DISKOGRAFI          VCD/MTV/Karaoke          PLAYLIST          ARKIB ARTIKEL          LIRIK LAGU

Arkib Artikel                 

SHARIFAH AINI CARI IBUBAPA ANGKATNYA BERBANGSA CINA

Luahan Rasa Sharifah Aini (Bahagian 1)  (Mangga, December 1999)

BISMILLAH ...

Wahai Tuhan Yang Maha Besar, Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pengampun ... hanya Kau-lah tempatku mengadu ... kerana Kau memahami ... Kau sajalah yang Maha Tahu salah benarnya hamba-hambaMu.  Bukan senang dilahirkan sebagai seorang insan seni.  Apatah lagi aku ini seorang perempuan.  Selama 30 tahun sudah berlalu ... aku mencari nafkah halal dalam dunia yang serba mencabar sebagai seorang penghibur.  Aku sujud kepada-Mu ya Alllah ya Karim di atas segala nikmat-Mu.  Dengan izin-Mu ya Allah, aku masih di sini menghibur dan menyanyi berlagu merdu.

Kalau tidak kerana-Mu ya Allah, di manakah aku di waktu ini?  Adakah aku seorang doktor, peguam, pensyarah universiti, pemandu teksi, pencuci lantai di bangunan, penjaga lif, pelayan di warung jalanan, penjaga tandas atau orang gaji di rumah orang kaya?   Wallahu 'alam.  Yang pasti ... begini rupanya suratan hidup dan perjalananku yang telah ditetapkan oleh Allah Rabbul Jalil.

Aku dilahirkan untuk menghibur.  Aku menjadi bintang terkenal.  Aku dilahirkan sebagai Sharifah Aini ... anak kecil yang penuh kudis buta diambil oleh Allahyarham datuk dan Allayarham nenekku dari dijaga oleh sebuah Cina dalam keadaan daif yang memilukan.  Aku teringin sekali berjumpa keluarga Cina itu pada hari ini tapi tidak ku ketahui di mana mereka sekarang?   Mahuku peluk erat dan mencium pipi ayah dan ibu angkatku yang berbangsa Cina itu sepuashati.  Mahu ku ucapkan terima kasih tak terhingga kerana mereka sudi mengambilku sebagai anak angkat pada saat ibubapaku berpisah semasa aku hanya baru beberapa hari dilahirkan.  Ibubapa kandungku membawa haluan masing-masing.  Tiada siapa di antara mereka mahu mengambil hak penjagaan ke atas diriku yang masih bayi ketika itu.  Kalaulah tidak kerana datuk dan nenekku mungkin sekarang aku hanya dikenali sebagai Sherry Eng atau Annie Eng dan bukan Sharifah Aini.

Misteri kehilanganku telah dijejaki oleh datuk dan nenekku.  Hampir berbulan-bulan lamanya mereka mencari.  Dengan izin Allah akhirnya dengan pertolongan orang, datuk dan nenekku dapat juga menjejaki anak kecil yang telah dibela oleh sebuah keluarga Cina.  Seterusnya datuk dan nenekku pula menyambung tugas membesarkan aku dengan penuh kasih sayang ... tidakku rasakan kemiskinan kerana aku berada dalam kasih sayang yang melimpah ruah.  Abah dan mak yang kukenali adalah datuk dan nenekku sendiri, Allayarham Syed Sahil dan Allayarham Tengku Mariam.

Kini ... Sharifah Aini yang mula menyanyi dari zaman kanak-kanak telah menjadi dewasa dalam dunai seni.  Aku menjadi wanita matang dalam dunia yang terlalu mencabar.  Aku kuat semangat, penyabar dan tidak kenal penat lelah.  Aku tidak takut untuk bangun setelah beratus kali tersungkur luka dan tersembam ke bumi kerana dunia seni.  Kalau aku pengecut, masa kan aku masih lagi di sini setelah 30 tahun.  Sekalipun aku dan ramai peminat yang membesar dengan lagu-lagu alunanku dan setia kepadaku tahu ... bahawa banyak perkara yang tidak adil berlaku ke atas diriku dalam dunia seni ini, namun kuteruskan juga perjuangan seniku.  Kerana aku yakin, diriku yang ibarat berlian di dalam lumpur ini ... suatu hari nanti akan bersinar dan tetap berkilau, insyaAllah.

Aku tidak minta sebarang penghargaan.  Aku tidak minta apa-apa dari sesiapaun.  Sekalipun esok atau lusa jika aku tiada lagi di dunia ini ... tak payahlah sibuk-sibuk mengingatiku lagi.  Aku hanya anak seni yang daif ... cuba mencari makan dalam negaranya sendiri membesarkan anak-anakku supaya menjadi manusia yang berguna di dunia dan akhirat serta warga yang berguna, insyaAllah anak-anak sahajalah hartaku.

BAHAGIAN 2: LUAHAN RASA SHARIFAH AINI