Simbolik Siti, Kak Pah Berdamai

'Jeling Kak Pora'  (Berita Minggu: B*Pop, 22 Ogos 2010)

Minggu ini cerita yang menarik perhatian ialah apabila kebanyakan media cetak arus perdana menyiarkan kemesraan dua diva tersohor tanah air, Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah dan Datuk Siti Nurhaliza.  Gambar itu kelihatan biasa tetapi ia menjadi luar biasa dan mempunyai nilai berita yang tinggi kerana sejarah perhubungan kedua-duanya.

Bagi mereka yang tak tahu, beberapa tahun lalu, mereka dilihat ‘bergaduh’ atau ada sengketa kerana Siti dan Kak Pah masuk keluar mahkamah kerana kes fitnah menerusi e-mel.  Pada 2004, kontroversi tercetus gara-gara e-mel yang membabitkan Kak Pah yang didakwa menyebarkan e-mel layang memburuk-burukkan Siti.  Kak Pah didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyebarkan fitnah.  Bagaimanapun, kes itu digugurkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 12 April 2005 selepas didapati tiada kes boleh mengaitkannya.  Nama Siti timbul berikutan e-mel layang dikatakan ditulis dan dihantar mereka menggelarkan diri 'Asmah & The Gang'.

Kak Pora hampir menitiskan air mata melihat dua diva tersohor saling bermaafan seperti foto disiarkan media pada Khamis lalu.  Hampir enam tahun berdepan krisis peribadi akhirnya mereka dipertemukan dalam sesi fotografi khas bersama Berita Harian di Hotel The Royale Chulan Kuala Lumpur pada Rabu lalu.  Elok benarlah Kak Pah, Siti.  Tak guna memanjang sengketa pada hari baik, bulan mulia ni.  Dulu pun mereka bukannya bersengketa sangat, tapi mereka menjadi mangsa keadaan.  Kak Pora sedar bukan mudah melaluinya apatah lagi hati mereka pernah terusik dengan kontroversi yang menggemparkan dunia hiburan.  Sedangkan Nabi Muhammad SAW pun mengampunkan umatnya, inikan kita sesama manusia biasa.

Sungguhpun begitu, kemesraan mereka bukan lakonan, paksaan atau propa semata-mata, mereka ikhlas mahu berdamai.  Kak Pora dapat rasakan keikhlasan Kak Pah dan Siti jelas terpamer di depan wartawan yang menyaksikan episod ala 'Jejak kasih’ itu.  Malah ada wartawan yang sebak dan menitiskan air mata melihat mereka bertemu dan berbaik semula.  Dah tentu ribuan peminat gembira mendengar perkhabaran ini.

Kak Pora dengar lagi, ketika sesi fotografi itu berlangsung, Siti secara spontan meletakkan kepalanya atas riba Kak Pah.  Ketika itu, air mata Kak Pah terus berjuraian.  Siti khabarnya turut menangis tersedu-sedan melihat Kak Pah.  Entahlah apa sebabnya, mungkin Kak Pah dan Siti sama-sama terharu.  Dengan apa yang berlaku dan mungkin juga sebelum ini ramai meramalkan mereka tidak akan bersua muka lagi, tetapi dengan kuasa Tuhan pada Ramadan kali ini, dua anak seni berbakat magis ini berpeluk-pelukan semula.  Syukurlah ...

Sempat berbual ringkas dengan Kak Pora, malam Khamis lalu, Kak Pah mengakui itulah antara hari yang paling membahagiakan buat dirinya.  Dari lubuk hati yang ikhlas, dirinya menerima pelawaan wartawan untuk dipertemukan dengan Siti.  "Saya dah makin berusia, tidak mahu memanjangkan apa yang berlaku.  Antara saya dan Siti sebenarnya tiada apa-apa, cuma kami menjadi mangsa keadaan.  Saya terharu melihat keikhlasan Siti.  Saya tidak mampu menahan air mata apabila Siti meletakkan kepalanya atas riba saya ketika bergambar bersama.  Entahlah ketika itu, saya rasa Siti bagaikan anak saya.  Kenapa saya nak membenci anak sebaik Siti?

"Saya tak pernah menyimpan dendam pada Siti, apa yang berlaku sudah berlalu.  Kalau ingatkan dulu, saya turun naik mahkamah, diaibkan lagi, tapi saya tak salahkan Siti.  Dia juga menerima tempias malu.  Jadi, kami sama-sama terkena sebenarnya.  Saya tambah terharu melihat Siti menangis tersedu.  Di situ saya benar-benar sedar, Siti tidak pernah meletakkan perasaan benci atau dendam terhadap saya.  Insya-Allah, saya akan menunaikan fardu Haji tahun ini, Siti sempat berpesan minta saya mendoakannya dan suami dikurniakan cahaya mata.

Kepada artis lain yang masih bergaduh sesama mereka, jadikanlah episod pertemuan mesra Siti dan Kak Pah ini satu contoh yang baik.  Hubungan mesra yang terjalin semula selepas kes mahkamah.  Selepas ini bolehlah kita lihat semula Siti dan Kak Pah berduet atau berkongsi pentas nyanyian.  Kemesraan yang terjalin ini adalah simbolik bendera damai dua insan seni dari dua generasi.  Syabas Kak Pah, syabas Siti !