DI SEBALIK RAHSIA SHARIFAH AINI SELALU PENGSAN, PENGSAN ... oleh Bahyah Mahmood (Utusan Filem & Fesyen, Disember 1975) |
||||||||||||||
Lagipun sebagai pelakon yang baru pertama kali muncul, Sharifah Aini harus membuktikan bakat seni lakonnya sungguh-sungguh. Kebolehan atau talentnya sebagai pelakon filem biarlah seimbang dengan bayaran paling mahal yang diterimanya dari Sabah Filem. Dalam sejarah dunia filem Melayu kita belum pernah mendengar bayaran semahal yang diterima oleh Sharifah Aini, apalagi bagi pelakon yang belum dapat ditentukan kebolehannya, maklumlah hanya baru hendak diperkenalkan dalam filem pertama. Bayaran semahal $7,000/- tidak termasuk peruntukan membuat pakaian-pakaian sebanyak $2,000/- dinilai kerana Sharifah Aini merupakan penyanyi paling top di negara kita, lagipun dia sudah punya ramai peminat dan tentulah filemnya nanti pasti boom! ... tentunya mendapat pasaran box office. Mungkin kerana itulah produser M Borhan dari Sabah Filem berani mengorbankan wang sebanyak itu. Kematian ibunya, Wan Mariam binti Wan Tahir, 60 tahun sesungguhnya telah menimbulkan sesalan di hati Sharifah Aini. Hatinya benar-benar terkilan kerana tidak sampai hajatnya untuk menghantar orang tuanya ke Mekah seperti yang telah dijadulkan pemergiannya pada tahun 1976 depan. Tarikh itu emaknya sendiri yang menetapkan ... apakan daya tak terkabul kiranya. Akhir sekali Sharifah Aini bertentang mata dengan ibunya, dua minggu sebelum ibunya meninggal dunia. Dalam perjalanan ke Singapura untuk merakamkan lagu-lagu filem HAPUSLAH AIRMATAMU di sempat juga menjenguk ibunya di Johor Bahru. Sekarang barulah dia terfikir dan dapat membayangkan semula akan perubahan ibunya ketika itu. Dia tidak banyak bercakap tapi banyak merenung muka Ani. Berkali-kali dia membisikkan ke telinga Ani – menyuruh Ani kahwin cepat! Fahamlah dia sekarang, barangkali orang tuanya sudah tidak tertahan lagi mendengar fitnah-fitnah tentang anaknya itu. Selama ini pun ibunya sering menjadi sasaran keluarga kerana membiarkan anak gadisnya menjadi penyanyi – bebas ke sana ke mari. "Ani sedar emak Ani banyak berkorban untuk diri Ani ... dia banyak menahan perasaan kerana Ani! ... ujarnya dengan suara sebak. "Sememangnya hati Ani tidak pernah tenang ... semakin ramai orang menyanjung, selama itulah hati ini tidak pernah tenteram. Kadangkala terasa semacam suatu tekanan jiwa. Ani resah dan gelisah, debaran jantung semakin bedegup, kepala terasa bengal dan ketika itulah penyakit Ani menyerang – tak mengira waktu dan tak memilih tempat – Ani rebah tidak sedarkan diri. Lalu kebelakangan ini ada orang menggelarnya – Sharifah Aini penyanyi pengsan-pengsan! Sememangnya keadaan Sharifah Aini yang selalu sahaja pengsan sudah tidak menjadi rahsia umum lagi. Selalunya dia rebah secara mendadak, tak siapa dapat menahannya – tak siapa dapat mencegahnya. Dalam tahun 1975 ini sudah ini sudah tiga kali Sharifah Aini keluar masuk hospital. Pertama kali dimasukkan ke Universiti Hospital Kuala Lumpur, dia terlantar setengah bulan. Kali kedua berangkat ke General Hospital pula, sebulan lebih terlantar di situ dan baru-baru ini dalam bulan Ramadan, Ani dimasukkan ke Hospital Besar 13 hari lamanya. Dia sendiri tidak tahu apakah jenis penyakit yang dihadapinya selama ini,. Yang dia tahu, penyakit ini akan menyerang bila hatinya gelisah, bila jiwanya tidak tenteram tapi apalah daya biasanya sasaran-sasaran fitnah yang memnbuat fikirannya runsing. Apalagi kebelakangan ini telinganya terdengar orang mengatakan "Sharifah Aini gila!" ... "Sharifah Aini dah tak siuman!" ... "Sharifah Aini penagih madat!" ... "Sharifah Aini sakit jiwa" dan macam-macam lagi anggapan yang bukan-bukan. "Orang sentiasa mencari kesilapan diri Ani ... ke mana saja Ani pergi orang sentiasa menjaga tepi kain Ani ... kadangkala hati Ani merajuk sendiri, tapi orang tidak tahu perasaan Ani!" keluhnya dengan amat kesal. Dan kebelakangan ini Ani sedar banyak orang menegur tentang pakaian Ani pula! Kenapa? Salahkah Ani berpakaian mengikut kesukaan Ani sendiri? Ani kan masih muda ... sementara ada duit dan mampu memberi pakaian yang mahal! ... Ani berpakaian mengikut perkembangan fesyen dan kena pula dengan tempatnya, salahkah? Lagipun bukan pakaian yang boleh menggubahkan diri dan sikap seseorang. Orang lain lebih hebat lagi pakaiannya, penyanyi lainpun dedah sana dedah sini ... bintang-bintang filem lainpun terselak sana terselak sini, tapi mengapa tidak perkatakan? Mengapa Ani saja yang menjadi sasaran?" tanyanya marah-marah.
"Oh barangkali juga orang memikirkan Ani mempunyai didikan agama, bersekolah Arab, pandai mengaji Quran ... kononnya, Sharifah Aini sekarang dah rosak, tak macam Sharifah Aini dulu kononnya! Tapi mengapa dinilai dari zahirnya sahaja ..." Dari kata-katanya nyatalah hati Sharifah Aini benar-benar telah merajuk – merajuk kerana masyarakat sedikitpun tidak menghargai jasa-jasanya di bidang seni suara. Dengan tidak secara langsung profesionnya telah banyak mengorbankan personal lifenya. Sebagai penyanyi muda yang baru 22 tahun ... sebagai penghibur, hatinya sendiri tidak pernah terhibur malah soal-soal peribadinya selalu diperkatakan hingga ada tuduhan kononnya Sharifah Aini sambil menyanyi sambil mencari 'duit luar'. Orang menyangka tiap malam dia keluar bertukar-tukar lelaki semata-mata untuk mencari wang. "Ani tidak semurah yang disangkakan", bentaknya dengan suara meninggi. "Memang ada seorang dua penyanyi yang semurah itu, tapi jangan libatkan orang lain. Walaupun Ani punya ramai teman lelaki, kalau nak dikira sejak sekolah dulu hingga sekarang sudah berlambak-lambak boyfriends Ani, lebih dari 30 orang, tapi Ani tidak pernah dikecewakan dan tidak pula bererti semua lelaki yang rapat dengan Ani, dia menjadi sepecial boyfriend!" Ani takkan memeluk sembarangan lelaki melainkan orang yang bertahta di hati Ani ... dialah yang Ani peluk, percayalah!" Selama ini pun macam-macam ragam lelaki yang sudah ditemuinya ... ada lelaki yang ingin mengongkong, lelaki yang cintakan wang ringgit, ada lelaki yang ingin menguasainya ... yang betul-betul menyintai dirinya agak sukar ditemui. Seperti juga gadis-gadis lain, Sharifah Aini yang dilahirkan di bawah zodiak Cancer inginkan sebuah rumahtangga di bawah lindungan suami yang ideal. Dia tidak semestinya kaya tapi biarlah berpelajaran – wang setinggi gunung lama-kelamaan akan habis juga tapi pelajaran boleh menjadi bekalan hidup. Sharifah Aini tidak mahu pemuda kacak menjadi suamianya, dia bimbang nanti kalau-kalau suaminya itu di luar rumah akan menjadi suami wanita lain pula. Menjelang tahun baru ini dia ingin mententeramkan hatinya, kalau ada jodoh dia ingin kahwin cepat, biar semua gosip dan segala fitnah akan hapus sama sekali. Dan bila telah berumahtangga nanti dia tidak mahu menjadi penyanyi lagi. "Ani kahwin kerana ingin mengecap kebahagian berumahtangga. Ani tak mau lagi menghadapi macam-macam problem. Kalau Ani terus menyanyi sampai bila pun problem takkan berakhir, percayalah!" Dari kata-katanya semacam dia sudah punya 'buah hati', hai ada apa-apa ke? Tapi puas dicungkil, puas dirisik, Sharifah Aini masih terus menyatakan sampai sekarang pun dia masih belum ada steady boyfriend lagi. Entahahlah! manalah tahu kalau-kalau dia sengaja merahsiakan nama jejaka yang berjaya bertahta di hatinya. |