KAK PAH BUKAN HIPOKRIT

oleh Ellyna Ali  (Harian Metro: Jumaat, 8 April 2005)

Kes mahkamah yang membelenggu dirinya ketika ini sama sekali tidak mengganggu kehidupan seharian biduanita negara, Datuk Sharifah Aini atau lebih mesra digelar Kak Pah.  Sebaliknya, dia masih mampu menjalani kehidupan tenang bersama orang di sekelilingnya termasuklah peminat setia yang sentiasa berdiri teguh di belakangnya serta tidak putus-putus memberikan sokongan moral buatnya.

"Saya benar-benar bersyukur kerana sentiasa dirahmati dengan orang di sekeliling serta peminat yang menyayangi diri saya.  Limpahan dan curahan kasih sayang yang mereka berikan ini ada kalanya membuatkan saya terkejut.  Saya tidak tahu dari sudut apa yang membuatkan mereka ini berasa kasih dan sayang dengan saya.  Mungkin juga mereka melihat bahawa saya ini punya X-Factor (kelebihan luar biasa).  Tapi, saya tidak tahu apa dia," katanya yang ditemui di Hotel Shangri La, Kuala Lumpur sempena kemunculan album kompilasi Memori Sentimental Hits Datuk Sharifah Aini.

Kak Pah yang mengenakan baju kurung berwarna hijau muda lemon serta padanan tas tangan serta kasut tumit tinggi sedondon kelihatan begitu menarik dan penuh bergaya petang itu.  Wajahnya yang sedia jelita itu kelihatan cukup ceria dan senyuman mesranya pula tidak putus-putus terukir di bibirnya.  Seolah-olah, dia tidak punya sekelumit masalah pun, sedangkan kes mahkamahnya akan diperdengarkan pada 12 hingga 15 April ini.  Apabila diajukan pertanyaan dari mana dia mendapat tenaga yang sebegitu, Kak Pah berkata: "Ia datang dari dalaman.  Bila anda berasa bahagia dari dalaman, kebahagiaan itulah yang akan sama terpancar keluar.  Anda juga tidak akan beras takut atau gentar dengan apa jua perkara sekali pun.  Kadangkala, saya terfikir juga dari mana saya mendapat segala kekuatan yang ada.  Tapi, saya juga seorang survivor (pejuang).  Saya tidak pernah peduli apa yang orang fikir, cakap atau anggap mengenai diri saya.  "Saya juga tidak perlu membeli jiwa masyarakat dengan meminta mereka supaya mempercayai saya bahawa saya ini baik.  Saya tidak pernah sembunyikan apa-apa mengenai diri saya.  Saya tidak hipokrit.  Apa yang masyarakat lihat, itulah diri saya," katanya.

Kalau begitu, mengapa dia begitu menyepi kebelakangan ini?

Sambil tersenyum Kak Pah berkata, "Banyak perkara yang dilakukannya akhir-akhir ini dan dia kini dalam persiapan untuk menyiapkan buku autobiografi dirinya.  Apa yang boleh saya katakan, ia hampir siap.  Hampir 90 peratus selepas memulakannya sejak enam bulan lalu.  Ia mengandungi 400 halaman muka surat bersama 35 lebih keping foto.  Ada antaranya yang pernah diterbitkan sebelum ini.  Ada antaranya pula agak eksklusif.  Tapi, apa yang perlu saya tekankan di sini ialah saya sendiri yang menulis buku autobiografi saya itu.  Sebabnya, lebih mudah untuk saya meluahkan perasaan saya sendiri dan hanya saya yang tahu kebenarannya.  Insya Allah, jika tiada aral melintang, buku autobiografi saya itu akan dilancarkan sekitar 6 atau 7 Mei nanti.  Tapi, ia akan diterbitkan dalam bahasa Inggeris terlebih dulu kerana saya menulisnya dalam bahasa itu.  Kemudian barulah akan menyusul buku autobiografi itu dalam bahasa Melayu," katanya.

Ditanya mengapa dia menghasilkan autobiografi itu, Kak Pah berkata, "Ia bertepatan dengan masanya kerana orang selalu salah anggap mengenai dirinya.  Contohnya, mengenai isu saman ibu saya.  Orang mengatakan bahawa Sharifah Aini seorang yang teruk dan anak tidak mengenang budi kerana sanggup berbuat begitu terhadap ibunya.  Sedangkan, mereka tidak tahu hakikat sebenar di sebalik cerita itu.  Begitu juga dengan kedua-dua perceraian rumah tangga saya sebelum ini.  Sebab, sebelum ini saya memang jarang bercerita mengenai perkahwinan saya kepada umum," katanya.  Lanjutan daripada buku autobiografi itu, Kak Pah akan menulis pula mengenai memoir dirinya yang mana ia akan menyelitkan perjalanan kerjayanya sebagai anak seni.  "Penghasilan buku ini nanti akan membabitkan beberapa wartawan terutama yang mengikuti kerjaya seni saya sejak dulu," katanya.

Bercakap pula mengenai album kompilasinya itu, Kak Pah berkata, 'Memori Sentimental Hits Datuk Sharifah Aini' adalah album ke-93 dalam kerjaya seninya sepanjang 37 tahun, "Apa yang istimewa mengenai album ini ialah ia memuatkan banyak lagu yang saya rakamkan dari awal 1969 hingga 1970-an.  Pada masa itu, album masih belum wujud lagi dan kebanyakan lagu pula dirakamkan dalam bentuk EP.  Jadi, memang sesuai sangatlah kebanyakan lagu ini dihimpunkan sebelum dalam album berbentuk kompilasi ini.  Album ini juga adalah sebuah hadiah buat peminat yang diterbitkan untuk mengubati kerinduan mereka terhadap saya," katanya.  Kata Kak Pah lagi, pemilihan kesemua lagu dalam album kompilasi itu tidak membabitkan dirinya tetapi dilakukan Music Valley dengan kerjasama EMI Music.