DENDAM TERLERAI

'Katarsis Kualong' oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 22 Ogos 2010)

 

 

Enam tahun dianggap bersengketa, akhirnya kemelut dan syak wasangka berakhir jua.  Segala rindu, segala dendam pun terlerai apabila dua diva yang sama-sama membanggakan wanita Melayu dalam arena seni ini kembali bertaut pada petang Ramadan kelapan 2010.  Sekadar berkongsi cerita ini dengan pembaca.  April lalu ketika melawat keluarga arwah Achik Spin di Negeri Sembilan, Editor URTV, Huzz sudah suarakan untuk mempertemukan semula dua diva ini.

Saya dan beberapa teman media antaranya Shikin (Editor Mangga), Joha (Ketua Unit Hiburan UKSB), Niezam (Editor Hiburan MStar) ketika itu siap ‘mencabar’ Huzz supaya jangan cakap kosong.  "Jangan cakap saja tau, buatlah, mesti jadi rekod industri ni,” kata saya.  Kenapa saya katakan sebegitu?  Ini kerana ia open secret antara dua diva yang dianggap saling bermusuhan ini.  Meskipun pucuk pangkal api sengketa itu tidak tahu di mana bermula, orang melihat kedua-dua diva ini sebagai sedang bermusuhan, berlarutan begitu lama.

Lalu apabila Huzz beritahu dia mahu memulakan langkah ‘membaikkan’ kedua-duanya semula, pasti ada yang anggap sukar untuk berlaku.  Bukannya apa, rasa hormat membuatkan kami langsung tidak membuka mulut bercakap tentang Siti ketika berhadapan dengan Sharifah Aini.  Begitu juga bila bertemu Siti, pantang sekali bercakap tentang primadona bersuara emas itu, takut ada yang terguris.  Senang cerita, sendiri mahu ingatlah!

Bagaimanapun di sebalik itu, baik Sharifah mahupun Siti tidak pernah menganggap mereka bermusuh.  Cuma tidak berpeluang bersemuka, berbicara dek ada anasir luar yang mencucuk, mengadu-domba, kata mereka.  Enam tahun baik Sharifah mahupun Siti saling ‘memendam rasa’ saling mendengar khabar berita melalui pihak ketiga sahaja. 

URTV juga buat pertama kalinya mencatat kenyataan Sharifah dalam keluaran Mei 2010 dengan doa supaya Siti segera beroleh cahaya mata.  "Kak Pah doakan Siti dapat anak comel dan bahagia dengan suami,” demikian catatan Huzz dalam keluaran berkenaan.  Nah, itulah permulaan kepada segala jalan kebaikan itu.  Tidak melepaskan peluang keemasan, dalam wawancaranya, Huzz terus bertanyakan 'soalan maut’ kepada Sharifah "Sudikah kalau kita gandingkan dengan Siti Nurhaliza untuk cover URTV?”.

Faham akan kehendak media dan sementelah memikirkan segala yang tidak indah perlu diakhiri, Sharifah memberikan jawapan yang cukup jujur selain menjelaskan bahawa mereka tak pernah bergaduh pun.  Mendapat lampu hijau primadona itu, tanpa melengahkan masa, malam itu juga, di hadapan beberapa teman media, Huzz terus menyatakan hasrat sama kepada suami Siti Nurhaliza, Datuk K yang sememangnya cukup terkenal dengan sikap ramah-tamah itu.  Disokong oleh beberapa teman media lain, termasuk si kakak ipar Siti, Rozie, pertemuan penuh makna itu berlangsung jua.

Rabu lalu atas inisiatif rakan media, bertemulah dua jiwa yang saling kagum mengagumi itu tetapi telah terpisah angkara salah faham, salah sangka.  Malah suami Siti Nurhaliza sendiri, Datuk K sempat merakamkan tahniah kepada Huzz kerana atas inisiatifnya telah mengembalikan semula ikatan kasih sayang antara keduanya.  Bagi Sharifah juga, yang penting dia tidak mahu ada pihak terus menganggap bahawa dia memusuhi Siti, malah sepanjang hidupnya tidak pernah terdetik walau sekelumit perasaan benci kepada penyanyi yang dianggap sebagai anak itu.

Malah, dalam jiwa seronok untuk berbaik-baik, sedaya mungkin Sharifah berusaha melupakan segala peristiwa hitam yang mengaibkan di tahun 2004, melupakannya jauh-jauh, kembali menganyam kasih sayang dan hidup dengan penghormatan.  Saya berharap, semoga lebih banyak wartawan hiburan di negara ini akan menjunjung nilai-nilai murni, berkasih sayang dan kurangkan permusuhan seperti dipraktikkan kalangan wartawan hiburan generasi terdahulu seperti Mama Juwie, Kak Bam, Intan Zabidin dan lain-lain lagi.  Seperti kata orang lama, yang baik jadikan tauladan, yang buruk jadikan sempadan.  Jumpa lagi!