sharifah aini isi tabung kebajikan

'Sejenak Bersama Huzz' dikendalikan Huzz  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 9 April 2000)

 

 

Terima kasihlah pada penyanyi bersuara lemak merdu Kak Pah (Sharifah Aini) sebab Huzz tengok Kak Pah turun padang memberi perhatian kepada pihak-pihak yang menganjurkan show amal.  Terbaru Kak Pah dah bersetuju nak menyanyi di Hotel Empress Sepang pada 7 Mei depan.  Bukan saja menyanyi sempena Hari Ibu tapi Kak Pah juga turut menggalakkan kutipan tabung untuk anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan.

Tabung yang dah dilancarkan itu juga akan mengutamakan bantuan untuk bayi berusia 10 bulan, Nurul Afiqah yang memerlukan bantuan segera untuk pembedahannya.  Setakat ini tabung Nurul Afiqah oleh Bank Simpanan Nasional telah mendapat kutipan lebih RM50,000 hasil publisti ruang ini dan akhbar Utusan Malaysia awal Mac lalu.  "Kita bersetuju untuk memberikan sumbangan pada Afiqah melalui kutipan tiket persembahan Sharifah dan juga tabung bergerak pada hari itu.  Kutipan itu juga akan diagihkan kepada golongan lain yang memerlukan," begitulah kata Rozi Hamzah, Penolong Pengurus Pemasaran Hotel Empress.  Untuk bertanya tiket dan keterangan lanjut mengenai show Kak Pah, sila hubungi 03-8467777 sambungan 8371 dan 8270.

Sharifah Aini mengakui: "Saya rasa tidak salah untuk menghibur sambil berbakti kerana saya hargai anak-anak yang memerlukan bantuan kita.  Anak-anak yatim Asrama Damai merupakan tetamu saya hari itu.  Terima kasih kerana Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman (Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat) akan hadir.  Lagu yang saya nak nyanyikan hari itu banyak yang berkisar untuk kaum ibu di samping lagu daripada album Melayu dan Inggeris saya," akuinya. 

Hmm ... yang penting Huzz dengar Kak Pah bukan saja sesak dengan tawaran menyanyi di negara sendiri (jangan lupa 28 dan 29 April konsertnya di DBKL) tapi Sharifah Aini telah mendapat undangan menyanyi di Amerika Syarikat you!  Dia akan berangkat menghiburkan peminat di beberapa tempat termasuk di universiti di sana.  Class gitu ... tunggulah sidang akhbarnya nanti.

Minggu lalu Kak Pah juga muncul di Hotel Dynasty kerana merasmikan Minggu Perkahwinan.  Pada tahun ini hotel itu memberi pakej murah untuk mana-mana pengantin yang nak meraikan majlis perkahwinan mereka di sana.  Amboi ramai peminat bukan Melayu yang minat dengan Kak Pah rupanya bila muncul di majlis berbilang kaum.