SAYA TAK SABAR TERIMA MENANTU DATUK SHARIFAH AINI

oleh Siti Mariam Elias  (MIDI, 1 Jun 2011)

SAYA BERHIJRAH BERKAT DOA ALIFF DATUK SHARIFAH AINI

Seminggu janji temu diatur, akhirnya Datuk Sharifah Aini bersetuju tampil sebagai penghias muka depan majalah MIDI.  Sebenarnya sudah lama MIDI memasang impian menyunting biduanita tersohor negara itu sebagai penghias muka depan, namun kesibukannya membuatkan baru kini keinginan kami itu dapat dipenuhi.  Kesudian Datuk Sharifah Aini meluangkan masa uintuk melakukan penggambaran penghias kulit majalah MIDI adalah satu penghargaan buat kami dan juga hadiah bagi pembaca MIDI yang juga merupakan peminat biduanita ini.

Datuk Sharifah Aini hadir ke studio Kumpulan Media Karangkraf dengan mengenakan jubah rona cerah bersama sehelai tudung hitam.  Ternyata wanita ini tetap kelihatan anggun walau hanya dengan penampilan ringkas.  Jurusolek Sam, telah 12 tahun diberikan kepercayaan merias wajah biduanita nombor satu ini.  Datuk Sharifah Aini juga mengakui yang beliau begitu berpuashati dan selesa dengan sentuhan Sam.  Pastinya kebanyakan pembaca MIDI membesar dengan alunan lunak suara pemilik nama sebenar, Sharifah Aini Syed Jaafar ini, sehingga beliau digelar biduanita.  Sehingga kini, hanya allahyarhamah Saloma dan beliau sahaja yang digelar biduanita berdasarkan kualiti dan kredibiliti mereka.

TAMPIL DENGAN GAYA BERTUDUNG

Penyanyi yang terkenal dengan kemerduan nyanyiannya kini lebih anggun dengan penampilan bertudung.  Kala ditanya perihal tersebut, Datuk Sharifah Aini yang lebih gemar membahasakan dirinya sebagai Kak Pah tersenyum.  "Dah bertudung dah Kak Pah sekarang ni ya.  Sebenarnya perasaan hendak bertudung itu sudah timbul lama.  Secara rasminya Kak Pah bertudung sebelum mengerjakan haji pada tahun lepas.  Walaupun Kak Pah bertudung sekarang, ingin Kak Pah tegaskan di sini bahawa Sharifah Aini yang sekarang tetap sama macam Sharifah Aini yang dulu.  Attitude Kak Pah masih tetap seperti dahulu.  Tidak berubah walaupun kini Kak Pah bertudung.  I am the same person," ujar biduanita kelahiran Johor Bahru ini.

Sharifah Aini juga tidak menolak apabila dikatakan bahawa penghijrahan ini ada kaitan dengan doa anak tunggalnya, Aliff Omar.  Aliff sudah lapan tahun belajar dan menetap di Madinah.  Menurut Sharifah Aini, Aliff tidak pernah memaksa dirinya mengenakan tudung.  "Bagi Kak Pah bertudung adalah subjektif.  Pakaian yang paling cantik bagi seorang wanita ialah iman dan takwa kepada Allah," ujar biduanita yang pernah memenangi tilawah al Quran beberapa kali pada usia mudanya dahulu.

Beliau menambah lagi, "Kak Pah sendiri sejak kebelakangan ini banyak condong kepada pemakaian menutup aurat.  Kak Pah bertanya kepada hati Kak Pah sendiri, bersediakan aku untuk mengenakan hijab?  Selepas hati ini menjawab 'ya' barulah Kak Pah reda memakai tudung secara rasmi.  Kak Pah minta dan berdoa kepada Allah supaya Kak Pah tidak membuka hijab ini.  Bagi Kak Pah, selagi belum bersedia, tidak usahlah mengenakan tudung."  Bertudung bukanlah bermakna Datuk Sharifah Aini tidak boleh berfesyen.  Beliau mengakui bahawa dia memang suka akan fesyen.  Penggunaan aksesori seperti anting-anting dianggap sebagai pelengkap untuk gayanya.  Biduanita ini menyatakan bahawa beliau suka akan warna terang dan fesyen Muslimah Pakistan.  Solekan pula daripada sentuhan yang sangat minimum dan sedikit gincu.  Beliau menggunakan krim pelembap untuk memastikan kulit wajah kekal sihat pada usia sekarang.

TAK SABAR TERIMA MENANTU

Dalam kehidupan sebagai ibu, tentunya kehadiran menantu dan cucu adalah pelengkapnya.  Walaupun tinggal berjauhan dengan anak tunggalnya Aliff, Datuk Sharifah Aini tetap akrab dengan Aliff.  Kala ditanya perasaannya berjauhan dengan Aliff, Datuk Sharifah Aini hanya mengatakan, "Hanya Allah yang tahu perasaan saya.  Bagaikan insan bercinta yang selalu dilamun rindu.  Aliff sekarang berusia 28 tahun.  Dia pergi Madinah ketika berusia 19 tahun.  Dia sangat gembira di Madinah.  Setakat ini dia belum berhasrat mendirikan rumahtangga.  Sebagai ibu, Kak Pah tak sabar menunggu kedatangan menantu dan cucu dalam hidup Kak Pah.  Kak Pah impikan menantu yang cantik, ceria, berpelajaran dan pandai memasak, mengurus rumahtangga dan pandai berhias diri.  Sebagai ibu, tentunya Kak Pah ingin yang terbaik untuk buah hati Kak Pah.  Sekaligus menantu akan menjadi anak Kak Pah," katanya.

Aliff belum ada ura-ura untuk berkahwin namun biduanita ini tidak sabar sekiranya nanti Aliff akan membawa khabar gembira tersebut.  "Kak Pah selalu berdoa dan tidak putus-putus mengimpikan supaya dapat menantu dengan ciri-ciri yang Kak Pah sebutkan tadi.  Kah Pah rasa ciri-ciri itu perlu kerana walaupun Kak Pah terlibat dalam dunia artis, Kak Pah amat mementingkan soal rumahtangga.  Kena suka hias rumah, memasak dan sebagainya," katanya lagi bercerita mengenai menantu impiannya."

Aliff ialah anak tunggal Datuk Sharifah Aini dan beliau lega serta berlapang dada mempunyai anak yang belajar ke arah agama iaitu bidang tahfiz.  Biduanita ini tidak dianugerahkan anak yang ramai.  Namun dia gembira kerana dikelilingi oleh anak angkat yang sangat ramai.  "Dengan mereka inilah Kak Pah menumpang kasih.  Kah Pah terhibur dengan adanya mereka.  Anak angkat Kak Pah berada di Jordan, Yaman, Riyadh, Madinah, Kemboja dan Indonesia.  Di sini pula Kak Pah ada tiga anak angkat perempuan  dan berkerja sebagai doktor.  Cantik orangnya," ujar wanita ini yang ceria kerana mempunyai ramai anak angkat untuk menumpang kasih serta mencurahkan kasih sayangnya sebagai ibu.

CURAH ILMU PADA PROTÉGÉ

Kini biduanita ini kerap kelihatan di kaca televisyen menerusi program Mentor.  Datuk Sharifah Aini telah dilamar sebagai mentor untuk rancangan Mentor pada November 2010.  Menurut beliau, pemilihan Shiha sebagai anak dididknya disebabkan gadis ini kelihatan begitu bersemangat dan mahukan tempat di dalam rancangan ini.  "Kak Pah memilih Shiha kerana dia kelihatan baik, berdisiplin, tahu hormat orang dan mudah diajak berbincang.  Shiha anak yatim yang telah kematian ayah tiga tahun lalu.  Dia memanggil Kak Pah 'Ummi'.  Harapan Kak Pah kepada Shiha ialah supaya dia tidak mudah putus asa dan teruskan perjuangan dalam industri ini.

Shiha atau nama penuhnya Nurshiha Mohd Zikir, 24 tahun, menambah "Mula-mula nampak Ummi, saya sangka beliau garang.  Namun kini baru saya tahu Ummi sangat baik dan bersifat keibuan.  Setiap hari sebelum tidur, Ummi akan telefon bertanyakan mengenai perkembangan Shiha.  Shiha akan ingat nasihat Ummi bahawa dalam nyanyian sebutan kena jelas.  Bukan sekadar dalam lagu Inggeris, malah lagu Melayu juga kita perlu sebut dengan betul," ujar Shiha yang amat meminati lagu 'Bunga Tanjung' nyanyian mentornya itu.  Shiha juga menjadikan Aizat sebagai contoh seorang pelajar program realiti televisyen.  "Walaupun tidak menang Aizat sangat bijak dalam mengembangkan bakatnya.  Selain menyanyi dia turut menulis lagu dan menjadi lebih baik daripada sebelumnya," kata Shiha yang berkerja sebagai penyanyi di sebuah restoran di ibu kota.

EKSTRA SHARIFAH AINI

Memulakan kerjaya nyanyian selepas menang Juara Bintang RTS di Singapura pada 1968 dengan membawa lagu 'Tiga Malam'  Album pertama bersama EMI ialah SERI DEWI MALAM

Beliau berjaya menarik lebih ramai peminat apabila berduet dengan Broery Marantika untuk lagu 'Seiring Dan Sejalan' pada tahun 1976.  Sehingga kini lagu itu tetap malar segar

Anugerah yang pernah diterima Datuk Sharifah Aini ialah Anugerah Penghibur Terbaik (Anugerah Seri Angkasa 1972-1977), Anugerah Penghibur Wanita Popular 1970-1976, 1979 (Persatuan Pencipta Lagu, Penyanyi Dan Penghibur Tanahair), Anugerah Aktres Terbaik (HAPUSLAH AIRMATAMU, Festival Filem Asia Pasifik 1977), Anugerah Seri Wirama (Anugerah Industri Muzik 2000), Anugerah Biduanita Sepanjang Zaman (Darjah Kebesaran Sultanah Kedah), Anugerah Emas ERA (Anugerah ERA 2002), Anugerah Khas Bintang Popular (Anugerah Bintang Puopular Berita Harian 2003)

Beliau menerima Pingat Panglima Jasa Negara yang membawa gelaran Datuk oleh Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Syed Sirajuddin POutra Jamalullail pada 2003.