Bunga Tanjung Ubati Rindu, Resah Peminat Kak Pah

'Kata Teman' dikendalikan Hanizam 'Kak Cham' Abdullah  (Berita Harian: Isnin, 22 Mac 2006)

 

 

"Terubat benar kerinduan kami Kak Cham apabila tengok Tok Pah (Datuk Sharifah Aini) membuat persembahan dalam majlis Anugerah Seri Angkasa baru-baru ini.  Memang power betul vokalnya.  Kebetulan lagunya pulak Bunga Tanjung ... Siapa kata Kak Pah dah hilang suara?" begitu kata Jay seorang peminat setia Kak Pah kepada teman.  Malah Jay tak keseorangan berpendapat sedemikian kerana teman mendapat banyak komen positif sama ada kalangan penggiat seni sendiri atau peminatnya yang begitu teruja apabila diva evergreen itu yang sudah lama tak muncul membuat persembahan pada majlis rasmi, mendendangkan lagu Nour El Ain dan Bunga Tanjung.  Elok benarlah tu kerana kemunculan Kak Pah itu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan resah di hati peminatnya.

Sejak terpalit dengan episod pedih dan duka, Kak Pah memang jarang muncul di kaca TV untuk membuat persembahan.  Teman pun dah tak tau nak jawab apa lagi kepada peminatnya yang sering bertanyakan teman mengenai perkara itu.  Selama ini pun bukan tak ada juga yang meluahkan rasa kecewa dengan sikap sesetengah pihak stesen televisyen yang tidak mahu memanggil Kak Pah untuk membuat sebarang show dalam mana-mana program mereka.  Iyalah ... bukan juga tak pernah sampai ke telinga teman apabila ada juga kalangan yang tak berapa senang duduk jika Kak Pah dilihat bergerak aktif dalam dunia seni yang sudah menjadi darah dagingnya itu.

"La ni Kak Cham, tak ada sebab lagi untuk Tok Pah asyik berkurung saja di rumah.  Lupakan saja episod duka itu.  Buang yang keruh, ambil yang jernih.  Sampaikan salam saya pada Tok Pah dan kata juga suaranya memang tak ada tolok bandingnya," pinta Jay lagi yang memang tak pernah serik menelefon teman walaupun dia tahu teman sibuk.  Bukan sedikit juga yang menyuarakan hasrat hati mereka untuk melihat Kak Pah dan juara AF3 yang baru saja dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian baru-baru ini, berduet dalam satu album.  "Bayangkan Kak Cham kalau Mawi, Tok Pah dan Waheeda Wassini tu menyanyikan lagu berentak world music.  Memang world gila Kak Cham!" saran pula Hazral dari Johor Bahru dalam satu e-melnya kepada teman.  Sampai juga khabar ke telinga teman, bagaimana Mawi sendiri pun ada melahirkan hasrat hatinya untuk berduet dengan Kak Pah.  Memang sesuai sangatlah tu ...

"Yang sudah tu sudahlah ... Harap tak ada lagi pihak yang mahu membangkitkan lagi kes yang langsung tak memberi faedah kepada mana-mana pihak.  Akhirnya, yang nampak `busuk' adalah kalangan artis dan wartawan hiburan juga," kata Rosmah, seorang lagi peminat Kak Pah.  Apabila ditanya Kak Pah mengenai komen positif peminatnya, Kak Pah berkata, "Kak Pah hargai sokongan itu.  Terima kasihlah ... Insya-Allah Kak Pah akan mengambil kira semua pendapat itu.  Menyanyi adalah darah daging Kak Pah.  Malah, Kak Pah sudah duduk berbincang dengan pihak EMI mengenai beberapa perkara. Ini bukan soal nak buat duit.  Ia lebih kepada memberi balik kepada industri hiburan kita.  Tunggulah ... Kak Pah belum bersedia untuk bercakap mengenainya.  "Terima kasih juga kerana sentiasa memberi sokongan kepada Kak Pah.  Selama ini pun, sokongan padu peminat menjadi kekuatan Kak Pah ketika melalui saat-saat getir itu," katanya yang memang dikenali sebagai penyanyi yang begitu menghargai peminat.

Tetapi barangkali yang paling mereka kagumi adalah semangat cekal penyanyi Seri Dewi Malam ini dalam mengharungi onak duri sebagai anak seni.  Dalam diam juga teman memang mengagumi semangat jitunya itu kerana calang-calang orang pasti sudah lama tumbang. Iyalah ... kalau tak tabah takkan sampai 38 tahun Kak Pah mampu bertahan dalam dunia yang getirnya lebih banyak daripada manisnya.  Jumpa lagi!