SHARIFAH AIN JAYAKAN 3,000 PERSEMBAHAN AMAL

(Utusan Malaysia: Isnin, 20 March 2000)

Selain berjaya mencatatkan populariti sehingga hari ini Sharifah Aini juga merasa bangga kerana telah melaksanakan tanggungjawab sosialnya apabila terlibat dalam lebih 3,000 persembahan amal sebelum ini.  Kerana menyedari golongan artis lebih berpengaruh untuk menarik perhatian masyarakat, Sharifah Aini memilih untuk memberi sumbangan dengan nyanyiannya.  Sekalipun kebanyakkan persembahan itu tidak banyak mendapat liputan tetapi hasratnya untuk menyalurkan sumbangan telah berjaya dilaksanakan.

Sehingga kini Sharifah Aini meneruskan komitmennya melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan kerana mahu turut bersama-sama pihak lain memberi sumbangan kepada yang memerlukan.  Katanya, dia tidak mempunyai kemampuan untuk menyalurkan sumbangan dalam bentuk kewangan tetapi nama dan suaranya yang dimilikinya boleh disumbangkan bagi menjayakan sesuatu aktiviti amal.  Malah baginya terlibat dalam persembahan amal telah menjadi sebahagian daripada keutamaan dalam kariernya sebagai penyanyi sejak dulu hingga sekarang.  Dia cuba untuk meluangkan masa bagi menjayakan aktiviti amal itu.

Terbaru sekali Sharifah Aini akan menjayakan sebuah konsert amal konsert di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada 22 April ini.  Acara persembahan dan makan malam ini dianjurkan oleh Pusat Peluang Latihan Vokasional (VTOC) untuk mengutip derma membantu kos operasi pusat itu.  Ia adalah pusat yang memberi peluang latihan kepada wanita daripada keluarga yang tidak berkemampuan membiayainya bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan.

Setakat ini mereka hanya menyediakan tiga kursus iaitu kursus guru tadika, menjahit dan komputer, kata pengerusi pusat itu, F.R Bhupalan.  "Sekiranya mempunyai kewangan yang cukup kami berhasrat membuka lebih banyak kursus lagi,'' katanya di sidang akhbar mengenai konsert An Evening of Joy With Sharifah Aini di pejabatnya baru-baru ini.  Sharifah Aini pula berkata, kemunculannya dalam aktiviti sosial seperti itu adalah untuk menyumbangkan sedikit tanggungjawabnya terhadap masyarakat.  "Sebagai penyanyi, inilah salah satu sumbangan yang dapat diberikan dan saya menganggap diri saya bertuah kerana dapat menyertainya,'' ujarnya lagi.

Ditanya mengenai persembahan, katanya sebagaimana lazimnya dia akan membahagikan persembahan kepada beberapa segmen.  "Banyak golongan menyaksikan konsert itu dan saya ingin hiburkan semua orang sesuai dengan wang yang mereka sumbangkan,'' ujar penyanyi itu.  Bhupalan berkata, pihaknya menjangka dapat mengutip RM250,000 hasil derma menerusi jualan meja menyaksikan persembahan.

Jumlah RM1,500, RM2,000 dan RM5,000 untuk satu meja sebanyak 10 orang dibuka kepada penderma yang berhasrat menyalurkan sumbangan mereka.  Mereka juga bertuah kerana telah mengutip lebih RM70,000 hasil derma beberapa pihak setakat ini, jelas Bhupalan lagi.  Kepada yang berminat untuk menyaksikan persembahan Sharifah Aini sambil menderma untuk pusat itu boleh menghubungi talian 03-2067753 atau 2017753.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Imbas Kembali Zaman Gemilang (Utusan Malaysia – Rabu, 26 April 2000)