CINTA BARU SHARIFAH AINI

'Kata Teman' dikendalikan Hanizam 'Kak Cham' Abdullah  (Berita Minggu: Bi-Pop, 29 September 2002)

 

 

Seronok apabila berbual dengan penyanyi evergreen kita, Sharifah Aini.  Kalau tidaklah kerana deadlines dan kerja yang terlampau banyak sejak akhir-akhir ini terutama menjelang majlis Anugerah Bintang Popular 2002 (ABPBH2002) pada 13 Oktober ini, mahu rasanya teman lepak saja di rumahnya yang memang indah itu sambil mendengar ceritanya.  Memang banyak cerita Sharifah Aini yang teman panggil Ani saja – daripada cerita anak bujangnya Aliff yang kini melanjutkan pelajaran di Madinah, album barunya yang barangkali akan berada di pasaran selepas raya serta 'cinta' barunya.

Teman tak mahu nak panggil Kak Pah atau Kak Ani walaupun dari segi usia, teman lebih muda daripadanya.  Maaf, bukan kerana tak hormat tetapi kerana penyanyi itu tetap kelihatan muda, anggun dan bergaya.  Rabu lalu, walaupun teramatlah sibuknya, teman luangkan masa juga untuk menghadiri majlis pelancaran bisnesnya, Pods & Petals, yang memberi khidmat pelbagai jenis hadiah dan cenderamata bagi apa saja acara dan majlis sebagai tanda sokongan teman terhadap 'cinta' barunya itu.

Jadi, kalau ada sesiapa saja yang hendak menghadiahkan apa saja kepada sesiapa saja untuk majlis atau acara apa saja, hubungilah Pods & Petals di talian 03-79557555.  Teman sudah lihat sendiri contoh hadiah dan cenderahati yang disediakan oleh syarikatnya itu.  Memang cantik dan tak rugi menggunakan khidmat syarikat Sharifah Aini.  Rata-rata hadirin termasuk rakan media yang rapat dengannya turut hadir bagi memberi sokongan kepadanya.  Basariah Latif (Dee) Pengurus Besar Indirect Access Product Managament, TIME.dot.com, yang juga penaja perdana ABPBH2002, pun ada.  Ternyata Dee juga kagum dengan semangat penyanyi itu.  Bisik Dee, "Artis macam inilah kita patut support."

Petang itu, teman melihat 'the other side of' Sharifah Aini.  Terbit rasa bangga teman kerana Sharifah Aini adalah antara artis yang bukan saja sudah terbukti bakatnya di bidang nyanyian – bayangkan sudah lebih 30 tahun di bidang seni – tetapi tidak pernah mensia-siakannya.  Banyak jugalah cabaran yang mendatang tetapi wanita ini tidak pernah patah semangat.  Teman tahu ada kalanya dia membangkitkan rasa sunyinya tanpa seorang lelaki di sisi.  Tetapi dia sentiasa berfikiran positif.  Walaupun jarang sekali ceritanya keluar di media, rupa-rupanya diam Ani dia berisi.  Dia merancang, dia mencongak dan akhirnya tertubuhlan syarikat ini.

Sebenarnya, teman sudah diberitahu mengenai perancangannya ketika berpeluang ke rumahnya awal bulan lalu.  Sambil menikmati hidangan mihun goreng dan kuih lopis, Ani membuka cerita mengenai pelan perniagaannya.  Mukanya berseri-seri ketika bercerita mengenai bisnesnya tetapi suasana hening seketika apabila dia bercerita mengenai Aliff.  Teman tahu benar perasaannya ketika itu.  Biasalah naluri seorang ibu yang akan berpisah dengan anaknya yang akan melanjutkan pelajaran di luar negara.  Siapa yang tidak berasa sedih mengenangkan anak kesayangan akan berjauhan.

Ada satu malam itu, ketika masih di pejabat mengetuk berita di komputer, tiba-tiba telefon berdering dan Roslen (Penolong Pengarang Hiburan) menjawabnya.  Rupanya Ani yang menelefon untuk bertanya khabar.  Ani memang begitu, kalau sibuk sangat SMS akan singgahlah di telefon bimbit teman.  Ada saja kata-kata positifnya.  Cuma, teman acapkali rasa bersalah apabila banyak kali juga gagal memenuhi janji teman.  Tuntutan kerja membuatkan teman sukar untuk berbuat demikian.

Malam itu panjang jugalah ceritanya kepada Roslen, tetapi apabila timbul bab Aliff, tiba-tiba dia menangis.  Teman tahu Ani memang rapat dengan Aliff, cuma petang ketika melancarkan perniagaannya barulah teman tahu bahawa dia melakukannya demi Aliff.  Hati teman tersentuh apabila ketika ditanya wartawan mengenai kerjaya nyanyiannya selepas bergelar ahli perniagaan, Sharifah Aini berkata, "Saya sudah berjanji pada Aliff.  Saya menghormati dia.  Sampai bila saya harus menyanyi?  Inilah pengorbanan saya kepada Aliff.  Saya lakukan ini dengan hati yang rela!"  Lalu, rasa hormat saya kepada biduanita ini semakin menebal.