TIADA PENYANYI SETANDING KAK PAH

oleh Ridzuan Abdul Rahman  (Harian Metro: Jumaat, 5 Ogos 2011)

2 peminat setia teruja dapat layanan mesra Sharifah Aini dalam majlis makan malam

Tanpa perkara yang agak penting, memang sukar melihat kelibat Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar mengambil angin di luar atau bersantai di restoran mahupun ‘coffee house’.  Sebaliknya, penyanyi yang mesra dipanggil Kak Pah, lebih suka menghabiskan masa berkualiti dengan aktiviti di rumah.  Beginilah kehebatan insan seni tersohor yang pandai menjaga penampilan dan prestij dirinya.  Namun, sebagai insan yang sememangnya kaya dengan pengalaman seni, Kak Pah tidak teragak-agak meluangkan masa turun padang ke Zende Restoran, Hotel Seri Pacific pada 27 Julai lalu bagi meraikan dua peminat bertuah yang memenangi hadiah makan malam bersamanya.  Mereka antara sebahagian peminat yang sanggup mengeluarkan belanja ke acara Majlis Makan Malam Amal Simfoni Kasih Hapuslah Air Matamu IKIMfm Bersama Datuk Sharifah Aini di Hotel Seri Pacific, 2 Julai lalu.

Konsert ini disokong dengan kerjasama Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia (Pertubuhan IRM), bertujuan mengumpul dana, antaranya bagi membantu tiga rumah penduduk miskin di Pasir Mas, Kelantan, bantuan makanan bagi 200 penduduk di Sik, Kedah serta 400 warga miskin di Bagan Serai, Perak.

Sepanjang makan malam ini berlangsung, suasana kelihatan begitu intim apabila Kak Pah melayan mesra peminatnya, Ahmad Nadzri Roes dan Sarizan Zainal Abidin yang seakan-akan tidak percaya dapat bertemu dengan artis pujaan mereka depan mata.  Banyak cerita yang diperbualkan antaranya pengalaman lampau serta berkongsi pandangan mengenai perkembangan dunia seni tanah air.  Turut hadir, Pengarah Radio IKIMfm, Nik Roskiman Abdul Samad; Penerbit Program IKIMfm, Nur Hasnah Ismail dan Mohd Faiz Othman serta Presiden Pertubuhan Islamic Relief Malaysia (IRM), Zawahir Abdullah serta Pengurus Jualan Katering, Hotel Seri Pacific, Shamsul Azli Abu Bakar.

Bagi Nadzri, 44, pertemuan itu sememangnya menjadi pengalaman indah buatnya.  Baginya, datanglah mana-mana penyanyi baru pun, tetapi takkan sama dengan Kak Pah.  Minatnya terhadap Kak Pah bercambah sejak di bangku sekolah rendah.  Bahkan dia sanggup ke Singapura menonton konsert Kak Pah yang berlangsung di sana.  "Kak Pah ada aura sebagai penghibur.  Memang kita ada ramai penyanyi tapi mereka tak pandai menghiburkan peminat.  Selain itu, sikap prihatinnya yang sering buat kerja kebajikan menawan hati saya.  Ini menjadi contoh kepada artis lain," katanya yang menganggap seperti bermimpi bertemu penyanyi pujaannya.

Sarizan, 48, pula meminati Kak Pah sejak usia muda.  Setiap lagu dan filem lakonan Kak Pah diikutinya.  Katanya, Kak Pah mempunyai pakej lengkap berbanding sesetengah artis yang hanya cantik di luar tapi di dalamnya kosong.  "Sebagai idola, saya lihat Kak Pah mempunyai semangat yang kuat sejak zaman muda.  Saya sanggup beli meja untuk menonton konsertnya kerana selain berhibur saya juga dapat menderma untuk golongan yang memerlukan.  Saya memang suka dan menyokong kerja kebajikan yang dibuat Kak Pah.  Tambah lagi, IRM juga antara penganjurnya," katanya.

Sementara itu, Kak Pah mengakui dunianya di rumah lebih bermakna berbanding berada di luar kerana pelbagai aktiviti dapat dijalankan antaranya memasak dan melayan rakan serta saudara-mara yang rajin bertandang.  Di samping itu, aktivitinya juga dipenuhi dengan berkebun.  Dia mengakui kekok dan tak selesa jika di luar.  "Jika ada komitmen begini, barulah saya hadir untuk berikan sokongan.  Apatah lagi saya memang menghargai peminat setia yang memberi sokongan tak berbelah bagi terhadap karier saya dari dulu sampai sekarang.  Sebenarnya saya tak sunyi kerana rumah selalu didatangi kawan dan keluarga.

"Lagipun seminggu atau dua minggu sekali, aktiviti usrah akan berlangsung di rumah.  Ia bergantung pada kelapangan saya kerana jika terlalu sibuk, usrah akan diadakan sebulan sekali.  Program ini membabitkan anak yatim dan pelajar tahfiz tertentu di bawah perhatian saya antaranya di Selayang, Subang Jaya dan Puchong.  Kehadiran mereka bersilih ganti dan ada kalanya bersama sekali gus.  Jarang rumah saya kosong kerana sentiasa ada aktiviti dijalankan.  Memandangkan saya tiada sesiapa, ada baiknya saya sibukkan diri dengan aktiviti,” katanya dengan mesra.

Berbanding dulu, dunia Kak Pah lebih indah apabila sering menjayakan show amal.  Namun, dia lebih suka mengendalikannya sendiri tanpa pembabitan pihak kedua.  Baginya, cara itu lebih memberikan kepuasan kerana dia tidak mahu dipandang serong.  Kak Pah kini sibuk merancang konsert amal yang bakal diadakan November depan di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur.

"Saya senang buat sendiri kerana biarlah penat pun, tapi hasilnya berbaloi.  Apabila sudah berikan wang terus kepada mereka yang memerlukan, perasaan saya tak dapat digambarkan.  Apabila lihat mata dan pandang muka mereka yang ceria, saya dapat rasakan timbul perasaan bahagia.  Bagi saya, apa salahnya kita berbuat kebajikan kerana hidup kita pun tak lama, mana tahu esok lusa kita akan dijemput-Nya.  Kita perlu ada pelaburan untuk di sana nanti.  Ini tanggungjawab saya sebagai penghibur," katanya yang terbabit dengan program Mentor Raya bersama anak didiknya, Shiha serta mentor dan protege lain dalam program terbitan TV3 untuk siaran pada Aidilfitri nanti.

Kebiasaannya, Kak Pah akan mengerjakan umrah ketika Ramadan.  Bagaimanapun, kali ini hasrat itu tidak terlaksana kerana anaknya, Aliff yang belajar di Madinah pulang bercuti selama dua bulan.  Dia gembira kerana dapat menyambut Ramadan serta meraikan Aidilfitri dengan anak bujangnya itu.