Arkib Artikel                 

KONSERT ISTIMEWA SHARIFAH AINI BUAT PEMINAT

oleh Huzz  (URTV, 15 Oktober 1995)

Pasti seluruh peminat serasa tak sabar nak menonton konsert istimewa Sharifah Aini yang berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 17-19 November, 1995.  Konsert menelan belanja besar (khabarnya lebih RM100,000) ini sesungguhnya satu penghormatan buat Sharifah Aini yang hampir 30 tahun menyanyi dan mempunyai lebih 40 buah album.  Ketika URTV mengunjungi biduanita cantik jelita ini di rumahnya, Sharifah Aini mengakui inilah sebuah pementasan yang dinantikannya sejak 10 tahun lalu.  "Saatnya tiba juga, syukur ada pihak yang mengingati saya.  Terima kasih kepada Johari Salleh dan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana terfikir sesuatu yang memang saya idamkan.  Kini impian saya bukan lagi khayalan.  Saya terharu kerana ada pihak yang mahu memberikan penghormatan begini buat saya sebelum saya menghembuskan nafas terakhir.  Tidaklah setelah saya tiada baru nak dibuat itu dan ini, kini bolehlah saya berkongsi pengalaman bersama peminat-peminat saya yang sekian lama masih terus menyokong karier saya.  Bagi saya, berdirinya nanti saya di pentas di tiga malam tersebut, saya akan memberikan persembahan yang istimewa, khusus buat semua peminat-peminat saya.  Tak sabar saya menantikan detik-detik itu," katanya.

Malam itu Sharifah Aini juga sibuk membuat latihan untuk konsert yang akan memakan masa selama dua jam pada setiap persembahannya.  "Konsert ini mengandungi 30 buah lagu termasuk 10 lagu Inggeris sebagai meletakkan taraf konsert ini tidak hanya kepada lagu Melayu.  Sengaja saya buat demikian untuk mengutip kenangan hidup saya melalui lagu-lagu saya dan juga orang yang pernah menjadi kesukaan saya dalam perjalanan hidup saya ini sebagai insan biasa.  Terdapat juga pilihan untuk lagu Arab, tapi saya tidak menyanyikannya banyak cuma mungkin satu atau dua.  Lagu-lagu yang akan saya pilih ini ada kena mengena dengan memori yang penuh nostalgia.  Jadi kalau penonton datang menyaksikan saya di pentas ... mereka juga akan dapat mendengar lagu-lagu yang sangat bermakna buat saya.  Mengenai persembahan ... tak berani saya nak katakan saya terbaik ... saya hebat.  Saya ni mampu memberikan persembahan vokal dan cara saya sendiri.  Jangan mengharap saya nak terkinja dan melompat di atas pentas.  Saya akan melihatkan cara persembahan tersendiri.  Saya gembira di belakang saya ada 73 karyawan muzik yang akan mengiringi saya.  Yang penting ... malam itu bukan saja peminat jadi undangan tetapi saya akan meminta dibuat undangan kepada semua komposer yang banyak membantu kejayaan saya seperti Kassim Masdor, Ahmad Nawab, S Atan, Fauzi Marzuki, M Nasir, A Ali dan ramai lagi," katanya.  "Harga-harga tiketnya tidak mahal cuma RM30, RM15 dan RM10 yang sememangnya sesuai untuk semua peringkat.  Saya mahu peminat saya dari pelbagai kalangan dapat datang.  Kaya miskin sama saja," katanya.

PENING MEMILIH LAGU

Waktu duduk di 'music room' di rumahnya, kami sama-sama memilih lagu-lagu yang akan didendangkan.  Diputarkan kembali lagu-lagu dari kaset zaman komposer Ahmad Nawab, S Atan, Kassim Masdor dan banyak lagi yang masih disimpan dalam koleksi.  Mendengarkannya, kita ikut terkenangkan memori waktu lagu-lagu itu sedang popular. 'Jatuh Cinta', 'Seri Dewi Malam', 'Jauh Di Mata', 'Tiada Maaf Bagimu', 'Hapuslah Airmatamu', 'Tiba-tiba Rindu', 'Kau Racun Hidupku', 'Terbang Helang', 'Kau Yang Bernama', 'November', 'Ingatan Manis Di Bulan September' antara ratusan lagu yang pernah dirakamkan dan penuh nostalgia buat semua.

"Tak usahlah dinamakan lagu-lagu ini dulu ya, kami sedang memikirkan - semuanya dirahsiakan.  Nak surprised buat peminat.  Tapi inilah antara lagu yang saya fikirkan terbaik dan menarik untuk persembahan ini.  Ada rangkaian medley untuk asli, keroncong, pop, tak lupa solo dan seterusnya koleksi Inggeris buat semua.  Tujuan saya bawakan lagu Inggeris bukannya apa.  Sebagai membuktikan kebolehan saya dalam dua bahasa ini.  Sebuah lagu Arab mungkin dipentaskan.  Saya sukakan lagu nyanyian Fairuz dari Mesir," katanya sambil memutarkan sebuah lagu Arab dan dinyanyikan bersama.  Tak dinafikan suaranya masih sehebat dulu.

ANAK-ANAK ITU PENGHIBUR DAN BESARNYA AMANAH PADA KITA

Sharifah nampak bahagia sekarang.  Hidup disisi keluarga dengan anak-anak yang kian membesar, diasuh dan dididik supaya dewasanya nanti menjadi insan yang berguna.  "Walaupun saya sibuk menyanyi, tapi di rumah saya mesti memastikan segalanya berjalan baik.  Anak-anak bukan satu anugerah yang boleh dianggap mudah.  Amanah Allah itu sangat besar untuk kita ketika menjaga anak-anak.  Sengaja saya ramaikan anak yang ada untuk melihat satu kehidupan lebih bermakna.  Aliff tidak harus membesar sebagai anak tunggal ..." katanya.  Ternyata dia sangat idamkan kebahagian anak-anaknya agar membesar tanpa merasa tersisih dalam keluarga.

"Saya mudah mengalirkan airmata bila membaca dan menonton kisah anak-anak terbiar ... dibuang bersepah-sepah setelah dilahirkan.  Bagi saya, penganiayaan yang begitu harus dihapuskan.  Pada saya penderaan, penyiksaan dan pembuangan anak, sesuatu yang harus dibendung.  Harus diambil langkah mengatasinya.  Kasihan mereka dilahirkan kemudian dijual, dicampak ke sana ke sini.  Pengalaman silam saya cukup pedih.  Mujur saya dicari oleh arwah datuk dan nenek yang mengambil saya dari sebuah keluarga.  Kalau tidak saya tidak bernama SHARIFAH AINI ... Allah menyayangi saya ! " katanya.  "Kasih sayang arwah abah dan emak (panggilan buat datuk dan neneknya) saya cukup hargai.  Kini saya pahatkan kenangan manis bersama mereka dalam pameran mengenai diri saya di DBKL sempena konsert itu.  Mereka telah menghidupkan saya dari sebuah 'kematian'.  Kerana itu saya mengambil anak angkat di merata tempat untuk memberikan 'kehidupan' yang bermakna bagi mereka.  Semoga Aliff dan adik-beradik, saling menyayangi.  Na'uzubillah tidak pernah terlintas di hati saya untuk menzalimi mereka.  Walaupun saya seorang penyanyi, tapi didikan agama, saya sendiri yang pastikan buat mereka.  Waktu mengaji dan solatnya.  Saya sendiri mengajarnya."  Aliff (13 tahun), Nina (9 tahun) dan Siti (7 tahun) tinggal sebumbung dengannya manakala Imen (3 tahun) tinggal dengan saudaranya.

Bahkan Sharifah Aini mengatakan ada juga anak-anak yang dibiayai perbelanjaannya kepada keluarga susah.  Tapi dia enggan menceritakan soal amal jariahnya untuk pengetahuan umum.  "Usahlah berkisahkan soal amal itu semua.  Saya suka berbuat kebaikan dan berbakti kerana bagi saya ... apa salahnya.  Tapi saya rasa tak perlulah dihebah-hebahkan semua itu." komennya.  Huzz dengar dia juga pernah mendermakan sejadah, menjamu makan di bulan puasa di masjid, dan juga pada yang susah.  Tetapi soalan begini padanya lebih senang dibiarkan tanpa jawapan, tak mahu dikata riak.

MEMPUNYAI 13 SAHABAT IKRAB

Siapakah kawan-kawan Sharifah Aini?  Ternyata tidak ada kawan baik di kalangan artis.  Katanya dia baik dengan semua artis tapi tidak ada sahabat ikrab di kalangan artis.  Sesekali bila berjumpa kawan-kawan artis barulah berborak panjang.

Bagaimana kelompok insan biasa?  Rupanya dia berhati-hati, katanya bukan semua kawan jujur.  Ada yang dalam diam-diam sanggup nak membunuhnya dari belakang.  "Sesuatu yang sedih ada waktunya saya hanya dijadikan tempat untuk batu loncatan ... orang nampak muka saya dengan nota RM saja.  Kalau saya ada duit dan boleh beri mereka pinjam, sayalah kawan atau saudara.  Tapi ... di kala saya susah ... saya diketepikan.  Kalau Huzz nak tahu, sebenarnya saya ni hanya mempunyai 13 orang teman ikrab, kami berkawan sudah lama sejak 25 tahun lalu.  Pendekata cukup kenal hati budi masing-masing," katanya.  "Kalau nak tahu saya paling banyak habiskan wang dengan kawan-kawan ini bukannya kerana kami gila shopping tapi sering berhubung di talian telefon.  Melambung bilnya." ketawa dia bercerita.

"DIA PUNYA SIKAP YANG JUJUR" Dr Zaleha

"Saya hargai kawan yang mengenal erti persahabatan yang jujur dan bukan sekadar bernama kawan sebaliknya gunting dalam lipatan," komennya.  Seorang dari kawannya bernama Dr Zaleha memberitahu, "Saya ni kenal Sherry (panggilan untuk Sharifah Aini) sejak 25 tahun lalu.  Saya pernah terlantar sakit selama 3 setengah bulan di hospital.  Ketika itu suami saya menghadapi peperiksaan di sebuah universiti di luar negara.  Ingat lagi ... Sherrylah yang menjaga saya.  Mandikan saya, sikatkan rambut saya, dan potongkan kuku saya.  Bukan itu saja Huzz ... Sherry sanggup tidur di hospital.  Begitu mulianya hati manusia bernama Sharifah Aini menghargai seorang kawan."  Terkenangkan cerita Dr Zaleha, saya teringat pula kepada kisah waktu seorang teman Sharifah Aini sakit barah di Hospital Besar, Kuala Lumpur.  Saya dengar ada jururawat memberitahu Sharifah Aini sering datang bawa makanan dan menjaga kawannya sampai ke akhir hayat temannya itu.  Begitulah waktu Zaiton Sameon terlantar, dia di antara artis yang menjenguk sejak awal dan datang melawat.  Bercakap mengenai kawan, dia meminta URTV mencari kawan-kawan lama semasa di Johor dulu.  "Kak Aini rindunya nak jumpa dengan kawan masa zaman sekolah.  Bila duduk-duduk terkenangkan arwah insan tersayang yang dah pergi, terusik kenangan dengan kawan lama.  Mereka ialah Jamilah Othman, Fauziah Hassan, Hawa Haji Ahmad dan kawan-kawan di Sekolah Arab Al-Attas dan Ma'ahad seperti Noorhayati, kak Rose.  Manakala sekolah rendah pula Zubaidah Maidin.  Kalau mereka nak hubungi gunakan alamat rakaman EMI," ceritanya.

FITNAH, APA KOMEN SHARIFAH AINI

Huzz tanyakan dalam penghidupannya sebagai artis, apakah cerita yang cukup pedih dan membuatkan dia terkilan sehingga berjauh hati?   "Cerita-cerita berbau fitnah.  Kak Aini hairan kenapalah ada hamba Allah yang sanggup memfitnah kak Aini dan cuba membuat hubungan dengan sesuatu pihak renggang dan berbalah.  Kan berdosa namanya ... gara-gara fitnah mereka kak Aini dan pihak tertentu telah retak.  Memang kak Aini pemaaf ... tapi hati tetap terguris luka mengenangkan sakitnya dijadikan mangsa fitnah manusia.  Katalah segala umpatan, Tuhan tidak akan menerima pahala dan amalan orang yang begitu.  Pagi petang siang malam mengumpat, membuat fitnah.  Hairanlah Huzz masyarakat kita ni ada yang pentang melihat kita senang.  Mulalah nak buat begitu dan begini.  Kesiannya kak Aini pada orang yang begini.  Biarlah apa nak diperlakukan ... syukur kak Aini dapat bonus dan pahala oleh perbuatan mereka itu.  Janganlah dengki khianat sampai jumpa bomoh nak buat orang.  Rumah kak Aini ... apa tak dibaling orang dengan ilmu hitam.    Apa yang kak Aini tak dengar buruk perangai orang nak pekena kak Aini ... mengucap melihat perangai manusia begitu.  Sedihnya ... kenapalah mereka tak fikir bab mati, di dunia ni kalau tak habis ... kat akhirat ada pembalasannya!."

ARTIS-ARTIS KITA JANGAN LENA DENGAN GLAMOUR

Sebagai salah seorang celebriti yang matang, Huzz cuba tanyakannya apakah rahsia seseorang itu berjaya sebagai anak seni.  "Sebenarnya menjadi artis jangan difikirkan glamour semata.  Kita bukan nak kejar glamour, bukan nak disanjung kerana populariti mendadak di majalah atau akhbar.  Kalau berbakat ... gilapkan bakat itu.  Jangan cakap tak serupa bikin.  Hentikan sikap suka berlagak, sombong bodoh dan membiarkan diri tidak mahu mengenal perubahan.  Pantang dikritik melenting.  Ambil sebagai pedoman.  Kak Aini pun pernah kena kritik, yang membina apa salahnya diambil jadi sempadan.  Cuma kalau kena fitnah dan tuduhan tak berasas memanglah kena marah.  Seperkara lagi artis kita ada yang mudah memandang rendah sesama mereka sendiri.  Pantang melihat kawan-kawan berjaya.  Dengki khianat sesama sendiri, tak boleh tu.  Bangunlah berjuang untuk diri sendiri.  Jangan gah kerana popular.  Banyak perlu kita bekerja.  Jangan jadikan dunia artis batu loncatan.  Ikhlas dan jujur dalam mencari seni yang kita diceburi.  Disiplin dan bakat sama penting.  Pada kak Aini berapa ramai pun artis baru muncul itu semua tak salah.  Kak Aini lebih suka.  Siapa kata kak Aini tak ikut perkembangan.  Seronok melihat anak-anak seni baru.  Tapi sedih dalam pada itu ada yang memandang yang lama itu ketinggalan.  Dalam diam-diam mahu mendirikan dinding antara mereka dan artis lama.  Tak boleh begitu," pesannya.

"Jadilah diri sendiri.  Jangan baru satu dua album sudah mimpikan Hollywood tak fikirkan langsung muzik khazanah sendiri.  Cuba-cubalah cintai lagu asli daripada bermimpikan hanya lagu Western saja!  Apapun ... terbukti kalau artis itu lupa diri ... dia selalunya cepat kecundang.  Oleh itu jangan angkuh kalau kita rasakan kita bagus ... awas ... ada lebih baik daripada kita.  Seperkara lagi kak Aini nak nasihatkan artis-artis baru menyedari dunia glamour ini bukanlah untuk mereka berpesta berbelanja hingga lupa kemampuan.  Sedarlah hidup tak selalunya indah.  Oleh itu jangan suka boros. Baru nak jadi artis sudah berlagak itu dan ini ... tak simpan duit ... akhirnya kita yang akan menjadi susah.  Kak Aini mahu mereka pandai mengenali hidup sebagai artis," katanya.

Sharifah juga kemudiannya menegur sikap artis yang suka bersidai di sana sini. "Huzz ... sebetulnya amalan suka lepak di sana sini di kalangan artis kita tak perlu digalakkan.  Mereka terkenal, pergi ke sesuatu tempat itu jangan sampai dibosani peminat melihat aksi mereka yang adanya keterlaluan, seperti ke disko.  Di sini kak Aini selalu memastikan diri kak Aini tak suka bersidai dan dijelek peminat sendiri."  Mengenangkan zaman dia nak jadi penyanyi dulu, katanya "Dulu kak Aini ingat ... naik bas turun bas nak pergi rakaman lagu.  Dengan tocang dua rambut ni.  Pernah kena perli oleh kastam ... seronok konon nak menyanyi.  Arwah abah selalu temankan kak Aini.  Cuba lihat cara kak Aini menyanyi dulu dan sekarang ... tentu ada perubahan kan?  Kerana kak Aini pun mesti belajar.  Terus berusaha bukannya dah dipuji dikatakan bagus, kita pun dah berlagak.  Sampai sekarang kak Aini masih rajin memperbaiki karier," katanya.