ISI HATI Sharifah Aini

'Sejenak Bersama Huzz' dikendalikan Huzz  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 7 Julai 2002)

 

 

'Saya Mahu Aliff Jadi Ulama Sederhana'

"Biduanita Negara yang bersuara lunak merdu dan menjadi kesayangan ramai peminat seni suara sejak 35 tahun lalu, Sharifah Aini baru saja pulang ke tanahair setelah berada di tanah suci Mekah pada bulan lalu untuk mengerjakan umrah.  Ramai peminat Kak Pah bertanyakan Huzz, apa khabar anak teruna Kak Pah yang dah masuk tahun kedua mengikuti pengajian tahfiz di Kelantan tu?  Malah memeranjatkan ada beberapa pelajar Universiti Islam Madinah mengesahkan Aliff akan belajar di sana pada Ogos depan!

Bila bertemu Kak Pah pada tarikh hari lahirnya 2 Julai lalu, Huzz pun duduk berbual dengannya.  Bila diajak bercakap tentang Aliff, air matanya bergenang.  Dia mulai sensitif bila menyebut nama anaknya itu.  Rupa-rupanya setelah masuk tahun kedua mendalami pengajian tahfiz di Kelantan, sekembalinya Kak Pah dari Mekah baru-baru ini dia dikejutkan oleh Aliff yang memberitahu surat permohonan melanjutkan pelajaran ke Madinah sudah diterima.  Memang sah ... Aliff akan melanjutkan pengajian selama tujuh tahun di Universiti Islam Madinah mulai Ogos ini.  Dia akan belajar bidang pengajian Islam dan undang-undang.

Aliff ialah anak Kak Pah dengan bekas suaminya, Aly @ Ali Bakar.  Tidak hairanlah Aliff mahu ke arah agama, apa kurang Kak Pah, sejak kecil dapat didikan agama.  Kata sepupunya Man, Kak Pah berkali-kali pernah jadi johan qariah di Johor sejak usianya masih kecil.  Kak Pah di malam itu banyak bercerita tentang hidupnya di masa lalu dan mula membayangkan hidupnya pada masa akan datang.  Jadi, Huzz meminta Kak Pah menulis sendiri banyak cerita yang ingin disampaikan dari dalam jiwa dan lubuk hatinya.  Katanya, pernah ada cerita tidak benar tentangnya dikisahkan orang termasuk dalam akhbar.  Jenuh memujuk ... akhirnya Kak Pah sudi melakarkan kisahnya.  Jom kita baca.

Walaupun ketika ini dia sedang sibuk berada di studio rakaman untuk menghabiskan albumnya yang ke 75 yang akan diterbitkan pada akhir Ogos depan, dia tidak menghampakan permintaan itu.  Cerita Sharifah Aini: "Saya juga seperti jutaan ibu lain di dunia ini yang mahu sesuatu yang terbaik untuk anak-anak saya.  Baik kejayaan yang terbaik di dunia dan tentulah lebih-lebih lagi di akhirat.  Aliff dilahirkan pada 15 April 1982 pada hari Khamis (malam Jumaat) pukul 8.30 malam.  Sesuatu yang menyejukkan hati saya ialah dia lahir pada waktu azan Isyak sedang berkumandang dari Masjid Kampung Baru.  Saat itu saya terus mengangkat tangan berdoa agar jadikanlah anak saya ini anak yang beriman dan anak yang soleh.

Saya melahirkan Aliff di Klinik Sambi, Kuala Lumpur.  Syukurlah kesakitan bersalin tidak langsung dirasakan kerana saya terlalu gembira berjaya melahirkan seorang bayi lelaki pada waktu itu.  Saya sudah mempunyai nama untuknya iaitu Aliff Omar bin Ali.  Aliff tidak menangis ketika dilahirkan sebaliknya dia mengejutkan saya.  Dia bersin sebanyak dua kali .. sebelum mendengar suara tangisannya.  Ayahnya mengazankan ke telinga sebaik saja menyambut kelahirannya.  Tetapi saya di sepanjang malam itu saya banyak menangis dan memikirkan apakah nasib Aliff selepas itu.  Maklum satu dunia hiburan waktu itu tahu kisah rumahtangga saya yang tidak bahagia.  Alhamdulillah, allahyarham abah saya ketika itu datang dan ramai sahabat rapat yang tidak putus-putus menziarahi saya.  Aliff bayi yang mudah buat saya kerana tidak banyak ragam ... seolah-olah dia faham ketika itu ibunya sedang berperang dengan masalah peribadi.

Rumahtangga dan perkahwinan saya dan Ali kala itu sedang menuju kehancuran.  Semua itu gara-gara fitnah dan campurtangan orang tertentu yang memang tidak menerima kehadiran saya menjadi isteri Ali.  Betul, sejak mula kami berkenalan sehinggalah kami bernikah ... kehadiran saya seperti tidak kena pada pihak tertentu itu.  Pada mereka saya insan artis dan penyanyi, saya hina dan tidak akan menjadi isteri dan suri rumahtangga yang baik.  Saya terlalu sayangkan Ali, tetapi saya tidak sanggup lagi untuk hidup bersamanya ... saya pun ada maruah, saya tidak boleh berpura-pura seperti tiada apa-apa yang berlaku.  Saya begitu berjauh hati, terlalu banyak airmata mengalir, saya benar-benar rasa teraniaya dan terlalu hina.  Itulah puncanya kenapa saya beralah dan menarik diri untuk menyelamatkan keadaan supaya situasi saya dan Ali tidak menjadi lebih parah.

Alhamudlillah ... saya serahkan kepada Allah ya Karim untuk urusan pembalasan ... istana yang saya bina berbekalkan cinta, kasih sayang dan seribu impian yang indah buat kami bertiga hancur ketika saya mula hamil dan saya menjalani hari-hari sedih ketika mengandungkan Aliff, kerana mereka terlalu banyak membakar perasaan Ali membuat dia sentiasa mencurigai kejujuran saya sebagai isteri ... sehingga kasih menjadi benci.  Saya tetapi mengingati Ali sehingga ke hari ini ... kerana apa yang berlaku antara kami bukan salah Ali atau dengan sengaja Ali menganiaya hidup saya.  Ali tersepit dalam satu keadaan yang pada saya seolah-olah dia macam kena pukau.  Saya tak menafikan semuanya kerana ada manusia lain yang mengaku dirinya alim, tetapi sampai hati meruntuhkan masjid yang baru kami bina dan menjadi api yang menyala dengan maraknya dalam perkahwinan kami.

Akhirnya kami berpisah semasa Aliff berusia 5 bulan.  Saya berjanji pada Allah Rabbul Jalil:  Akan aku jaga anak ini dengan sebaik mungkin, ya Allah permudahkanlah urusan aku sebagai ibu untuk membesarkan Aliff dengan kasih sayang untuk menjadikannya anak yang beriman dan takutkan hukum Allah, jadikanlah Aliff anak yang soleh.  Tidak saya nafikan sejak itu memang saya banyak bermunajat kepada Allah.  Tetapi jodoh saya begitu cepat untuk kali kedua, habis sahaja edah saya tiga bulan sepuluh hari, beberapa bulan selepas itu saya bertemu Datuk S.  Dia membuat saya berasa selamat dan bagaikan pohon besar untuk saya berlindung hidup bersama Aliff.

Saya bernikah untuk kali kedua jauh di luar negara dengan orang yang baru saya temui dan jauh kebih tua daripada saya ... kami berdua membesarkan Aliff dalam keharmonian rumahtangga.  Saya adalah isteri kedua dalam kehidupan beliau ... Datuk S seorang yang sangat baik dan sangat bertimbang rasa, sangat pemurah hati.  Dialah suami, kekasih, sahabat, guru, kadang-kadang bagaikan seorang bapa yang selalu mengeur dan menasihati saya ... lembut dan kuat berjenaka.

Kami berpisah setelah 16 tahun bersama atas sebab tertentu ... namun anak saya – Aliff sangat menyayanginya.  Benar, sehingga hari ini kami tetap rapat seperti kawan baik.  Apatah lagi ketika bersama Datuk, saya mengambil dua anak angkat perempuan.  Saya membela kedua-duanya sejak mereka dilahirkan.  Saya asuh macam anak sendiri.  Kini mereka sudah menjadi anak dara antara usia 14-16 tahun.  Tujuannya, saya mahu Aliff gembira mempunyai adik-adik dan tahu apa erti kekeluargaan dan 'sharing'!  Datuk S pula seorang insan pengasih yang bertanggungjawab.  Semoga Allah saja yang membalas kesemua kebaikan budi beliau ... saya tidak pernah putus-putus mendoakan kesejahteraan buat bekas suami saya iaitu Datuk.  Tidak lupa juga Ali.  Benar tidak sekuman pun saya berdendam hati dengan Ali ... apalagi dia adalah bapa kepada anak saya.

Kembali bercakap tentang Datuk S tidak keterlaluan jika saya katakan Datuk lelaki yang terbaik pernah saya temui ... saya tetap menyayangi beliau, dia ikhlas, dan terus menjaga kami sekeluarga, berdosa saya kepada Allah jika saya menidakkan kebaikan beliau, sekalipun kami tidak bersama lagi.  Datuk membuat saya berasa begitu selamat dan dilindungi, dia benar-benar menghargai saya sebagai bekas isterinya ... dialah tempat saya mengadu dan meminta nasihat.

Masa berlalu begitu cepat, ketika sampai sahaja saya di rumah penghujung minggu lalu sekembali dari Mekah, Aliff seperti biasa mencium tangan dan pipi saya. Tetapi apabila Aliff menunjukkan surat kepada saya yang dia telah pun diterima untuk mendaftar di Islamic University of Al Madinah Al Munawarah ... saya bagai tak dapat menerima kenyataan kami akan berpisah.  Sedangkan waktu menghantarnya belajar tahfiz di Kelantan tahun lalu, saya menangis tak henti-henti sebelum berpisah jauh.  Apatah lagi sekarang ... saya akan berpisah selama tujuh tahun dengannya.

Namun puas mana pun menangis ... saya reda, kerana jauh di sudut hati saya gembira.  Dari kecil lagi saya memang melihat Aliff senang diajar dan melihatkan minatnya dalam bab agama.  Dia anak baik budi pekerti dan kaya dengan sifat penyayang.  Saya terlalu banyak bermunajat kepada Allah subhanahu wataala untuk anak-anak saya dan diri saya.  Saya pernah memberitahu Aliff dan adik-adiknya walaupun mami (itu bahasa saya pada anak-anak) seorang penyanyi ...  itu urusan dunia untuk hidup dan rezeki serta mata pencarian mami di situ.  Rezeki halal yang akan membesarkan kesemua anak mami dan menjadi manusia yang baik dan beriman.  Mami tidak mahu setitik rezeki haram masuk ke dalam perut mami, tidak reda dan zalimlah mami memberikan rezeki yang haram ke dalam tubuh kamu semua untuk menjadi darah daging.

Saya banyak menasihati Aliff, jangan sekali-kali memandang rendah terhadap insan artis, kerana Insya'Allah setelah tamat belajar Aliff ingin menjadi al-Hafiz dan mahu menjadi ulama serta pendakwah.  Kalau begitu jadilah ulama serta pendakwah yang lembut bukan seperti segelintir ulama sekarang yang sanggup menghukum orang lain, memandang rendah kepada golongan tertentu sehingga menyakitkan hati mereka.  Saya mahu Aliff menjadi pendakwah yang baik, berbudi bahasa dan merendah diri."

Artis Disindir Dalam Masjid

Sharifah Aini meluahkan lagi perasaannya: "Selama ini entah beratus kali nama saya dan beberapa artis lain diseret ke dalam masjid dengan sindirian tajam yang memalukan.  Tetapi tak mengapa, saya bersyukur kepada Allah, saya berasa kasihan dengan orang-orang yang begini.  Orang memandang kami hanya dari luar ... dan terlalu mudah sekali mereka menghukum.  Ya saya artis, penyanyi ... tetapi amalan saya kepada Allah adalah urusan peribadi yang tak perlu saya canangkan untuk dilihat dunia.  Siapa tidak rindukan tempat yang terbaik di akhirat kelak ... siapa tidak mengidamkan syurga Firdaus!

"Selama ini tidak pernah ada orang yang mengaku dirinya orang alim dan ulama itu yang suka menyindir datang bertanya khabar sama ada saya dan anak-anak saya makan ke, sihat ke, sekolah ke anak-anak saya dan kata 'tak payahlah Sharifah menyanyi lagi.  Saya akan sara hidup awak hingga akhir hayat.'  Saya tidak pernah membawa mangkuk meminta makanan atau duit ringgit menyusahkan ulama yang berkhutbah ini ... demi Allah saya tidak sekali-kali bongkak, tetapi selama ini saya berdiam diri, ampunkanlah saya jika bunyinya umpama saya menyindir ulama berkenaan.  Namun ingin saya katakan tidak semua ulama yang menyakitkan hati orang lain.  Allah yang memberi saya suara ini.  Dengan izin Allah juga saya mendapat rezeki hanya melalui suara dan menanamkan rezeki ini dalam perut anak-anak saya.

"Janganlah semudah itu ada orang mengaku dialah alim, dialah ustaz tetapi begitu awal menghukum saya.  (Kerana yang paling saya takuti sekali jika Allah tidak sudi dan tidak mahu melihat saya, itulah perkara yang paling saya takuti ... nauzubillahi min zalik).  Allah bencikan orang-orang yang mengatakan dirinya ialah orang alim kemudian berlaku riak dan memikirkan dirinya bagaikan Tuhan bila sanggup menghukum dan mengeji serta memperkecil-kecilkan orang lain ... kerana Allah tidak pernah zalim kepada hamba-hambaNya.

"Pemergian Aliff ke Madinah tidak membimbangkan saya kerana saya yakin dia boleh mendalami ilmu agama dengan baik.  Dengan perginya Aliff ke sana Ogos depan, akan berlakulah perubahan dalam hidup saya.  Mungkin saya akan lebih kerap ke sana.  Di Madinah pun saya mempunyai lapan orang anak angkat lelaki yang sekarang menetap di Mekah.  Mereka bakal menjadi ustaz dan al-hafiz.  Bayangkan, saya seorang penyanyi, namun mereka sudi beribukan saya untuk menerima rezeki pencarian saya dengan membantu mereka dalam mengejar cita-cita ... Alhamdulillah!  Saya ibu yang gembira dan bahagia.  Saya sungguh beruntung mempunyai ramai anak yang mengelilingi saya dengan kasih sayang dan doa mereka.  Kebanyakan mereka ini adalah anak-anak yatim piatu.

Setiap kali ke sana, saya dikelilingi oleh anak-anak angkat saya, kami saling menyayangi, menumpang kasih, dengan penuh hormat anak-anak angkat melayan saya.  Mereka begitu gembira setiap kali saya datang, kami melakukan umrah bersama, makan bersama ... anak-anak saya inilah sebenarnya harta saya.  Semoga Allah sahaja yang melimpah-ruahkan rezeki saya, semoga dapat saya manfaatkan pencarian sebanyak yang boleh ke jalan Allah ... semoga banyak lagi kebajikan yang boleh saya lakukan di masa yang akan datang.  Saya tidak langsung kaya wang ringgit, tetapi saya kaya dengan hati dan perasaan.

Kepada semua peminat saya di mana sahaja anda berada, doakanlah kesemua anak saya, selamatkan mereka di dunia dan mahupun di akhirat.  Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peminat saya yang lama dan yang baru yang selama ini tidak jemu berada di belakang saya ... semoga Allah sahaja yang akan membalas budi baik anda."

Kak Pah Bersara Menyanyi Tiga Tahun Lagi

Kak Pah juga memperkatakan tentang karier nyanyiannya.  Katanya: "Saya meminta izin kepada Aliff untuk menyanyi dalam dua tahun setengah lagi.  Lagipun banyak urusan yang belum saya selesaikan lagi.  Insya-Allah selepas semuanya selesai, saya mahu berlalu dari sini.  Saya mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada dunia saya di rumah, bersama anak-anak saya, melihat dunia dan mungkin juga saya akan membawa anak-anak saya menetap di Jeddah.

"Aliff memang terlalu meminati aliran agama sejak kecil lagi dan ini memudahkan lagi urusan saya untuk memberi Aliff semua galakan dan tidak terhitung banyaknya saya membuat sujud syukur di depan pintu bilik Aliff setiap kali saya mendengar dia mengaji tengah malam, dan sembahyang tengah malam.  Memang dah tabiat saya akan menjenguk semua bilik anak-anak pada waktu tengah malam.  Tidak sekadar mencium mereka tapi juga memberitahu mereka betapa saya terlalu menyayangi mereka.  Saya bersyukur kepada Allah kerana kehadiran mereka dalam hidup saya.  Aliff sudah memberitahu saya, beliau akan mengerjakan haji pada tahun 2003.  Gembiranya hati saya bukan kepalang bila Aliff menyuarakan hasratnya mengerjakan rukun Islam yang kelima.  Insya-Allah saya akan mengikutinya pada tahun yang akan datang.

"Saya bukanlah ibu yang paling sempurna (perfect mother) tapi saya sentiasa cuba untuk menjadi ibu yang baik tempat mereka berlindung dan memberi kasih sayang yang melimpah-limpah dan membuat mereka rasa begitu selamat.  Memberi mereka ilmu dunia dan akhirat adalah kewajipan saya sebagai ibu.  Apa yang sangat menggembirakan hati saya ialah anak-anak perempuan saya dengan ikhlas hati mahu mengikut jejak Aliff ... mereka menyatakan hasrat untuk ingin menyambung pelajaran dalam bidang agama.  Bagaikan mimpi rasannya saya!  Hujung tahun ini saya akan sibuk menghantar mereka ke sekolah agama penuh.

"Saya memohon jutaan ampun dan maaf, kadang-kadang bila kita ikhlas dalam memberitahu sesuatu, kita akan menyinggung perasaan orang lain.  Dua puluh tahun saya menyimpan perasaan sedih dan benar-benar berasa teraniaya.  Hari ini hati saya lega sedikit ... terlalu banyak lagi yang tidak saya beritahu, kerana ini akan memalukan orang-orang tertentu.  Saya akan simpan dan bawa bersama saya ke liang lahad.  Saya bukan seorang yang zalim, tapi saya serahkan bulat-bulat kepada Allah Yang Maha Besar dan Maha Berkuasa.  Saya sangat takutkan balasan dan penyeksaan Allah dan saya terlalu cintakan Allah."

Demikianlah luahan rasa dan pengakuan Sharifah Aini!  Semoga peminat-peminat Sharifah Aini dan mereka yang membenci dan pernah mengeji dapat memahami apa sebenarnya isi hati Sharifah Aini pada saat begini.