USAH 'DERA' DIRI

oleh Rudy Imran Shamsudin  (Metro Ahad: Selebriti, 22 September 2013)

Pesan Tok Pah untuk artis muda supaya usah abai aspek kesihatan

Hampir setahun selepas diserang penyakit jangkitan pada para-paru, penyanyi malar segar, Datuk Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Tok Pah, sudah mula kembali aktif dengan memenuhi tawaran mengadakan persembahan.  Kali terakhir penyanyi yang cukup popular dengan lagu Seri Dewi Malam itu mengadakan persembahan di Singapura baru-baru ini, selama tiga malam berturut-turut.

Ditemui pada majlis ramah mesra bersama media di kediamannya Isnin lalu, Sharifah Aini menjelaskan situasi kesihatannya sekarang terkawal namun harus menjalani pemeriksaan secara berkala.  “Inilah kesannya kalau terlalu kuat sangat bekerja pada usia muda dan sekarang apabila sudah berusia baru terasa.  Namun syukur kerana kesihatan saya sudah beransur baik.  Harap apa yang berlaku kepada saya dapat dijadikan iktibar oleh artis muda terutama mereka yang bekerja tidak kira masa.  Contohnya Datuk Siti Nurhaliza seorang artis yang sangat dedikasi kepada kerjaya seninya.  Siti dilihat begitu kuat bekerja terutama apabila sering mengadakan siri persembahan dan konsert,” katanya.

Kata Tok Pah, kesihatannya mula terganggu sewaktu sibuk dengan konsert bersama Orkestra RTM dan waktu sama terbabit dengan rancangan Mentor.  “Tidak cukup dengan itu, saya juga menjayakan dua konsert anjuran syarikat sendiri.  Bayangkan waktu itu saya bekerja tanpa henti dan apabila jatuh sakit, saya harus berehat dalam masa panjang.  Doktor sendiri menjelaskan saya jatuh sakit kerana bekerja tanpa henti dan kurang masa berehat.  Situasi sama juga mungkin dilalui Siti.  Sebab itu saya nasihatkan Siti yang kini sibuk mengadakan konsert di Istana Budaya dan sebelum itu menjayakan persembahan di Dewan Philharmonik Petronas (DFP) baru-baru ini, agar mencari masa untuk berehat panjang.

"Kebanyakan penyanyi sekarang kalau mengadakan konsert, konsep persembahan ditampilkan lebih santai.  Ini kerana muzik ditampilkan kebanyakannya begitu.  Berbeza dengan Siti, biasanya konsert diadakan lebih ekstravaganza dan pelbagai.  Dia bukan saja menyanyi tetapi turut menari dan ada ketika bermain alat muzik  Ingin mengadakan persembahan begitu seorang penyanyi harus bekerja dua kali ganda ‘keras’ berbanding persembahan biasa,” katanya.  Tok Pah akui Siti penyanyi yang sangat komited dan mahu memastikan apa yang dilakukan di pentas dapat menghiburkan peminat.  Dalam erti kata lain, mereka yang mengeluarkan duit untuk membeli tiket menyaksikan konsertnya berasa berbaloi.

"Bukan mudah untuk penyanyi menjayakan persembahan konsep sedemikian dan ia akan memberi tekanan yang bukan sedikit.  Seharusnya penyanyi seperti Siti, setiap kali selepas mengadakan konsert harus memberikan masa kepada dirinya untuk berehat panjang.  Paling tidak tiga bulan.  Waktu itu buatlah apa saja perkara yang boleh menenangkan fikiran dan jauh daripada kesibukan biasa seperti pergi bercuti di tempat menarik atau yang diidamkan,” katanya.   Pesannya lagi, kepada semua penyanyi muda sedia ada, mereka tidak seharusnya ‘mendera’ diri sendiri dengan bekerja tanpa memikirkan kemampuan tubuh kerana apabila jatuh sakit tiada apa lagi yang dapat dilakukan dan kemungkinan ia akan menimbulkan masalah dalam jangkamasa panjang.

Katanya, dia akan mengadakan pertemuan dengan KRU Music bagi membincangkan pembikinan album terbarunya.  Jika perbincangan dan kata putus dicapai, bermakna karya terbaru bakal dihasilkan KRU itu berupa album ke-100 Sharifah Aini sepanjang hampir 50 tahun pembabitannya dalam industri muzik tempatan.  Mencecah usia 60 tahun, menghasilkan album ke-100 itu dianggap satu pencapaian besar bagi Sharifah Aini secara peribadi mahupun penggiat industri secara amnya.  Jelasnya, album itu akan memuatkan beberapa lagu baru dan juga lagu popular sedia ada tetapi diberikan susunan semula agar sesuai dengan pendengar muda.