Nilai Persahabatan Versi Sharifah Aini

'Kata Teman' dikendalikan Hanizam 'Kak Cham' Abdullah  (Berita Minggu: Bi-Pop, 19 Julai 2004)

 

 

Khabarnya, diva evergreen tanah air, Datuk Sharifah Aini juga tidak terlepas virus Akademi Fantasia (AF).  Tetapi tidaklah sampai tak mahu melayan sebarang jemputan kerana terlalu asyik mahsyuk dengan program realiti itu seperti sesetengah kenalan teman.  Jika perlu memenuhi undangan yang kebetulan jatuh pada malam Konsert Hujung Minggu AF berlangsung, penyanyi bersuara lemak merdu itu akan memastikan tidak pula terlepas siaran ulangannya.  Ceritanya juga Datuk Pah gembira kerana program seperti itu jangan tak tahu program lain seperti Audition, Who Will Win? dan Malaysian Idol juga sudah ditontonnya mampu melahirkan pelapis dalam dunia hiburan.  Cuma tak sedapnya, kalau ada elemen undi kerana simpati dan bukannya kerana betul-betul berbakat.

Teman juga diberitahu Datuk Pah sudah mempunyai beberapa peserta favourite yang pada pengamatannya ada pesona bintang.  Beberapa nama terkeluar daripada mulutnya tetapi teman tidak berhasrat untuk berkongsi dengan pembaca budiman.  Maklumlah nanti lain pula ceritanya.  Maklumlah apabila seorang yang sudah mempunyai pengalaman lebih 36 tahun dalam dunia hiburan, apa saja yang dilontarkan bukanlah ibarat tin kosong.  Terdetik di hati teman tidakkah pihak Astro mahu mengambil diva itu sebagai salah seorang pengkritik di malam finalnya!

Sebenarnya, seronok apabila dapat bersembang dengan Datuk Pah.  Ajaklah berbual dengannya mengenai apa saja daripada dunia hiburan sehinggalah kepada peristiwa semasa, baik di dalam negara atau di peringkat antarabangsa ada saja yang diluahkannya.  Rupa-rupanya banyak idea Datuk Pah kita tu ...  Malangnya, sesi sembang-sembang itu dibataskan dengan jadual kerja teman yang bagaikan tak kering tangan.  Nasib baiklah Datuk Pah jenis yang memahami dan menghormati tugas teman.  Hakikatnya begitulah Datuk Pah seorang artis yang bukan saja cantik tetapi bijak, tidak besar diri dan sentiasa ada sifat menghargai.  Jadi, apabila ada saja peluang dan ruang untuk bertemunya, sukar bagi teman untuk menolak pelawaannya itu.  Begitulah juga apabila teman turut dijemput untuk memeriahkan majlis ulang tahunnya baru-baru ini di sebuah hotel bertaraf lima bintang.  Jangan tanya berapa umurnya kerana kata Datuk Pah, "Umur sekadar angka.  Apa yang penting adalah hati kita dan jalinan persahabatan yang tulus dan ikhlas."

Kembang menguntum juga hati teman kerana berpeluang untuk bertemu dan beramah mesra dengan lebih kurang 25 rakan rapatnya.  Bukan senang nak kumpul sekumpulan wanita yang pagi, petang, siang dan malamnya bukan setakat kerja dan kerjaya tetapi juga suami dan keluarga.  Setelah diamati tiada seorang pun yang memegang gelaran 'artis' dalam kumpulan itu.  Malam itu yang berlangsung dalam keadaan penuh mesra sambil menikmati sajian Barat begitu berbekas di hati teman kerana ternyata Datuk Pah dikelilingi rakan yang benar-benar menyayanginya di kiri kanan teman wanita bergelar Datuk, di hujung kiri meja seorang kerabat diraja, di hujung sana wanita korporat dan ahli perniagaan.  Pendek kata, yang bergelar wartawan cuma teman dan ibu Joe Too Phat, Aishah Ali.

Rusni Ahmad, yang sudah 27 tahun menetap di New York, Amerika Syarikat sanggup terbang balik ke Malaysia semata-mata untuk meraikan Sharifah Aini yang sudah dikenalinya sejak tahun 1976 lagi.  "I kenal Sharifah ketika zaman kegemilangannya.  Jumpa pun ketika open house rumah kawan.  Apabila kami diperkenalkan, macam ada chemistry pula.  Entah macam mana, I rasa seperti sudah lama mengenalinya.  Sejak itu kami jadi rapat.  Apabila balik New York, kami saling berhubungan.  Ketika itu melalui telefon saja.  Tetapi kini lebih mudah... dah ada e-mel dan SMS.  Barangkali, sikapnya yang mudah mesra yang membuatkan I terpikat.  Kalau diikutkan siapalah I ni berbanding dia yang seolah-olah memiliki segala-galanya.  She's a diva okay.... I bagi tahu Sharifah, I've nothing to offer kecuali persahabatan.  Maksudnya, hubungan kami memang ikhlas dan tiada ulterior motive," katanya yang turut dipersetujui Nuzirah yang bekerja di Citibank.

"She's a warm person, bijak dan tahu apa yang diperkatakannya.  Walaupun tidak bersekolah tinggi tetapi Datuk Pah full of knowledge kerana dia memang banyak membaca.  Terkejut saya, apabila pertama kali bertemunya kerana soal bisnes, Datuk Pah bercakap mengalahkan seorang CEO.  "Sepanjang mengenalinya tak pernah dia bercerita buruk mengenai orang lain.  Dia seorang yang profesional dan tahu menjaga hati kawan dan dia juga menghormati kerja kita.  Tak pernah saya berjumpa seorang artis seperti dia.  Bersyukur diberi peluang untuk bukan setakat menjadi peminatnya tetapi juga seorang kawan," katanya yang mengenali Datuk Pah sejak dua tahun lalu.

"Ini semua soal chemistry.  I memang ada chemistry dengan Sharifah.  Kami berkenalan tiga tahun lalu ketika dia menjadi salah seorang hakim pertandingan nyanyian di syarikat saya," kata pula Kay yang sudah acap kali teman temui dalam majlis Datuk Pah.  "Dia memang murah hati, mudah mesra dan kalau boleh mahu berkawan dengan semua orang.  Tetapi sikapnya yang terlalu mempercayai itulah yang kadang kala memakan diri sendiri.  Bukan semua orang jujur dengannya," kata Kay yang teman sudah anggap bagai kawan sendiri.  Begitulah sekilas pandangan jujur tiga rakannya yang semakin selesa didekati.

Sesekali teman mencuri pandang wajah Datuk Pah yang sibuk melayan tetamu istimewanya.  Dia memang nampak gembira malam itu.  Suasana hangat seketika apabila mereka mengusiknya, bertanya siapalah agaknya berani melamarnya.  Iyalah... siapa yang tidak gembira apabila dikelilingi kalangan yang sudah diketahui keluhuran budi dan hati mereka.  Seperti kata Kay, Rusni dan Nuzirah, "Dia memang istimewa dan itulah sebabnya kami sentiasa mahu saja melindunginya.  Kami harap persahabatan ini akan kekal abadi."  Emmm ... bertuahnya Sharifah Aini.