PERUBAHAN ZAMAN DAN WAKTU TIDAK MENGGUGAT SHARIFAH AINI

oleh Emma  (Media Hiburan: 12–18 Oktober 1996)

Walaupun pembabitannya dalam bidang seni suara melebihi suku abad, namun namanya tetap harum sehingga hari ini.  Nama Sharifah Aini bukan saja dikenali di kalangan peminat-peminat yang mengenalinya sejak 31 tahun lalu, malahan generasi muda juga merupakan sebahagian daripada peminatnya.  Itulah kelebihan Sharifah Aini.  Biarpun ada yang kata, Sharifah Aini tak boleh nyanyi.  Lucu juga, penyanyi macamana lagi agaknya yang boleh dikatakan penyanyi.

"Kak Pah bersyukur kepada Tuhan kerana mengurniakan Kak Pah kelebihan suara jika dibandingkan dengan orang lain.  Dengan kelebihan itu jugalah Kak Pah mampu berkecimpung dalam bidang ini.  Bukan itu saja malah Kak Pah boleh membawakan lagu dari pelbagai rentak.  Ketahanan saya juga banyak dibantu oleh penggemar saya.  Sebab itulah jika ada kesempatan teringin sangat nak bertemu muka dengan peminat-peminat di seluruh pelosok desa dan di mana saja yang mengenali Kak Pah.  Kalau boleh Kak Pah nak buat show besar yang mampu ditonton oleh semua orang.  Sekurang-kurangnya dua jam setengah."  Ujarnya sepanjang bersamanya selama dua hari di Kuantan.  Dan sebelum itu kami bertemu di pejabat MH.

Sharifah Aini, mahu suaranya didengar oleh semua golongan.  Tak kira pangkat dan kedudukan kerana dia tahu, dia mempunyai pengikut tersendiri dari setiap golongan.  Justeru itu jugalah Sharifah Aini tidak rasa janggal untuk menyanyikan semula lagu-lagu dendangan penyanyi baru seperti kumpulan Slam dan UK's.  "Tak salah kalau kita mendendangkan semula lagu-lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi lain.  Sekarang inipun ramai penyanyi yang mendendangkan semula lagu-lagu lama, tapi janji jangan sampai merosakkan lagu-lagu asal itu.  Kak Pah memilih lagu-lagu dendangan Slam dan UK's kerana lagu-lagu itu menarik."  Menurut Sharifah Aini, Slam dan UK's mempunyai peminat tersendiri dan mereka ramai dari kalangan muda.  Jadi lagu sama didendang dalam gayanya sendiri boleh memikat peminatnya yang mungkin tidak dari golongan yang sama dari dua kumpulan ini.  Secara tidak langsung dia mengembangkan mesej dalam lagu itu dan turut mempopularkan pencipta dan penyanyi asalnya.

Sharifah Aini, dikategorikan sebagai ratu suara tanahair yang setakat ini masih terus bertahan dan belum ada yang mampu menyainginya.  Memang ramai penyanyi hebat, cuma mereka masih belum membuktikan populariti mereka kekal begitu lama dan boleh menyesuaikan diri dengan era-era baru yang mendatang.  "Well, kak Pah kerja keras. Kak Pah juga pergi kelas untuk baiki cara komunikasi Kak Pah terutama dalam bahasa Inggeris dan cara pergaulan dan sebagainya kerana Kak Pah tahu tanpa ilmu tak mungkin kita boleh kekal dalam dunia baru dan bakat-bakat baru yang datang dengan pelbagai cara baru.  Biar zaman berubah tapi Kak Pah masih terus bertahan dan terus belajar dari kesilapan."

Sharifah kini sedang sibuk mengatur konsert secara besar-besarannya di Kuala Lumpur.  Impian Kak Pah mahu menyanyi di pentas yang dipenuhi dengan 100 orang ahli orkestra.  Perancangan ini sedang diatur dengan rapi dan kiranya terlaksana, Sharifah Aini akan menyanyi lebih dari 100 buah lagu untuk tiga malam berturut-turut.  Dia juga bakal muncul dengan konsert unpluggednya.  "Something yang dah lama Kak Pah idamkan.  Mungkin ada yang tanya kenapa sekarang dulu tidak?  Bukanlah usia dan waktu tidak pernah membataskan kita kiranya kita masih berkemampuan.  Jadi insyaallah, Kak Pah akan laksanakan dalam waktu terdekat ini."

TAK PERLU PENGURUS

Kebanyakan penyanyi-penyanyi muda sekarang ini gemar menggunakan pengurus untuk mengendalikan jadual kerja mereka.  Bagi Sharifah Aini, cukuplah sekali dulu dia menggunakan khidmat pengurus.  Sekarang ini dia lebih senang mengendalikan sendiri segala urusan baik yang berkaitan dengan pertunjukan pentas ataupun 'dinner show'.

"Cukuplah sekali saja Kak Pah ada pengurus.  Kalau ada pengurus ni macam-macam hal pula timbul.  Nak cari orang yang betul-betul jujur dalam menguruskan segala urusan memanglah payah.  Lagipun Kak Pah ni susah nak percaya seseorang kerana pengalaman banyak mengajar erti kehidupan.  Sebab itulah don't simply trust anybody."  "Kalau kita ada pengurus, tugasnya bukan saja mengatur jadual kerja.  Malahan dia juga harus memberi perlindungan kepada kita.  Ada ketikanya bila kita ada pengurus, orang lain takut untuk menghampiri kita dan tak kurang juga kerjaya kita musnah gara-gara pengurus.  Jadi sebab itulah Kak Pah lebih senang menguruskan sendiri ataupun dengan bantuan syarikat rekod."