/URTVsambum.jpg)
"Terbuka
luas kamar cinta
Menyambut
kedatangan rindu
Berdenyut
resah dihatiku
Lemasnya
aku ...
Alunan suara lemak merdu yang menghiburkan di
corong radio dan pasar malam kebelakangan ini mengusik dan menggamit
peminat-peminat setia biduanita Sharifah Aini, apabila lagu barunya ini
berkumandang. Huzz menerima cukup banyak komen mengatakan lagu baru
ciptaan Ahmad Nawab lirik Juwie yang dimuatkan dalam album terbaru ke-48 dari
Sharifah Aini, cukup istimewa.
Bukan istimewa kerana album kali ini membawa tiga
komposer yang pernah bertungkus lumus menghasilkan banyak albumnya Ahmad Nawab,
S Atan dan Fauzi Marzuki tetapi juga kerana lagu-lagunya menarik dan mengesankan.
Penyanyi yang terkenal dengan imej emas berlian, kehidupan mewah dan mahal serta
mempunyai kedudukan sebagai artis ternama di tanahair ini nampaknya begitu
gembira dengan kelahiran album terbarunya ini. Bahkan susulan dari album
ini EMI akan mengedarkan lagi kaset terbarunya bersama lagu koleksi lama dan
rakaman baru.
Ikuti wawancara dengannya.
Bagaimana dengan album terbaru, lagu apakah paling berkesan di hati?
Sudah tentulah lagu Rindu Menghiasi Kamar Cinta.
Namun tak lupa merakamkan lagu Bunga Tanjung, kerana lagu ini seperti
imej saya pula. Juga Menaruh Harapan khas untuk Zaiton.
Walaupun dia pernah mengatakan dia sahaja yang sedap menyanyikan lagu
itu, tapi nyanyian saya berupa hadiah untuknya. Wang royalti dari
lagu ini adalah sumbangan ikhlas saya kepada Eton. Dia kawan saya
sejak dulu, saya sayangkannya.
Apa perasaan kak Aini bila merakamkan semula lagu lama?
Ingatlah wahai penyanyi-penyanyi baru yang
ada sekarang, tidak patut merasa diri 'low class' atau hina kalau
menyanyikan lagu asli atau lagu lama. Bahkan kebolehan menyanyi
lagu begini sepatutnya ada pada penyanyi Melayu. Kalau tidak kita
perjuangkan, siapa lagi? Biar orang kata saya kampungan kerana
suka lagu asli, janji saya verstaile. Kecuali lagu 'rap', maaf itu
bukan pilihan saya.
Hampir 5 tahun menunggu album baru, mengapa begitu lama?
Banyak masalah peribadi. Waktu rakaman
lama sebabnya memilih lagu, menilai kepuasan. Terima kasih EMI
syarikat rakaman yang telah saya sertai lebih 26 tahun, memberikan
peluang untuk saya gunakan studio dan membiayainya lagi dan lagi jika
saya mahu kalau saya tak puashati dengan dendangan saya.
Apa komen mengenai tiga komposer, Ahmad Nawab, S Atan dan Fauzi?
Mereka bertiga sama kreatif dan berbakat.
Tapi perangai berlainan. Ahmad Nawab sensitifnya tersendiri.
Bila masuk rakaman saya tahu apa yang saya perlu serius dengannya.
S Atan dengan saya tak ada maki hamun ... mungkin penyanyi baru kena,
tapi saya tak kena. Sebabnya saya tahu dia mahu yang terbaik dari
kita. Fauzi biasalah, kreatif dan kesungguhannya bukan main bila
bersama di studio.
Mengapa penyanyi baru selalu sakit tekak atau kerongkong, Sharifah Aini
sudah 26 tahun menyanyi masih bertahan. Apa rahsianya?
Huh tak ada rashia. Bersyukur ...
suara itulah bakat kurniaan Allah. Saya percaya bakat itu penting.
Saya sedih penyanyi baru kita sekarang, ada yang bakat itu no. 3, rupa
dan glamour didulukan. Sebenarnya itu salah. Macam saya,
dulu dengan tocang dua sampai ke rambut kembang begini ... saya bermula
kerana bakat. Usah bermula kerana rupa atau glamopur ... salah tu!
Perancangan kini, selepas album terbaru?
Oh sudah tentulah saya akan mengadakan show
ke serata tempat. Selama ini orang kata Sharifah Aini mahal, untuk
dinner show di hotel saja? Salah tu ... Saya tak kisah
datang ke kampung kalau diundang. Tanyalah orang kampung.
Saya ni anak kampung, penyanyi kampung, takkanlah saya nak tolak show di
kampung? Seperkara lagi saya sedang menanti siapa sudi taja, saya
nak menyanyi menggunakan orkestra penuh lebih 100 pemuzik. Buat
show hebat untuk amal pun boleh. Ini antara mimpi saya sebelum
saya beredar terus dari dunia muzik yang saya belum pasti, apakah
sebelum atau selepas 10 tahun mendatang.
Penyanyi kita ada mimpikan Amerika dan Eropah, bagaimana Sharifah Aini?
Saya rasa kalau saya ke luar negara, saya
akan menyanyi di kelab-kelab mewah juga. Macam, nak mulakan karier
untuk mendapat nama di sana. Saya tak fikirkan semua itu.
Saya ada anak dan keluarga. Saya hanya inginkan Mesir. Saya
mahu mendapat nama di sana. Saya telah diundang dan saya tak dapat
melangsungkan rakaman di sana kerana masalah saya. Tapi sekarang
saya menanti ruang dan peluang semula.
Kenapa masih dengan EMI, tak ada syarikat lain yang mampu menjaga
Sharifah Aini?
Ada, bahkan tawaran lumayan. Tapi bagi
saya, apa salah EMI, hendak saya tinggalkan, layanannya bagus.
Kontrak saya telah diperbaharui. Album saya terbaru selepas yang
ini akan menyusul termasuk 10 lagu lebih dari yang baru akan dimuatkan.
Dan jika ada peluang saya ingin mengundang Jamal Abdillah atau Aris
Ariwatan berduet, saya suka suara mereka.
Akhir sekali ingin bertanyakan soal gosip, apakah cerita terbaru yang
mengusik hati kak Aini sekarang ini?
Syukurlah sejak dulu ada juga berita fitnah
dilemparkan hinggalah sampai ke cerita mengaibkan, Allah memelihara saya
di ketenangan ini. Bagi saya gosip itu asam garam, hidup artis.
Saya sedih akhir-akhir ini ada pula mengatakan saya ni kalau menyanyi di
dinner show tu dengan hasrat untuk menggoda. Saya sudah ada suami,
buat apa lagi nak goda orang lain. Hentikanlah pendapat tidak
benar begitu, saya menyanyi bukan semata-mata nak menggoda, tapi
menghiburkan orang. Cukup!
Dengar cerita Sharifah Aini tekun mendalami agama untuk bekalan akhirat?
Oh no komen. Sebagai manusia, saya
juga ada pelajaran agama, hidup kita ini tidak akan kekal, selamanya.
Bekalan akhirat wajib dibuat.
BUKU
RIWAYAT HIDUP SHARIFAH AINI AKAN DIPASARKAN
Kedengaran ada pihak berhajat untuk menulis biografi merakamkan
pengalaman pahit manis biduanita negara Sharifah Aini dari zaman menjual
goreng cempedak di kampungnya hinggalah ke kehidupan glamour hari ini.
Kedengarannya penyanyi ini juga setuju kalau bukunya mahu ditulis.
Tetapi siapakan penulis, bilakah akan disiarkan dan segala cerita
benarnya hanya Sharifah Aini yang akan berikan kerjasama. "No
komen di waktu sekarang. Tetapi biarlah kisah yang betul ditulis,
jangan yang bukan-bukan," katanya.
Bagimanapun Huzz rasa biarlah Sharifah Aini yang menulisnya.
Bahkan bagi Huzz Sharifah Aini bukannya tak boleh menulis tetapi dia
cuma belum mahu memulakannya. Tulisannya dan surat-suratnya yang
Huzz baca, menunjukkan bahawa dia ada bakat menulis. Bahkan
Sharifah Aini suka membaca novel-novel antarabangsa.
NASIHAT
UNTUK ARTIS BARU
"Kenalilah bakat yang ada, usah mengejar
nama, glamour kemudian terperangkap oleh masalah yang pelik-pelik hingga
memburukkan nama dunia artis. Saya juga nak ingatkan rakan artis
kita, jangan nak pakai kereta baru hebat-hebat tapi lesen tak ada.
Saya macam tak percaya pula membaca cerita ramai artis muda tak ada
lesen. Saya sendiri cukup takut kalau tak ada lesen, tak boleh tu.
Begitulah juga masalah dengan income tax, berundinglah. Malu juga
dengar cerita artis kena kejar dek pihak JHDN," katanya terkejut dengan
perkembangan itu. |