Arkib Artikel                 

SHARIFAH AINI SERING BERTANDANG KE TANGGA MAHKAMAH

oleh wartawan majalah Hawa  (April 1993)

WANITA BERJIWA KENTAL.  Itulah tiga patah perkataan penghargaan seharusnya diberikan kepada Sharifah Aini.  Penyanyi paling banyak naik turun tangga mahkamah menyelesaikan beberapa kes melanda hidupnya.  Ada-ada sahaja punca membawa dirinya terseret ke situ.  Bermula dari kisah perceraiannya dengan Ali Bakar pada bulan Mac 1983, menyebabkan dia terpaksa berhadapan dengan kes-kes hak pemeliharaan anak dan pemberian nafkah.

Tidak cukup dengan itu, tragedi pencabulan ke atas salah seorang anak perempuannya dan kemudian kes saman malu dengan sebuah akhbar tabloid yang turut memaksa dia memijak tangga mahkamah berkali-kali.  Untuk menyelesaikan sesuatu kes, memaksa Sharifah Aini turun naik mahkamah buat beberapa kali.  Malah ada setengah kes yang tertunda-tunda sampai bertahun-tahun.  Akhirnya menjadikan Sharifah Aini artis paling kerap menjengahkan muka ke pintu mahkamah.  Meskipun begitu, Sharifah Aini tetap tampil ke tengah khalayak ramai dengan riang.  Mendung hitam yang sering melingkari hidupnya tidak pernah menghapuskan ceria kehidupannya.  Segala kenangan pahit ini sudah dibungkus ketat-ketat.  Biar berkubur tanpa tanda!

Demikianlah tabahnya artis bertahi lalat ini mengharungi perjalanan hidupnya selama lebih sembilan tahun sendirian.  Pada kita, pasti warna kehidupan itu merupakan sesuatu yang amat mencabar keimanan dan keharmonian diri, namun tidak demikian bagi Sharifah Aini.  "Ani menganggap semua yang terjadi sebagai asam garam dalam kehidupan manusia normal.  Ani hanya tenang menghadapinya setiap cabaran yang mendatang, Ani harus tabah.

Seandai ianya terlalu menghirisi tangkai hati pun, Ani selalu membandingkan ia dengan nasib malang yang harus dilalui oleh insan lain.  Seperit manapun, Ani pasti ada orang lain yang lebih menderita.  Malah lebih parah.  Dengan cara itu Ani dapat mengecap sedikit ketenangan.  Ani percaya, semua ini merupakan sebuah dugaan.  Hanya kepada Allah, Ani berserah," begitu pasrah Sharifah Aini kepada Tuhan Yang Maha Esa, ketika menjawab persoalan yang agak mengusik perasaan ini.

Ketahanan dan kecekalan inilah sebenarnya yang membuatkan dia terus dapat menghadapi dunia ini dengan tenang dan damai.  Biarlah masyarakat menghina, biarlah teman-teman mengutuk, tetapi Sharifah Aini percaya yang benar akan tetap benar akhirnya.  Itulah satu ketentuan Allah yang tidak mungkin dapat diwarnakan oleh kita hamba-Nya.  "Cuma dalam menyelesaikan sesuatu kes itu, Ani cuba mengelakkan dari bertemu orang lain.  Ani tidak mahu soal itu diperbincangkan.  Ani tidak mahu ia dipersoalkan.  Biarlah mahkamah yang menentukan hitam putihnya," luah Sharifah Aini dalam satu pertemuan eksklusif dengan HAWA, di sebuah hotel terkemuka di tengah pusat Bandar Kuala Lumpur, dalam menunggu detik-detik azan bergema, bagi menandakan waktu berbuka puasa.

Kata Sharifah Aini, naik turun mahkamah bukanlah detik mudah dilakukan.  Apalagi bagi seorang wanita sepertinya.  Mentelah lagi dia merupakan seorang penyanyi popular tanahair.  Penyanyi 'evergreen' kata orang.  Pendeknya situasi itu lebih memburukkan dari memberi sebarang faedah.  Jauh sekali untuk publisiti yang dapat memberi manfaat.  Tetapi sebagai seorang artis pujaan sepertinya, apa sahaja perkembangan tentang dirinya akan dijadikan bahan publisiti secara besar-besaran.  Cerita tersebut akan terpampang di dada akhbar dan majalah atau menjadi tajuk berita di media elektronik.  Dia tidak upaya untuk mengelakkan ini dari terjadi.  Dia tidak berkuasa untuk menahan.  Dia hanya seorang wanita yang harus terus pasrah kepada takdir.

"Yang berlaku biarlah terus berlalu.  Yang penting kini Ani harus mencorakkan kehidupan Ani dan masa depan anak-anak Ani, Aliff yang kini sudah pun berusia 11 tahun.  Juga lima orang anak-anak angkat Ani yang berusia antara 6 bulan hingga 7 tahun.  Mereka harus membesar dan memerlukan kehidupan yang sempurna.  Anilah yang bertanggungjawab di dalam mencorakkan warna hidup itu.  Sebab itu Ani harus tabah, cekal dan kental," ukirnya lagi tanpa menunjukkan sebarang reaksi akan patah semanagat di tengah jalan.

Kini menurut Sharifah Aini, dia sedang berusaha melibatkan diri secara serius semula di bidang nyanyian setelah sekian lama menyepikan diri.  Ini dunianya, kata Sharifah Aini.  Hidup matinya hanya di bidang ini.  Sebab itu dia akan bergiat aktif semula.  "Ani sedang menyiapkan satu album.  Insya-Allah akan berada di pasaran dalam bulan Mei ini.  Di dalamnya terkandung 3 buah lagu Arab.  Ani cuba mencari pasaran di negara-negara Arab pula.  Mana tahu kalau tuah akan mengiringi hasrat Ani kali ini.  Awan mendung yang menyelebungi diri akan bertukar dengan pancaran suria yang terang.  Mungkin rezeki anak-anak," sambung Sharifah Aini penuh dengan pengharapan.

Untuk melupakan segala kepahitan yang melanda, kata Sharifah Aini, dia cuba menyibukkan diri di rumah.  Di rumahnya yang terletak di Petaling Jaya itu, Sharifah akan menghabiskan masa dengan mengemas.  Ada-ada sahaja yang hendak dikemas.  Kalau tidak pakaian yang berada dalam almari, pasti dia menghampiri rak-rak tempat menyimpan kasut.  Setidak-tidanya dia meninjau-ninjau bunga di halaman.

"Ani jarang masak sendiri kerana Ani lebih suka makan yang ringan-ringan.  Ani cuma makan nasi dua hari sekali.  Tetapi kalau Ani turun ke dapur, pastilah macam-macam yang Ani masak.  'Budget' seminggu, tentu Ani masak untuk sajian sehari.  Tak kiralah sama ada yang makan atau tidak," ujar Sharifah Aini dengan ketawa yang memanjang.  Dia memang suka ketawa, Sharifah Aini memang periang orangnya.  Tetapi sesuatu yang sukar dipercayai kenyataannya ialah Sharifah Aini sebenarnya tidak pernah menyanyi ketika di rumah.  Rupa-rupanya dia hanya menyanyi untuk menghiburkan orang lain ketika berada di khalayak ramai, namun bukan untuk menghibur dirinya sendiri.  Itulah satu realiti dalam kehidupan seorang bintang!