NYANYIAN SAYA IKHLAS

oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed  (Metro Ahad, 12 September 1999)

Setiap penyanyi mempunyai keistimewaan tersendiri dan apabila menyebut Sharifah Aini, kelunakan suara yang tidak pernah pudar menjadi perhatian jutaan peminat.  Selama lebih 30 tahun bergelumang dalam industri hiburan yang begitu hebat persaingannya, dia dianggap unggul kerana walaupun ramai lagi artis datang dan pergi, Sharifah Aini masih berdiri di situ.  Namun, apakah rahsia biduanita?   "Tiada apa-apa petua istimewa, cuma menyanyilah dengan hati yang penuh ikhlas dan jangan cuba meniru gaya orang lain.  Bagi saya, suara adalah anugerah Tuhan dan ia boleh digunakan ke arah kebaikan.  Namun seperkara yang harus diingat, kehendak-Nya juga bakat yang dilimpahi itu boleh ditarik balik," pesan Sharifah Aini.

Bila sebenarnya bakat dalam dirinya itu mula menyerlah?  Sambil membelai rambutnya yang kini sudah diluruskan, Sharifah bersuara: "Mengikut cerita arwah mak, sejak dalam buaian lagi, iaitu kira-kira umur saya tiga tahun, minat itu sudah mula ditonjolkan.  Saya tertarik mendengar lagu dan kata mak, jeritan saya pun macam orang berlagu.  Apabila melangkah ke alam sekolah, minat itu terus bercambah.  Pantang ada pertandingan membaca sajak atau bersyair, saya mesti masuk.  Begitu juga kalau ada tilawah al-Quran, saya suka ambil bahagian."

Menceritakan kehidupan lampaunya, Sharifah Aini atau nama sebenarnya Sharifah Aini Syed Jaafar, sudah melalui kehidupan yang dibelenggu dengan kemiskinan sejak hingusan lagi.  Untuk menampung rezeki keluarga, dia pernah menjaja nangka dan kuih, malah mengambil upah menjahit baju dan menggiling lada.  Kemiskinan itulah yang menyebabkan hatinya keras menghadapi dugaan.  Hingga hari ini pun, keperitan hidup zaman kanak-kanak tidak pernah dilupakan dan membuatkan kakinya sentiasa berpijak di bumi nyata.  "Selepas menjadi artis rakaman, barulah saya boleh bernafas dan membesarkan anak-anak.  Namun ia tidak sesekali membuatkan saya lalai dengan apa yang pernah saya tempuhi.  Saya sedar semua kurniaan Allah boleh direntap dalam sekelip mata kalau kita tidak tahu bersyukur." katanya.

Menceritakan pembabitan awalnya dalam dunia nyanyian, Sharifah Aini menyertai sebuah pertandingan di Singapura pada 1967 dan setahun kemudian suara emasnya memikat syarikat rakaman EMI Music (Singapura) untuk mengambilnya sebagai artis.  Siapa sangka tahun ini genaplah tiga dekad Sharifah Aini bersama EMI dengan memiliki hampir 100 album berupa EP dan LP dalam bahasa Melayu dan Inggeris, termasuk himpunan lagu hit dari album soundtrack filem.  'Seri Dewi Malam' adalah EP pertamanya terbitan Kassim Masdor pada 1968.  Terbaru dia kembali dengan album 'Takkan Melayu Hilang Di Dunia'.  Ditanya album paling mencipta kenangan manis dalam hidupan, Sharifah berkata, "Saya suka semua lagu yang saya nyanyikan.  Bagi saya, setiap lagu begitu bermakna."   Bagi Sharifah Aini, pencapaian paling berharga apabila dia diberi peluang merakamkan lagu dalam semua jenis rentak, seperti pop, slow rock, dangdut, asli, ghazal, keroncong dan nasyid, dan kini sedang berusaha merakamkan lagu bahasa Arab untuk album akan datang.