USAH FITNAH SAYA!

oleh Syed Mussaddad Syed Mahdi (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 12 Mei 2013)

"Usah terus fitnah saya kalau orang tak tahu apa-apa," tegas Sharifah Aini ketika diminta mengulas mengenai perubahan di wajahnya.  Jelas penyanyi yang lebih mesra disapa dengan panggilan Kak Pah itu, dia tidak pernah melakukan apa-apa suntikan seperti yang didakwa tetapi perkara tersebut terjadi disebabkan penggunaan streoid ketika terlantar di hospital beberapa bulan lepas.

"Saya dijangkiti kuman pada paru-paru.  Hampir 20 hari terlantar di hospital dan doktor menggunakan streoid untuk menyembuhkan penyakit ini secara berterusan.  Memang dos yang digunakan sepatutnya lebih tinggi tetapi saya minta dikurangkan.  Hasilnya muka jadi sembab disebabkan air berkumpul di wajah.  Orang tengok muka saya dah makin 'bulat' orang terus kata saya buat suntikan wajah.  Tak mengapa kalau nak terus tabur fitnah sebab saya yang dapat pahala.  Tapi saya kasihan dengan orang-orang yang tak berpuas hati yang terus nak tabur cerita tak benar semata-mata nak memalukan saya," tegas penyanyi lagu Seri Dewi Malam ini.

Sambil melahirkan rasa kurang senang dengan berita negatif sedemikian, Kak Pah turut mendedahkan yang dia memang sudah menjaga kulit wajah dan penampilan sejak awal belasan tahun lagi.  "Saya jadi penyanyi sejak usia 18 tahun dan saya menjaga kulit wajah sebelum itu lagi.  Tak boleh nak pertikai macam mana saya menjaga wajah kerana itu memang antara rutin yang saya sudah buat sejak awal remaja.  Sebab itu saya kasihan dengan orang yang suka sebar fitnah tanpa tahu cerita.  Tak mengapalah asalkan saya semakin sihat pun sudah bagus," luahnya dalam nada kesal.

Sejak akhir-akhir ini Kak Pah dilihat aktif mengemas kini status Facebook miliknya dan berkongsi banyak ilmu dengan peminat.  Menyifatkan perkara tersebut sebagai dakwah dirinya, dia bagaimanapun kesal apabila masih ada yang menyalah guna laman sosial tersebut.  Ada di antara mereka menjadikan laman sosial sebagai tempat pergaduhan, memecah belah dan menyebarkan fitnah seperti yang diketahui umum.  Namun ada satu perkara yang membelenggu Biduanita Negara ini yang turut diluah di dalam Facebook miliknya.  Beliau pernah melahirkan rasa kurang senang terhadap seorang artis baru di Facebook yang disifatkannya sangat sombong dan meninggi diri.  Enggan mendedahkan siapakah artis tersebut, Kak Pah cukup kesal kerana masih ada anak seni yang sombong dah meninggi diri kerana status dan kekayaan miliknya.

"Memang saya pernah jumpa beberapa kali artis ini.  Tapi sikap sombong yang ditunjukkan olehnya memang buat saya kecewa sampai nak hulur tangan bersalam dengan orang lain pun tak mahu.  Hidup jangan meninggi diri.  Kalau sampai tak mahu salam, tegur orang sebab dia kaya raya apakah ertinya?  Orang macam ini tak layak digelar anak seni pun sebenarnya.  Bila jadi anak seni kita kena merendah diri dan melayan semua orang.  Kalau bukan berstatus anak seni pun sudah tentu kita kena saling hormat menghormati dan merapatkan silaturrahim.   Sepanjang 45 tahun saya dalam industri saya sendiri tak mahu sombong dan lupa diri.  Bila kita baik dan merendah diri, semua orang sayang," katanya.

3 DIVA

Terbaru, Kak Pah akan bergabung tenaga bersama Khadijah Ibrahim dan Uji Rashid menerusi Malam Amal Bersama 3 Diva yang akan diadakan di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur pada 12 Jun depan.  Majlis malam amal tersebut yang dianjurkan oleh Kaizen Asia bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu Persatuan Ibu Tunggal Selangor seperti yang biasa dilakukan sebelum ini.  Penglibatan ketiga-tiga artis tersohor ini bukan lagi perkara baru memandangkan mereka sering kali terlibat dalam acara amal sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu bagi membantu mereka yang memerlukan.

"Alhamdulillah saya masih berpeluang untuk membantu mereka yang memerlukan.  Mungkin pengorbanan ini tak sebesar mana tetapi kalau dilakukan secara berterusan insya-Allah kita dapat manfaat bersama.  Sudah 16 tahun saya membantu 2,500 anak-anak sekolah tahfiz dari segi kewangan dan hal-hal lain.  Selain berniat nak bantu mereka saya anggap ini pelaburan akhirat juga," katanya ringkas.

Bagi mereka yang berminat untuk turut serta dalam majlis meja-meja dijual bermula dengan harga RM1,500 hingga RM10,500.  Sebarang pertanyaan boleh hubungi 010-2454923 atau 010-2454791.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Tak Marah (Berita Harian – Jumaat, 10 Mei 2013)