Nostalgia Suara Merdu Datuk Pah & Gemersik Suara Siti

'Kata Teman' dikendalikan Hanizam 'Kak Cham' Abdullah  (Berita Minggu: Bi-Pop, 5 Disember 2004)

 

 

Mati kutu teman.  Buat pertama kalinya teman bagaikan hilang kata-kata untuk menulis di ruangan ini.  Tak tahu apa sebenar yang mahu teman kongsi dengan pembaca budiman di pagi Ahad ini.  Sementelah pula badan masih lagi penat setelah mengikuti satu program latihan nilai dan peningkatan diri di sebuah resort di Morib, Selangor.  Sewajarnya, semangat teman kembali berkobar-kobar tetapi kemelut dunia hiburan tidak lagi menghibur dan menyenangkan.  Manakan rasa terhibur apabila begini akhirnya kisah dua penyanyi yang masing-masing mempunyai keistimewaan dan tarikannya yang tersendiri – Datuk Sharifah Aini dan Siti Nurhaliza.  Terngiang-ngiang suara merdu Datuk Pah ketika mendendangkan lagu Seri Dewi Malam dan terdengar-dengar gemersik suara Siti ketika mendendangkan lagu Jerat Percintaan.

Kebetulan pula kedua-duanya memang istimewa sehingga menambat sekian besar hati peminat seni hiburan tanah air.  Istimewa kerana masing-masing berjaya membuktikan bahawa 'tiada hinanya' hidup sebagai seorang artis dengan cara mereka yang tersendiri.  Mereka jugalah yang membuka mata kalangan yang sering mencebik bibir bahawa artis juga mampu hidup mewah jika gigih berusaha dan bijak merencana perjalanan kerjaya.  Masih teringat lagi ketika menggandingkan mereka berdua dalam majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003 yang berlangsung di Genting Highlands.  Terbayang-bayang kemesraan mereka di pentas yang ketika itu mendendangkan lagu Bunga-Bunga Cinta bersama seorang lagi penyanyi yang semakin popular, Misha Omar.

Biarlah gandingan itu tidak berapa menjadi kerana tiba-tiba Datuk Pah terlupa liriknya, tetapi melihat aksi seorang ikon dunia hiburan, seorang lagi penyanyi yang sudah berada di puncak dan seorang lagi sedang menuju puncak adalah sesuatu yang begitu membanggakan teman dan suku sakat.  Ketika itu tiada yang lain di fikiran teman selain mahu melihat artis senior dan artis junior yang sama-sama gah untuk berkongsi pentas.  Biarlah ada yang buruk sangka bahawa usaha itu ada udang di sebalik mi tetapi ketika itu nawaitu teman dan kaum kerabat di Berita Harian adalah ikhlas dan tiada sekelumit pun berniat songsang.  Dan tak sangka juga itu adalah gandingan pertama dan terakhir kedua-dua penyanyi sensasi itu dalam satu persembahan.  Mereka barangkali akan bertentang mata juga tetapi pentasnya memang tidak kena langsung kerana perkembangan terakhir dalam kes e-mel layang sudah pun menjadi kes mahkamah.

Tetapi teman berharap jangan ada yang mudah menghukum.  Kata orang, seseorang itu tidak bersalah melainkan setelah terbukti kesalahannya.  Teman tahu sejak timbulnya kontroversi e-mel layang itu dan kes Datuk Pah mendakwa diserang dua lelaki, macammacam cerita yang tak sedap didengar.  Macam-macam tuduhan sensasi dilemparkan terhadap Datuk Pah.  Malah, baru-baru ini juga ada seorang hamba Allah menghantar SMS kepada anak buah teman mempersoalkan siapakah yang memberikan gelaran Biduanita Negara kepada Datuk Pah.  Mahu bertanya tidak menjadi hal tetapi menggelar Datuk Pah sebagai 'recyled Mona Fandey' memanglah tak patut langsung.

Dalam pada ada yang mengutuk Datuk Pah, ada juga yang bersimpati dengannya.  Teman mendapat banyak panggilan dan e-mel yang meluahkan rasa hati mereka mengenai kemelut yang dihadapi kedua-dua artis itu.  Baik peminat Siti dan juga Datuk Pah, masing-masing berasa sedih dengan kontroversi yang melanda mereka dan mereka juga mendoakan agar tidak ada kalangan yang cuba menangguk di air keruh kerana mereka mendakwa keadaan menjadi bertambah rumit apabila ada pihak yang cuba mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain.

Dipaparkan di sini satu e-mel dari seorang pembaca bernama Misslyn yang antara lain berkata, “Baru-baru ini kita dikejutkan dengan dakwaan terhadap Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini atas tuduhan melayangkan e-mel fitnah mengenai penyanyi Siti Nurhaliza.  Berita ini macam tak masuk akal.  Takkanlah Kak Pah nak buat begitu...  Orang yang berpengalaman dalam bidang seni bukannya calang-calang orang yang boleh bertahan sampai ke tahap ini.  Tapi saya tidaklah menyebelahi mana-mana pihak.  Jika betul Kak Pah tak bersalah itu dah kira ok juga.  Tapi jika benar beliau terbabit, Ya Allah... tak taulah apa yang nak dikata.  Hanya Tuhan saja yang tahu isi hati kedua-dua orang seni ini.  Kak Pah saya sayang dan Siti pula saya hormat kerana masing-masing punya keistimewaan dan peminat tersendiri.  Saya harap peminat Siti tidak menyalahkan Kak Pah 100 peratus kerana berita yang mungkin ada betul dan tak betul.  Dan peminat Kak Pah juga sebaliknya ...  Jangan ada sikap dengki mendengki kerana kita semua insan Allah yang lemah.  Tak ada siapa pun yang boleh lari dari sikap PHD (Perasaan Hasad Dengki) apa lagi AIDS (Antara Iblis dan Syaitan) itu.  Dan kita pun tidak pasti sama ada Kak Pah sememangnya punya masalah sendiri.  Hanya dirinya saja yang tahu ...  So sebagai orang luar adalah tidak patut jika sesuatu perkara di luar jangkaan kita akan berlaku.  Apa-apa pun, saya percaya berita ini hanyalah bidaah semata-mata ...  Saya tengok Kak Pah pun selamba 'derk' je.  Sama-sama lah kita berdoa agar Kak Pah berada di pihak yang benar begitu juga dengan Siti.  Saya sayang insan seni tanah air tak kira lelaki dan perempuan kerana mereka adalah saudara sesama Islam kita.  Oleh itu, sama-samalah kita menunggu keputusannya akhir tahun ini."

Begitulah antara lain luahan hatinya.  Teman sentiasa berdoa kepada Tuhan agar kebenaran akan terserlah juga kerana tidak sedap benar rasanya apabila teman kini kembali sibuk dengan Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2004 yang akan muncul tidak lama lagi.  Memang sukar memberi fokus kepada sebuah majlis yang bertujuan untuk memartabatkan kalangan artis apabila kemelut yang melanda artis popular bagaikan tiada noktahnya.

Dalam pada itu, hati teman benar-benar tersentuh ketika menelefon Datuk Pah untuk bertanya khabar.  Dalam pada ketika kemelut dan dugaan yang melanda dirinya semakin hebat, penyanyi itu masih ada masa untuk memikirkan perasaan kawan-kawannya.  Katanya kepada teman, "Sorry ya Cham kalau selepas ini you sekali lagi terpaksa menerima sindiran kawan-kawan."  Langit memanglah tidak selalunya cerah, tetapi awan mendung pasti berarak jua.  Berat mata memandang, berat lagilah bahu yang memikul.  Apa yang berlaku barangkali ada hikmahnya kepada kita semua.  Cuma teman tertanya-tanya juga, dalam pada kita sibuk membela Siti Nurhaliza yang menjadi mangsa fitnah, bagaimana pula dengan penyebaran fitnah yang berleluasa terhadap Datuk Pah dan artis lain melalui forum atau chat di laman web.  Siapa nak jawab ni?