen TV dan radio.  Saya tidak mahu masuk campur urusan pentadbiran stesen TV dan radio.  Saya bercakap atas dasar harta intelek rakan artis.  Bercakap mengenai lagu yang digam, seharusnya lagu sumbang, liriknya terlalu berbau lucah mahupun lagu itu tidak mencapai piawaian masa kini, lagu berkenaan sewajarnya digam.

Pun begitu, lagu berkenaan bukannya digam atas dasar peribadi.  Saya akui, kadang-kadang artis tidak sedar, mereka terlepas kata, terlajak perbuatan dan sebagainya, namun biarlah perkara seumpama itu dibawa ke meja rundingan.  Bukannya bertindak, sekaligus menghapuskan karya intelek mereka.

Karya intelek artis juga adalah karya intelek milik negara.  Saya mengambil contoh isu Datuk Sharifah Aini.  Sudah 40 tahun dia menyanyi, tapi disebabkan apa saja alasannya, itu adalah satu isu lain.  Isu seperti tidak hadir membuat persembahan di Konsert Orkestra Simfoni Putrajaya 2007, seharusnya dibawa ke meja rundingan, bukannya terus menyenaraihitamkan lagu nyanyian Kak Pah.

Bayangkanlah lagu Hari Raya nyanyian Kak Pah yang selama ini berkumandang di corong radio setiap tahun, tidak dimainkan lagi menerusi rangkaian radio RTM!   Begitu juga puluhan lagu hitnya, tidak lagi diputarkan di radio mahupun bersiaran di kaca TV hanya disebabkan ketidakhadiran dirinya di satu konsert, dia terus disenaraihitamkan.

Saya tidak mahu mempertahankan kelakuan atau apa saja peribadi beliau terhadap RTM, tapi saya hanya bercakap mengenai harta intelek yang beliau sudah hasilkan 40 tahun lalu.  Jadi bagi saya, tidak wajar lagu Kak Pah digam RTM.  Saya berasakan setiap apa yang berlaku boleh dibawa ke meja rundingan.

Saya menghormati karya intelek yang bagus dan berkualiti.  Peminat terus menerima Kak Pah, sehingga hari ini dia terus bertahan.  Dia adalah satu-satunya penyanyi yang masih bertahan selepas 40 tahun.  Bayangkan karya intelek yang berusia berpuluh tahun, tiba-tiba mahu dipadamkan begitu saja.  Kerja intelek ini membabitkan banyak pihak, takkan nak digam dengan sekelip mata?

Lainlah kalau lirik lagu berkenaan berbau lucah yang melampau, kualiti rakamannya rendah, lagu seperti itu yang seharusnya digam!   Apabila lagu nyanyian Kak Pah dan baru-baru ini pula lagu Tam Spider serta Ramlah Ram turut digam stesen radio, perkara seperti ini bagi saya, terlalu berbau peribadi.

Apa yang berlaku antara Tam Spider dengan stesen radio Suria FM, dan saya katakan tadi, mungkin apa yang berlaku antara mereka adalah satu sifat manusia yang kita semua tidak sempurna.  Bayangkanlah kalau stesen radio gam lagu Isabella, Fantasia Bulan Madu, Suci Dalam Debu dan sebagainya yang popular lebih 10 tahun dulu, sama halnya kalau anda gam lagu Tam.  Bagi saya, karya intelek yang digam seharusnya dielakkan.  Harta intelek kita seharusnya dipelihara.  Begitu juga dengan lagu nyanyian Ramlah Ram.  Ia sebuah karya baru, tapi mengikut kata orang ramai penerimaannya begitu baik.  Namun, khabarnya lagu berkenaan turut digam.

Kesimpulannya, ada banyak lagu lain yang kita boleh gam sekarang.  Setakat ini saja untuk minggu ini, wassalam"